Sunday, September 5, 2010

Mengakhiri Ramadhan

Salam

Hari ini 26 Ramadhan, beberapa hari saja lagi tinggal menjelang Syawal. 5 hari saya tidak berpuasa, bukan kerana ke'uzur'an tapi kerana keuzuran kesihatan. Demam panas yang mencecah 39.2 celcius, tekak yang melepuh, bengkak dan keputih-putihan sangat memeritkan. Minum jadi sukar apatah lagi mahu menjamah makanan. 3 hari saya tidak dapat bersuara dengan baik. Saya terasa seperti berada di hujung usia. Berkali-kali saya mengalirkan air mata dan mencurahkan segala rasa sendu pada suami. Saat dada terasa begitu sesak dan sukar benar mahu bernafas saya merintih, "Saya nak hidup dengan awak dunia dan akhirat, tapi saya tak rasa saya dapat masuk syurga". Suami memeluk tubuh saya erat, kesedihan itu bagai bersatu dengan rasa sakit yang mencengkam hingga ke tulang hitam. Bila pagi menjelang tiba, dan saya masih terasa sakitnya, saya menangis "Awak, Allah still tak bagi saya kesembuhan".

Kami ke PUSRAWI, mahu menerima rawatan yang sepatutnya, selepas kecewa dengan rawatan yang diterima dari PPUM. Tidak seperti selalu, 2 jam penantian di PPUM bertukar kepada 10 minit di PUSRAWI. Saya diperiksa dan dibiarkan baring di wad sementara(bukan di kerusi besi) untuk menerima suntikan dan sementara menunggu keputusan ujian air kencing dan darah. Tidak sampai setengah jam, keputusan kami terima. Sedikit kecewa bila dikhabarkan dalam darah juga ada jangkitan kuman. Mungkin kerana dirawat sambil lewa, jangkitan telah pun merebak. Saya tidak banyak berfikir, kepala yang berdenyut-denyut menyukarkan saya membuat kesimpulan. Suami saya ternyata kecewa dengan apa yang terjadi.

Petang itu saya masih terlantar sakit, badan terasa berbahang-bahang. Minyak panas yang diletakkan untuk melegakan sakit tulang belakang tidak terasa berbisa. Mama menghampiri, air mata ibunya tumpah. Mengenangkan arwah pak cik saya yang kembali ke rahmatullah 2 tahun lalu, mama berbisik dalam sendu "Selalunya orang yang sampai umur je yang naik dalam tekak macam awak ni'. Saya tidak bersuara, tidak terkejut. Saya menjangkakannya memandangkan rasa sakit yang ditanggung. Malamnya, nenek saya pula menumpahkan air mata dan mengeluarkan kata-kata yang sama. Melihatkan saya yang tenang nenek agak marah, "Sakit macam ni, orang takut. Sakit. Awak jangan ambil ringan. Ikhtiarkan semua, biar sihat". Nenek, siapa lagi yang lebih tahu tentang rasa sakit itu melainkan saya.

Alhamdulillah, setelah genap seminggu sakit, hari ini saya beroleh kesihatan. Walaupun tekak masih terasa perit dan masih perlu menapis apa yang perlu di makan. Namun ada sedih yang bertandang, saya tidak boleh pulang ke Terengganu untuk berhari raya kerana aircond dan perjalanan yang jauh menganggu keadaan kesihatan saya. Teringat pada kali pertama saya travel, tekak terasa perit, aircond menyebabkannnya pedih. Saya surrender, tidak mampu menahan sakit. Maka saya dan suami terpaksa mengambil keputusan untuk raya berasingan. Sedih, inilah impian kami. Mahu meraikan Syawal bersama, pertama kali sebagai suami isteri. Suami saya pantas memujuk, dia hanya pulang untuk beberapa hari dan kemudiannya akan meraikannya bersama saya. Tapi, kalaulah kesedihan ini dapat dibuang jauh-jauh.

Ramadhan kali ini penuh dengan dugaan. Serasa saya, inilah Ramadhan yang paling sukar saya lalui. Cukup dengan kesibukan sebagai seorang pelajar, ditambah pula dengan keadaan kesihatan yang semakin teruk dari hari ke hari. Ramadhan kian berakhir, saya mahu melihat kemana telah saya melangkah, dalam rasa sukar dan payah. Ramadhan kali ini saya akhiri dengan rasa sendu di hati.

Maaf, saya dipenuhi emosi. Air mata sentiasa murah, mengalir dan terus mengalir. Saya menadah tangan, memohon kehadrat Illahi agar diberi keteguhan hati. Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

2 comments:

  1. NABILA... ana sgt riso...

    kmu ok ker???

    ReplyDelete
  2. To armouris

    Sye bukan skt tulang belakang...
    Sye dmm panas sbb tue sengal2 badan....

    To fara

    Alhamdulillah...mkn ok Ana...
    InsyaAllah...tak ada apa2 lagi ni...
    Doakan saya panjang umur k... :)

    ReplyDelete

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...