Sunday, October 17, 2010

Khabar Berita

Salam

Baru-baru ini saya menerima beberapa berita gembira dari pihak keluarga dan teman seperjuangan. Seorang teman yang umurnya setahun lebih muda daripada saya akan mendirikan rumah tangga Nov ini. Manakala sepupu saya, sekali lagi bakal menjadi bapa. Syukur untuk kedua-dua berita.

Alhamdulillah, walimah teman diadakan ketika UIA sedang bercuti Aidiladha. Saya dan suami akan pulang ke Terengganu dan akan menghadirinya di sana nanti. Kebetulan rumah dia betul-betul bersebelahan dengan kampung suami saya. Sebetulnya saya langsung tidak menjangka berita ini dari dia. Dan bila saya memberi komen tentang kejutan ini, dia ringkas menjawab, “Hanan ikut jejak langkah Nabila la. Mengejut”. Saya tersenyum, tidak tahu apa nak di kata. Bezanya saya dan dia, kejutan itu berlaku kerana saya dan suami baru sahaja berkenalan dan terus saja mahu mendirikan rumah tangga. Tapi dia dan bakal suami (InsyaAllah), sudah lama berkenalan, cumanya hubungan itu dirahsiakan dari pengetahuan umum. Pandai sungguh dia berahsia. Alhamdulillah, selesai sudah separuh daripada agamaNya dan kini dia harus mengerjakan separuhnya lagi.

Ya, isteri sepupu saya sekali lagi mengandung selepas mengalami keguguran pada kali pertama. Tahniah saya ucapkan. Jujurnya perasaan ini bercampur baur, saya tidak mampu menafsirkan hati saya dengan lebih mendalam. Pada mulanya saya gembira mendengar berita itu, cepat sungguh rezeki seterusnya menyusul.Tapi bila saya dan suami berdua-duaan. Perasaan syahdu kami bersatu dan saya mengalirkan air mata. Bukan perasaan mahu menjadi ibu yang menyakitkan tetapi perasaan mahu memenuhi kehendak suami saya yang begitu mahukan anak sebagai pelengkap kehidupan kami. Lama kami diam dan suami mula bersuara, menyarankan saya agar mendahulukan kesihatan dan kemudiannya baru memikirkan soal anak. Saya akur, dan dalam pada masa yang sama saya menanam tekad, mahu berusaha lebih gigih untuk mendapatkan rezeki cahaya mata. Apa-apa pun, kita hanya berusaha. Allah yang menentukan segalanya. Sebetulnya seperti adik ipar dan bakal adik ipar (InsyaAllah) saya katakan, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita dan kita tidak akan diuji dengan sesuatu yang kita tidak mampu.

Oh ya, ini kali pertama saya mengupdate blog menggunakan Windows Live Writer. Pada asalnya saya mahu meng'download' snipping tool bagi memudahkan saya untuk membuat presentation. Jadi bila mahu download snipping tool, mereka letak syarat supaya install Windows Live Writer. Nak dijadikan cerita, dah habis download pun saya masih tidak dapat download snipping tool. Geram sungguh. Ada sesiapa dapat bantu saya? Macam mana nak dapatkan snipping tool?

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...