Sunday, March 6, 2011

Tangisan untuk Sahabat


Salam

Dah dua bulan saya tidak dapat mendengar suaranya, tidak dapat melihat perilakunya yang mencuit hati. Kalau kerana kesibukkan yang melanda, mungkin rindu tidak menggamit sebegini rupa. Tapi kesepian itu disebabkan musibah yang menimpa. Musibah yang mengunci mulutnya, musibah yang meragut kegembiraannya. Doa tidak pernah putus saya panjatkan tapi jalan masih belum Allah tunjukkan. Mungkin mahu saya perkasakan lagi usaha, mungkin mahu saya terus pasakkan pengharapan. Air mata terbit bagai sungai yang tidak pernah kering mengalir, malahan sampai suatu saat di sulam dengan rasa marah pada insan yang dirasakan kurang bertanggugjawab. Sungguh fikiran saya tidak pernah berhenti memikirkannya, memikirkan ikhtiar yang mampu merubah segala.

Ya Allah, sembuhkanlah sahabat saya. Sahabat yang saya cintai sepenuh jiwa. Sahabat yang dahulunya sering menghadiahkan senyuman, menguraikan kekusutan dan menghangatkan jiwa dengan cinta dan bahagia. Ya Allah, sahabat saya kini hilang kekuatan. Tiada mampu tersenyum gembira, malahan membuka mulut pun sangat payah tidak berdaya. Sahabat saya ini dianiaya, Ya Allah. Janganlah kau terus menerus membiarkan kezaliman ini terus bertakhta. Kembalikan dia seperti sedia kala. Saya benar-benar merindukannya.

Dalam malam yang sepi
Kelam tidak berpenghuni
Hitam pekat yang bisu
Membuahkan yang tidak lain selain rindu
Wahai Yang Esa, yang berkuasa ke atas segalanya
Dengarlah tadahan doa kudus yang ku hembus dalam setiap nafas
Semoga perginya tinggi membelah tujuh susunan langit Illahi
Ya Allah, kurniakanlah sahabatku kesembuhan yang berpanjangan
Kembalikan senyumannya yang selama ini membahagiakan
Jangan dibiarkan penganiayaan tidak berperi kemanusiaan
Hati ini tidak betah lagi Ya Allah
Melihat dirinya bagai mati diuji
Merasakan usahaku bagai tidak menentu
Aku bermohon pada Mu Ya Allah
Yang berkuasa atas segala-galanya
Akihirilah segalanya
Hentikan penganiayaan
Kembalikan setiap senyuman

Kita selalu meletakkan syaitan sebagai musuh yang terang dan nyata sehingga kita alpa. Bila hati mula berdusta, mula hitam kerana dikotori dosa, maka inilah musuh yang lebih hina. Kerana sakit hatinya hingga sanggup menganiaya, rosak jiwanya hingga sanggup meragut sebuah kehidupan. Maka untuk manusia seperti ini, saya tidak akan sertakan doa melainkan doa agar Allah memberikannya balasan yang setimpal untuknya di dunia dan di akhirat kerana saya tahu siksaan Allah itu lebih dasyat dari mana-mana kesakitan yang ada di dunia ini.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangakan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...