Friday, March 25, 2011

Rahmat Allah 2

Salam.

Rahmat Allah itu datang dalam pelbagai bentuk. Saya merasainya dari pelbagai sudut. Bermula dari awal pagi, tatkala mata ini celik mendengar sayup-sayup azan hinggalah berat mahu terkatup setelah sehari kepenatan. Suka untuk saya menyambut doa dari Surah Al Mukminun, Ayat 18 "Ya Tuhanku berilah ampun dan berilah rahmat, dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling baik."

Berkali-kali saya tekankan kepada beberapa orang teman dan saudara terdekat, kasih sayang manusia itu juga rahmat dari Allah. Rahmat yang Allah salurkan melalui hati-hati manusia. Seperti firman Allah kepada Nabi Muhammad SAW "Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu." Surah Al Imran, Ayat 159. Betapa Allah memasukkan rasa kasih sayang di dalam hati manusia yang menimbulkan rasa sayang yang teguh dan utuh untuk manusia yang lain. Besarnya rahmat Allah. Sampai kepada kita, dari pelbagai cara.

Diantara rahmat Allah yang paling saya syukuri ialah cinta luhur suami untuk saya. Tatkala matahari mula menampakkan diri, memberi sinar pada penduduk bumi, maka suami akan menghadiahkan saya kucupan penuh kasih. Kata-kata indah mengejutkan dan memperingatkan saya tentang tuntutan harian. Cinta itu berlanjutan hingga ke malam hari. Dan saya akan melelapkan mata dengan ucapan salam dan ciuman cinta yang mendamaikan. Sungguh cinta sebegini, kalau tidak kerana rahmat Allah, masakan saya merasai ketenangan melaluinya.

Baru-baru ini saya berasa sedikit kecewa dengan insan terdekat yang tidak mengendahkan hati dan perasaan orang lain. Bagai tiada nilai kasih sayang dan nasihat yang dicurahkan walhal semuanya dilakukan untuk kebaikkannya juga. Tidakkah dia terfikir betapa payahnya bila melihat insan yang kita sayangi terus menerus melakukan kesilapan, hanyut dalam kelalaian dan jauh dari kebahagiaan? Kerana rasa payah ini nasihat terus menerus diberikan, kasih sayang tanpa putus disalurkan. Mahu mengelak dari mengecilkan hati, maka bertungkus lumus kami memperhalusi setiap bait perkataan, biar pergi meresap ke dalam hati bukannya meninggalkan rasa sakit tidak terperi.

Saya mula merasakan kebuntuan pada setiap cara yang diusahakan. Tidak ada lagi cara yang boleh saya ketengahkan, kata-kata saya menjarakkan kami dan saya melihat jarak ini akan membawa kepada kerosakkan yang lebih besar. Maka segalanya saya serahkan pada Allah, pemberi hidayah dan pemberi pengajaran.

Tuhanmu lebih mengetahui tentang kamu. Dia akan memberi rahmat kepadamu jika Dia menghendaki dan Dia akan meng'azabmu, jika Dia menghendaki.

Surah Al Israa', Ayat 54

Untuk dia yang saya kasihi, renunglah kembali kehidupan awak. Benar, diusia muda lagi awak telah diuji dengan pelbagai mehnah tapi itu tidak bermakna awak berhak melakukan apa sahaja apabila awak dewasa. Mehnah itu bertujuan mendidik, bukan menjadikan awak angkuh. Saya seringkali mendengar keluhan terbit dari bibir, payah benar awak mahu bahagia. Pernahkah awak berfikir kenapa? Kerana syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Biar dunia ini dihujung jari, semua benda mampu dibeli, tapi kalau hati ibu tidak merelai, bahagi tidak mungkin awak kecapi. Mungkin ibu awak ada melakukan kesalahan kerana dia juga manusia biasa, tapi ini bukan caranya menangani kesalahan seorang ibu. Kerana tidak kira apa pun salahya, darjatnya tetap juga seorang ibu yang mengandungkan awak selama 9 bulan, dan membesarkan awak dalam serba kekurangan tapi awak tetap mampu menjadi orang yang berilmu. Dan satu perkara lagi, saya percaya, jika awak mempunyai anak suatu hari nanti tentu juga awak mengharapkan awak tidak diperlakukan seperti mana awak memperlakukan ibu awak. Jangan dihujah yang awak tidak akan mengulangi kesilapan ibu awak kerana dari apa yang saya lihat, awak mewarisi kebanyakkan personalitinya. Renungkanlah, jangan tunggu segalanya terlambat. Sama ada ibu awak pergi selamanya atau hatinya beku melihat perilaku anak sendiri yang payah benar mahu menumpang kasih.

Saya hanya mampu menasihiti, yang lainnya terserah pada awak. Mahu berubah atau buat tidak endah. Satu sahaja pesan saya, bila segalanya sudah berakhir, menangis air mata darah sekalipun tidak mampu merubah segala yang punah.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangakan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...