Friday, October 15, 2010

C.I.N.T.A

Salam

Terasa seperti mahu mengimbau kenangan pada hari ini. Kenangan pertemuan saya dengan insan yang istimewa di hati, yang mengajarkan saya erti cinta dan rindu, yang mendidik saya tentang Allah dan agama. Sebetulnya pertemuan antara saya dan dia adalah sesuatu yang tidak dirancang, saya tidak pernah menjangka akan bertemu dengan lelaki sepertinya.

Ya, sudah menjadi idaman setiap wanita untuk memperolehi seorang suami yang soleh, bertanggungjawab, memahami dan mengambil berat. Saya bersyukur di pertemukan dengannya. Pada awal perkenalan kami, saya dihimpit dengan perasaan ragu, saya berasa kami merupakan sesuatu yang tidak ditakdirkan bersama. Keadaan saya dan dia terlampau jauh berbeza. Saya melihat dari sudut saya berdiri dan melihat pula dimana dia berpijak.

Laki-laki yang berzina tidak mengawini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikawini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mu'min .

Surah An-Nuur, Ayat 3

Dia merupakan seorang pejuang agama, agenda kehidupannya sering terisi dengan ilmu dan penghayatan. Berbeza dengan saya yang sering menghabiskan hari dengan perkara-perkara yang lagha. Kalau dia mendalami ilmu agama, saya bidang ekonomi. Kalau dia menghadiri ceramah agama dan usrah, saya menghabiskan masa terluang dengan menonton theatre. Sedang dia bertadarus dan mengahafaz Al-Quran, saya bergelumang dengan novel-novel Inggeris(kebetulan waktu itu semangat nak improve English berkobar-kobar). Tatkala dia mengikuti aktiviti-aktiviti parti, aktif berpolitik, saya merancang untuk tidak terlibat dalam pilihan raya yang akan datang. Kami sangat jauh berbeza, tidak ada siapa yang akan menyangka bibit-bibit cinta itu akan terbit antara kami.

Pertemuan kami tidak disengajakan, bersama seorang teman saya tidak pun diperkenalkan dengannya. Mendengar perbualannya dengan teman yang lain, saya tahu yang kami berbeza, terlampau banyak percanggahan pendapat dan perselisihan pandangan pada waktu itu. Saya tidak merasakan sebarang keserasian. Namun, pertemuan itu membuahkan persahabatan. Saya sendiri tidak pasti bagaimana ianya berkembang menimbulkan perasaan aneh yang indah.

Saya hanya membiarkan perasaan baru itu bercambah, tidak salah bagi saya untuk menyimpan perasaan pada lelaki sepertinya. Bagi saya, walaupun kami tidak mungkin bersama(kerana perbezaan yang nyata) tapi saya tetap mahu menyimpan perasaan itu. Sehinggalah pada hari yang Allah tentukan, dia melafazkan kata-kata yang menjadikan hubungan ini naik setaraf lagi. Saya bersyukur.

Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu dengan sindiran atau kamu menyembunyikan dalam hatimu. Allah mengetahui bahwa kamu akan menyebut-nyebut mereka, dalam pada itu janganlah kamu mengadakan janji kawin dengan mereka secara rahasia, kecuali sekadar mengucapkan perkataan yang ma'ruf . Dan janganlah kamu ber'azam untuk beraqad nikah, sebelum habis 'iddahnya. Dan ketahuilah bahwasanya Allah mengetahui apa yang ada dalam hatimu; maka takutlah kepada-Nya, dan ketahuilah bahwa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.

Surah Al-Baqarah, Ayat 235

Namun semuanya tidak semudah itu.Saya bukanlah calon yang terbaik untuknya. Jauh dari apa yang diharapkan keluarga dan berbeza sungguh dengan expectation para sahabatnya. Memilih saya, bagai memilih untuk menongkah arus deras yang payah. Kesulitan itu turut saya rasai. Pelbagai khabar berita yang tidak enak mula menjadi halwa telinga, namun saya tetap bersabar kerana saya yakin dia yang terbaik. Lagipun, bahagia tak mungkin datang dengan mudah. Usaha dan pengorbanan itu perlu ada.

Dia menasihatkan saya agar bersolat hajat dan membuat sembahyang Istikharah. Dirinya tidak pernah berhenti memohon petunjuk daripada Allah, solat Istikharah menjadi amalannya saban malam. Saya memanjatkan doa pada Allah agar hubungan ini dipermudahkan. Selama 22 tahun bergelar seorang gadis, hati saya tidak pernah disinggahi mana-mana lelaki, malah hati saya tidak pernah terbuka untuk mendirikan rumah tangga, lebih-lebih lagi di usia muda sebegini. Hanya Allah tempat kami mengadu.

Isu keewangan mula muncul menampakkan diri. Tidaklah seberat mana pada saya, kerana saya yakin pada usahanya. Saya juga yakin pada Allah dan kesanggupan saya untuk melayari bahtera rumah tangga dengannya, walaupun dilanda badai ekonomi atau dilambung ombak perbezaan cara hidup. InsyaAllah.

Dan kawinkanlah orang-orang yang sedirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas lagi Maha Mengetahui.

Surah An-Nuur, Ayat 32

Namun di pihak keluarga, ianya tidak di pandang remeh. Keluarga mana yang tidak mengambil tahu tentang keewangan bakal suami si anak? Mahu melepaskan anak perempuan, sulung, tentulah satu keputusan yang berat, pelbagai aspek diambil kira. Walaupun tidak langsung menekan, ibubapa saya tidak pernah lekang bertanya tentang persediannya.

Ibubapa saya bersetuju bahawa perkara yang baik ini tidak perlulah dilengah-lengahkan tapi tidak juga terkejar-kejar untuk melaksanakannya. Takut nanti tidak tercapai tangan, akan menimbulkan mudarat yang lain pula. Dia cukup memahami kebimbangan itu dan saya menghargainya. Usahanya semakin keras, dia tetap juga mahu mencapai matlamat yang sama. Hatinya tidak tenang bersahabat seperti ini, dan saya sedaya upaya memahami perasaan itu.

Hari berganti minggu dan minggu berganti bulan, Alhamdulillah. 06/06/10 saya dan suami selamat di ijabkabulkan. Perasaan br muncul. Perasaan syahdu menjadi serang isteri dan detik itu juga, rasa cinta semakin kuat membekas di hati. Kuasa Allah, hanya dengan lafaz akad, cinta saya pada dia mekar lebih dari apa yang biasanya di rasa. InsyaAllah, selamanya kami mahu bersama. Di alam sementara mahupun yang kekal selamanya.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...