Friday, September 17, 2010

Raya Urban di Kuala Lumpur

Salam

Saya sampai di Kuala Lumpur tepat pukul 8.30 malam Raya kelima. Abah, Mama dan adik-adik setia menanti. Seronok rasanya berjumpa dengan mereka. Suasana raya itu masih terasa walau berpakaian biasa dan sederhana. Tidak ada aktiviti sebenarnya yang kami lakukan selain menonton TV, maklumlah, saya baru saja sampai. Penat masih bersisa. Malam itu saya mengalirkan air mata bukan kerana sesi bermaaf-maafan tapi kerana menonton iklan hari raya. Dua iklan yang menyentuh hati saya. 1 iklan mengenai seorang perempuan yang kematian suami tapi tetap pulang ke kampung, mengekalkan hubungannya dengan keluarga mentua. Dan 1 lagi iklan ialah iklan seorang anak yang dikunjungi bapanya, dia sedikit lupa untuk bertanya khabar ibubapanya tapi di akhir iklan itu dia sebenarnya sudah membelikan sebuah rumah untuk ayahnya. Saya menangis, beremosi secara tiba-tiba. Habis kehairanan 1 rumah dan suami saya memanggil saya menghampirinya. Dia memeluk saya erat, memujuk saya. Alahai, syahdu di hari raya kelima rupanya. :)

Raya keenam saya berkunjung ke rumah rakan taulan. Sepanjang tahun tidak berjumpa, inilah kesempatan untuk bersua muka. Rumah pertama saya kunjungi ialah rumah Maryam dan Siti Hajar, kemudiannya kami ke rumah Aryanti, ke rumah seorang sahabat yang sering membuatkan saya ketawa-Azriza dan akhir sekali ke rumah teman suami saya di Yaman. Perut terasa begitu penuh dengan makanan. Bermacam-macam hidangan disajikan. Raya keenam memang kami kekenyangan. Terasa seperti naik berat badan. Tapi saya buat tidak endah, kalau ditimbang nanti bimbang pula mahu beraya ke rumah teman yang lain.

Esoknya giliran kami membuat makan, saya menjemput semua rakan taulan ke rumah saya pada Raya ketujuh. Walau tidak semua menghadirkan diri, kemeriahan tetap dapat dirasai. Riuh rendah rumah dibuatnya. Majlis ini tidak dirancang sebenarnya, kebetulan ramai kawan adik yang mahu bertandang, yang memerlukan mama memasak secara 'pukal', maka saya turut menumpangkan nama kawan-kawan dalam senarai tetamu jemputan. Maaf pada yang tidak tersenarai tapi jangan ada yang bersungut. Rumah ini sentiasa terbuka, asal saja dikhabarkan kehadiran, maka mama akan memasak yang enak-enak. InsyaAllah. Hari itu, ramai kenalan lama yang kembali bertemu, maka pelbagai ceritalah yang dikongsi. Berita dan gosip memang tidak ketinggalan. Perempuan. Susah benar mahu dipisahkan dengan gosip. Saya menerima tetamu hingga ke malam hari, terima kasih teman kerana sudi meluangkan masa.

Raya kelapan semuanya seperti biasa. Tiada yang istimewa. Mungkin ini boleh dipanggil hari rehat untuk kami sekeluarga setelah berpenat lelah seharian suntuk semalam. Mungkin juga boleh dipanggil sebagai hari rehat untuk perut yang sentiasa kekenyangan.

Esoknya saya menjemput kakak dan adik-adik ipar saya untuk menyambut Raya kesembilan di rumah kami. Mama sangat teruja dengan kedatangan mereka. Berkali-kali dia bertanya tentang menu yang mahu dihidangkan untuk para tamu. Akhirnya setelah dipersepakati, Mama menyajikan Ikan Kerapu 3 rasa, Tom Yam Campur, Ulam-ulaman berserta Sambal Belacan dan Ikan Kerisi Goreng. Puding Karamel seperti biasa sebagai desert. Saya berkesempatan melepaskan rindu pada anak saudara, Adam. Seronok melayan keletahnya yang sangat suka dengan Ultraman. Petang itu dia tertidur di pangkuan saya, seronok sungguh rasanya. Bertambah-tambah kemahuan saya dan suami. Semoga Allah mengurniakan kami rezeki. :)

Sekali lagi kami berehat memandangkan esoknya kami akan menghadiri 4 jemputan makan-makan. Kami mengambil kesempatan ini menyambut Raya kesepuluh untuk bermanja-manja suami isteri. Tiada yang istimewa, kami hanya menyambut raya bersama. Setelah beberapa lama berhari raya, baru hari ini rasanya menyambut raya sepenuhnya bersama suami. Bergelak ketawa, berbincang dan bercerita tentang raya yang kami nikmati, dari sudut pandang yang berbeza.

Kami ke rumah Dr. Hatta Ramli. Cadangnya mahu menikmati kambing golek, tapi rezeki tidak menyebelahi. Habis. Yang tinggal hanyalah gulai kambing. Saya redha dan menikmati pelbagai juadah lain yang disediakan. Destinasi seterusnya di Puchong, ke rumah sepupu saya yang baru saja naik ke rumah baru. Jadi majlis yang diadakan boleh dikatakan seperti 2 dalam 1. House Warming dan Hari Raya. Saya menikmati pemandangan rumahnya yang begitu mendamaikan. Kemudian kami ke Bangi, ke rumah teman suami saya ketika di Sudan. Oleh kerana destinasi setiap rumah yang kami kunjungi jauh antara satu sama lain, makanya saya tidak dapat menghadirkan diri ke rumah rakan karib saya. Sedikit kesal pada awalnya, tapi cepat-cepat saya memujuk hati. Saya akan mengunjungi rumahnya, sekalipun raya tidak bersisa. Saya dan suami mengakhiri Raya kesebelas dengan dengkuran kecil, kepenatan ke sana ke mari.

Hari ini kelas bermula seperti biasa. Saya masih dalam mood raya, seperti mana pelajar yang lain. Tumpuan masih belum 100% fokus pada pembelajaran. Raya kedua belas, pelajar IIU sudah mula memperagakan baju baru. Saya masih dengan yang dulu, tahun ini tidak berkesempatan membeli baju baru tapi saya tetap beraya sakan. Tak apa, kita utamakan kesihatan. Kalau berbaju baru tapi berwajah lesu pun tidak indah juga. Setakat ini, ada 2 lagi jemputan yang perlu saya hadiri. Apa-apa pun moganya kita menyambut kemeriahan ini dengan kesyukuran dan keserdahanaan. InsyaAllah.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...