Monday, February 28, 2011

Friendly Reminder

Salam

Terlampau banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan saya ketika ini. Assignment bertimbun yang menimbun-nimbun dan masalah kesihatan yang tidak pernah sudah. Semuanya hadir bertali dan tiada henti. Kadang-kadang terluah juga segala keluh kesah dan kadang-kadang ada juga putus asa yang mahu singgah. Tapi bila suami bacakan ayat 56 dari Surah Hijr yang bermaksud "Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhan-nya, kecuali orang-orang yang sesat", saya jadi malu sendiri. Kemudiaanya saya teringat firman Allah yang satu lagi, "Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan mengatakan : "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?" Surah Al-Ankaabut, Ayat 2. Sungguh, manusia itu perlu sentiasa diingatkan kerana sikapnya yang mudah lupa dan 'terbiasa'. Terbiasa melakukan dosa sehingga merasakan dosa itu perkara-perkara biasa sahaja.

Bercakap tentang peringatan, saya tergerak untuk memberi teguran atau peringatan kepada mereka yang memberi peringatan. Saya ada membaca artikel beberapa orang blogger yang tujuannnya mahu memberi peringatan tetapi lain pula jadinya. Peringatan yang diberikan tidak berasas dan melulu. Halal dan haram tidak lagi di rujuk pada Al Qurah dan Hadith, malahan ada juga yang dibawa tidak sejajar dengan keadaan masa kini. Sedangkan Islam itu agama sepanjang zaman, biar berabad-abad atau berdekad-dekad masih boleh diaplikasi. Semua hukum bersifat peribadi dan pandangan individu tetapi diletakkan hukumnya pada orang ramai. Bolehkah begitu?

Ada juga yang 'copy paste' atau 'repost' peringatan tanpa mengkaji kesahihannya terlebih dahulu. Sebagai contoh post 'Waktu Berjimak yang dituntut dalam Islam' yang didalamnya mengandungi huraian yang tidak munasabah, sedangkan hal-hal yang begini memerlukan dalil naqli (Al Quran dan Al Sunnah). Saya bukanlah mereka yang bijaksana dalam hal-hal sebegini tapi saya mohon agar kita berkongsi sesuatu yang pasti kesahihannya. Andai perkara itu benar, biarlah kebaikkannya menyimbahi semua, andai yang diwar-warkan itu dusta biarlah terhapus tanpa penyebaran yang sia-sia.

Ini pula peringatan kepada sesuatu perkara yang saya sendiri pernah lakukan. Tentang pengkisahan kembali cerita-cerita para Anbiya' yang tidak terkandung di dalam Al Quran atau Hadith. Saya diberitahu suami tentang sumber-sumber yang diperolehi dari Israeliyat. Sumber-sumber sebegini ada yang benar, ada yang dusta dan yang tidak diketahui kesahihannya tapi kita tidak dibenarkan menghakiminya, mengatakannya benar pun tidak, dan mengatakannya dusta pun jangan. Sebaik-baiknya, kita jangan melampaui nas-nas (Al Quran dan Al Sunnah) di dalam perkara ini.

Apa yang saya disampaikan disini bertujuan untuk memberi peringatan kepada diri saya juga. Mahu kita semua perbaiki cara kita dalam melakukan perkara yang baik. Tidak mahu niat suci iaitu memberi peringatan buat saudara seIslam ternoda kerana peringatan yang diberi tidak sejajar dengan tuntutan Illahi.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangakan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...