Monday, June 20, 2011

Kehidupan Yang Bergerak

Salam

Banyak sebenarnya yang bermain di fikiran saya. Tidak tahu mana satu yang sepatutnya di kongsi. Saya sudah menjengah 31 minggu atau mungkin 32 minggu, ah, saya sendiri sudah kehilangan kiraan. Kalau ditanya misi di Klinik Kesihatan pasti akan dileteri. Biarlah, memang silap saya. Tapi sebenarnya saya sudah cuba mengira sebaik mungkin, tapi semakin saya teliti semakin mengelirukan. Apa yang pasti sakit-sakit sendi semakin saya rasai.

Bila sakit mula menyengat hingga ke tulang belikat, semangat yang sepatutnya berpaut kuat kian goyah dan mula mendatangkan resah. Latihan praktikal sudah separuh jalan, tapi saban hari saya seperti mahu mengangis bila terpaksa bangun pagi dan gagahkan diri ke tempat kerja. Saya rasa lelah, duduk menghadap komputer dan memerahkan otak memikirkan polisi yang berkesan untuk pembaikkan stor. Tambah memenatkan bila saya terpaksa masuk ke dalam stor dan meneliti setiap barang yang ada di dalam stor dan susunannya. Ya Allah, suntikkanlah saya kekuatan agar saya mampu menyudahkan apa yang telah saya mulakan. Mahu menghabiskan latihan praktikal yang sebenarnya berbaki hanya 31 hari saja lagi.

Kesian pada suami saya, tidak pernah kenal erti lelah dia memberi semangat untuk saya. Katanya orang yang hebat tentu sahaja menghadapi ujian yang hebat-hebat. Kalau menghabiskan pelajaran dalam keadaan yang biasa-biasa sahaja, apalah yang mahu dibanggakan sangat. Bukanlah tidak hebat langsung tapi itu adalah satu kebiasaan. Tambahnya lagi, saya harus kuatkan semangat. Bukan semua orang diberi peluang oleh Allah untuk menjadi hebat seperti ini. Diberi peluang untuk menamatkan pelajaran dengan baik yang mana sekarang ini saya sedang menjalani latihan praktikal dalam keadaan sukar dan kesihatan yang tidak menentu, melayari bahtera rumah tangga yang saya idam-idamkan, dan kini menahan sakit mahu menjadi ibu.

Beralih cerita, dulu saya sering menanam cita-cita bersama seorang teman bernama Jennifer. Cadangnya kami mahu menerbitkan buku bersama. Minat yang kami kongsi sering menjadi penghubung yang memaniskan persahabatan kami. Kadang kala saya mengirimkan sajak-sajak saya untuk bacaan beliau, dan begitu juga dia. Tapi berbezanya kami, Jennifer lebih berani. Berani menghantar karyanya untuk penerbitan. Dia menyertai pertandingan yang diadakan di dalam akhbar dan majalah. Tidak seperti saya, hanya menyimpan sebagai koleksi sendiri. Pernah juga setelah berguni-guni semangat yang suami saya berikan, barulah saya berkeyakinan menyiarkan Novel saya di blog ini,sebagai langkah permulaan. Kata suami, kalau mendapat sambutan mungkin boleh berhubung dengan rakan penerbitannya dan terbitkan beberapa karya saya yang lain. Saya bersetuju. Namun semuanya bagai hangat-hangat tahi ayam. Novel bersiri itu hanya sampai siri ke 5. Bukan tidak ada siri terbaru, novel itu sudah siap sepenuhnya sebenarnya, tapi saya belum menyuntingnya agar lebih 'tersedia' untuk disiarkan. Saya leka dengan kehidupan saya, belajar, kehidupan sebagai isteri dan kini sebagai bakal ibu.

Hujung minggu yang lalu, bila sepupu saya berkongsi kegembiraannya menerbitkan buku, saya bagai tersedar dari satu mimpi. Saya teringat kembali cita-cita dan angan-angan yang saya kuburkan sendiri. Saya teringat puluhan sajak yang saya cipta tatkala hati terasa sendu dan syahdu, beberapa cerita pendek dan novel ringkas yang saya tulis bila ilham datang melulu. Semuanya terperap, tidak terusik. Ada sebuah novel yang kertasnya sudah pun kekuningan. Dibiarkan sepi di hujung almari. Dulu saya gusar orang tidak menghargai karya saya, tapi hari ini, saya sendiri yang melakukannya. Saya berkira-kira semula, cita-cita yang satu ini bila akan saya realisasi?

Apa pun, saya doakan Allah memberikan yang terbaik untuk saya, suami dan keluarga. Semoga Allah menempatkan kami di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

2 comments:

  1. setiap org ade kehebatan masing2..setiap org ade ujian masing2..mungkin bg yg tak merasa hebatnya ujian mcm awak, tp mereka pasti sedang menghadapi ujian lain yg pd mrk sgt berat..
    ujian dan rezeki memang dtg dlm keadaan tak terduga,,
    yg penting mcm mana tawadduk dan redha mereka pd ujian Allah, tak mengeluh dan tak merungut..ujian apa pun, org itulah yg terhebat..
    menghabiskan pelajaran sebagai "biasa2" even bukan bergelar isteri, bakal ibu, sakit2 sane sini pun, ujian mereka berbeza dan malah tanpa kita tahu, mungkin lebih hebat..renung2kan..

    ReplyDelete
  2. Salam

    :)Tentulah setiap orang pun mempunyai keHEBATan masing2..
    Kalau tak dimaklumkan pun sye tahu..
    Apa yang suami sye katakan tu adalah untuk memotivasikan sye..
    Bukannya menafikan keHEBATan sesiapa..

    ReplyDelete

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...