Sunday, April 17, 2011

Tanggungjawab Bila Berumur 21 Tahun

Salam

Keputusan pilihanraya Negeri Sarawak telah pun diketahui umum. Saya tidak mahu mengulas tentang keputusan itu, rasa tidak cukup ilmu untuk membuat ulasan. Namun saya ingin menyatakan beberapa perkara yang seringkali suami ingatkan pada saya. Tentang mencegah kemungkaran. Kita benar-benar disuruh untuk mengamalkan amar makruf nahi munkar, sehingga disebut dalam hadith,

Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya. Jika dia tidak mampu maka dengan lidahnya, jika dia tidak mampu maka hendaklah dia mencegahnya dengan hatinya. Demikian itu (dengan hati) adalah selemah-lemah iman.

Riwayat Bukhari dan Muslim

Betapa Allah menyuruh kita agar tidak mendiamkan sahaja kemungkaran yang berlaku. Maka dalam kes pilihanraya, kita dituntut untuk mencegah kemungkaran dengan kudrat tangan. Pangkahlah pemimpin yang benar-benar memimpin. Bukan yang hanya mahu menikmati kuasa dan kemewahan. Segalanya telah jelas di depan mata, rasuah yang berleluasa, fitnah yang tersebar luas, tidak ada lagi istilah mahu menjaga aib, malahan nyawa juga kelihatan tidak berharga. Asal sahaja soal siasat berlaku maka ada saja kemalangan yang membawa kepada kecelakaan. Tidak terfikirkah anda bagaimana soal siasat dijalankan sehingga boleh membawa kepada kematian. Dunia sekarang sudah berada di hujung jari. Kita seharusnya tidak mencetekkan pemikiran dengan mengehadkan diri dengan informasi dari sebelah pihak. Berlaku adil, bacalah akhbar dari pelbagai sumber dan nilailah sendiri kesahihannya. Saya percaya setiap dari kita punya akal yang dianugerahkan Allah, cukup untuk membuat penilaian yang betul.

Saya tidak menafikan kebaikkan yang dibawa. Tapi tidak juga saya menutup mata kepada kemungkaran yang dicetuskan, yang lebih besar impaknya berbanding kebaikkan yang dicanangkan. Benar, kalau kita membandingkan Malaysia dengan negara-negara yang lain, tentulah rakyat Malaysia ini beruntung kerana hidup dalam keadaan mewah, aman dan damai. Tapi ini adalah statement seperti mana yang dikatakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib, kalimatul haq yurodu bihal bathil yang bermaksud "Kata-kata yang benar tetapi dikehendaki dengannya adalah kebatilan". Kita tidak boleh menutup mata ke atas segala kerosakkan yang melanda Malaysia semata-mata kerana kegemilangan yang kita capai. Makanya kita berdiam diri melihat kerosakkan kerana kita hidup dalam keadaan baik berbanding beberapa negara lain yang mundur. Saya percaya, malahan yakin, seandainya segala yang keji ini dihentikan Malaysia akan menjadi lebih baik lagi.

Jangan kita semua berfikiran individualism. Cukuplah keluarga aku selamat, makan dan pakai mencukupi, maka apa yang terjadi dengan dunia ini kita tidak ambil peduli. Jiran sebelah rumah kita tidak endah dan bagaimana negara dipimpin kita tidak kisah. Ini semua akan ditanya tentang apa yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Memilih pemimpin ini merupakan tanggungjawab kita dan tentu sahaja akan ditanya di akhirat nanti bagaimana penilaian kita. Bagaimana kita memilih pemimpin?

Kalau di dunia bolehlah kita melarikan diri melalui pelbagai cara. Sama ada mengelak dari di soal siasat dengan memberikan rasuah, menutup pekung di dada dengan menyebarkan fitnah atau membuka aib orang lain atau mahu menebalkan muka mengaku salah dan kemudiannya melepaskan jawatan. Tapi di akhirat nanti bagaimana? Mahu memberi rasuah pada Allah yang Maha Kaya? Membuka pekung atau menyebar fitnah pada Allah yang Maha Sempurna dan Maha Bijaksana? Atau mahu mengaku salah dan kemudiannya mengharapkan pelepasan dari api neraka sedangkan di dunia tidak pula kita bertaubat? Serasa anda, Allah yang Maha Adil itu akan membiarkan kita berlalu begitu saja? Tepuk dada tanya Iman.

بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيئ في الأرض ولا في السماء وهو السميع العليم

Dengan nama Allah yang bila disebut, segala sesuatu di bumi dan di langit tidak akan berbahaya, Dia lah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Semoga kita semua tidak diuji dengan rasa takut dan was-was tatkala mahu menegakkan kebenaran atau tatkala mahu melakukan kebaikkan. InsyaAllah.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangakan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

1 comment:

  1. ske this entry...byk informasi...thanks dear!

    ReplyDelete

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...