Friday, June 24, 2011

Ujian dan Dugaan

Salam

Semalam 23 Jun merupakan hari kelahiran Mama. Saya merancang untuk menelefon Mama awal pagi lagi tapi tergendala oleh beberapa perkara. Tergendala kerana tergesa-gesa ke pejabat dan tergendala kerana baru teringat akan temujanji saya dengan Klinik Kesihatan untuk membuat pemeriksaan rutin. Alhamdulillah, semuanya baik-baik belaka. Bayi di dalam kandungan yang dulunya seberat 400g, kini bertambah menjadi 1.8kg. Masih kecil tapi ada perubahan ke arah yang lebih positif. Saya harap baki 6 minggu mampu menaikkan berat badan bayi ini mencecah 2.8kg. Ameen.

Sebaik sahaja tamat pemeriksaan doktor, Mama menelefon saya. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan harijadi walaupun suara Mama kedengaran agak lemah. Sangkaan saya mungkin kepenatan menguruskan rumah tangga. Tidak terhidu oleh saya suara itu sebenarnya berbaur kecewa sehinggalah Mama menyampaikan berita musibah yang menimpa. Saya tersentak seketika, beristighfar kerana terkejut dengan khabar berita yang disampaikan. Dua buah kereta kami dipecahkan cerminnya. Angakara siapa? Kami tidak pasti tapi laporan polis telah pun dibuat. Sewaktu saya sampai, dua buah kereta itu masih berada di halaman rumah, saya mengambil kesempatan ini untuk mengambil beberapa keping gambar.

Wira yang banyak nostalgia. Berlubang cermin belakang

Harrier yang baru saja mahu mencipta memori. Pecah cermin depan.

Laporan Polis.

Suasana rumah agak suram pada awalnya. Mungkin kerana masih lagi berada di dalam keadaan terkejut. Tapi Alhamdulillah, petangnya semua kembali ceria, mungkin mula menerima kenyataan. Musibah ini kami anggap sebagai penolak bala. InsyaAllah, Allah akan datangkan kebaikkan yang lain, yang mungkin lebih baik. Bagi mereka yang berbuat khianat, tidak akan bahagia hidup mereka atas kesusahan orang lain. Malahan matlamat yang ingin dicapai juga tidak akan berjaya diraih. Tidak akan diizinkan Allah kesenangan buat mereka; tidak dalam bentuk harta, tidak juga dalam bentuk ketenangan hati.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...