Friday, September 17, 2010

Raya di Terengganu, Raya Penuh Hikmah

Salam

Kami tiba di Terengganu 3.30 petang, 2 hari sebelum berakhirnya Ramadhan. Dan seperti yang saya jangkakan, puasa dan raya di Terengganu ternyata berbeza. Mengajar saya banyak perkara dan memberi makna kepada pelbagai rasa. Hari pertama puasa di sana, ayah menjemput seorang lelaki Kurdi dari Iraq untuk bersama-sama berbuka puasa. Esoknya sehari sebelum raya, kami berbuka di rumah Tok Tepuh, di Tepuh. :) Bekalan makanan semuanya di bawa dari rumah memandangkan Tok tepuh lumpuh separuh badan. Saya mula merasakan keakraban diantara adik beradik suami.

Raya tanpa keluarga di sisi tentu sahaja berbeza dan mengundang rasa sedih di hati tapi Alhamdulillah, kesunyian itu terisi dengan kemesraan dari kakak dan adik ipar saya. Raya pertama ternyata meriah dan penuh dengan kenikmatan hidangan yang disajikan oleh Mak dan Atirah. Satay, Nasi Arab, Nasi Dagang, Kuah Kacang, Nasi Impit dan Ayam Goreng Berempah menjadi hidangan utama untuk hari itu. Saya dapat merasakan betapa berat badan saya akan bertambah. Saya berkenal-kenalan dengan saudara mara belah mak dan ayah. Kawan suami dan para pendidik MTT(Maahad Tahfiz wal Tarbiyyah Darul Iman). Mungkin tidak banyak yang saya bualkan, kerana kadang-kadang saya sendiri kehabisan modal tapi saya menikmati sesi taaruf ini. Moganya memberi manfaat dunia akhirat.

Raya kedua kami ke rumah saudara mara sebelah ayah. Sungguh, di kampung penempatannya dekat-dekat belaka. Jarak dari 1 rumah ke 1 rumah yang lain, hanya mengambil masa 5 minit, paling lama pun 15 minit. Tidak ada sesi membuang masa dalam kereta, sepanjang hari dimanfaatkan dengan merapatkan silaturrahim. Saya berkira-kira dalam kepala, cuba menghafal setiap wajah dan nama saudara mara pihak suami.

Raya ketiga aktivitinya berlainan sedikit. Paginya kami adik beradik ke Majlis Perantau Terengganu. Majlis berkumpulnya anak-anak Terengganu yang berada di Perantauan. Banyak maklumat yang membuka mata di kongsi di majlis tersebut. Saya gembira melihat semangat anak-anak muda yang berkobar-kobar mahu membawa perubahan dan sensitiviti mereka terhadap isu-isu yang di bentangkan. Berlainan sungguh dengan remaja Kuala Lumpur yang kebanyakkannya hanya tahu berhibur dan hidup selesa. Asal mereka cukup makan, boleh bersuka-suka dan bebas bersosial maka apa pun terjadi dengan negara, lantak lah. "Janji aku selesa". Malamnya rumah dimeriahi dengan kedatangan bekas-bekas pelajar MTT ke program Sis Bakti. Program reunion sebenarnya, menemukan kembali teman-teman seperjuangan yang berpisah bagi meneruskan kehidupan masing-masing. Malam itu saya agak pasif, lambat turun menemui tetamu dan tidak pula pergi mendengar ceramah dan ucapan para pendidik di masjid. Mood saya agak terganggu, ditambah pula dengan kepenatan. Pinggang saya masih tidak selesa bekerja keras dan suhu badan saya pasang surut. InsyaAllah, tahun hadapan, bila mana saya sudah semakin bagus dalam membawa diri dalam pergaulan dan kesihatan juga semakin menggalakkan saya mahu memberika komitmen 100% kepada aktiviti Ayah dan Mak anjurkan. InsyaAllah. :)

Cadangan dari adik ipar saya yang pulang bercuti dari Indonesia untuk ke Air Terjun Sekayu menjadi agenda kami pada Raya keempat. Saya melepaskan rindu untuk mandi manda dan berseronok. Seingat saya, bertahun lamanya saya tidak ke air terjun. Segan dengan persekitaran dan masyarakat setempat kerana saya yang tinggi lampai dan besar panjang :p Tapi bila dah bersuami, saya rasa lebih selamat dan terlindung, makanya kesempatan itu saya ambil untuk mandi sepuasnya. Ditambah pula dengan perhatian suami yang sangat prihatin dengan keselamatan saya. Asal tempat itu dalam dan merbahaya, maka dia melarang saya untuk mandi di kawasan itu. Ada masa, dia duduk di atas batu dan saya memegang kakinya untuk mengapungkan diri, berangan-angan kononya dapat berenang :) Ya Allah, saya menyintainya, menyintai didikan yang diberikan yang seiring juga dengan keperluan emosi saya.

Kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada Raya kelima, selepas kakak ipar saya bertolak ke Johor. Perjalanan pulang agak lancar dan menenangkan. Suami membawa saya melihat-lihat pantai Terengganu yang terkenal dengan kecantikkannya. Saya berazam dalam hati, mahu mengunjungi tempat-tempat ini suatu hari nanti. Perjalanan pulang mengambil masa lebih dari yang sepatutnya. Kami singgah di pantai yang berlainan untuk menikmati bekalan yang emak kirimkan. Nasi Arab, Gulai Ayam dan Daging Masak Merah. MasyaAllah, nikmat sungguh. Kami tiba di Kuala Lumpur jam 8.30 malam.

Raya di Terengganu memberikan saya pengalaman yang berbeza. Pengalaman yang mengajar saya bergaul dengan orang ramai, menjelaskan sedikit demi sedikit gambaran kehidupan keluarga suami saya dan perjuangan mereka, memberi saya ilmu yang baru dan yang paling penting, merapatkan hubungan kami adik beradik. Kegusaran(takut tidak dapat 'masuk') saya semakin reda, Aidilfitri ini merapatkan kami. Moganya biarlah hubungan ini semakin baik hari ke hari, mencambahkan rasa sayang yang berpanjangan. InsyaAllah.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

p/s: Post seterusnya, raya di Kuala Lumpur

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...