Saturday, August 28, 2010

Anehnya Cinta

Salam

Saya membelek-belek jadual suami, mahu memastikan jadual waktunya.Lebih mudah kalau saya tahu bila dia akan tergesa-gesa berbuka dan kemudiannya terus bergegas ke masjid dan bila pula masanya dia akan kelihatan santai dan menikmati setiap suapan. Alhamdulillah, keizinan daripada suami telah saya perolehi dalam memenuhi undangan berbuka puasa bersama rakan-rakan. Ada 3 hari kesemuanya, ada sedikit rasa teruja di situ lebih-lebih lagi untuk pergi berbuka bersama rakan sekuliah, katanya mahu ke Restoran Nelayan. Saya tidak menyanggah dan tidak juga mencadangkan apa-apa. Kalau tu kata majoriti maka saya dengan senang hati menuruti.

Baru-baru ini saya ada melihat video beberapa ekor anak kucing yang sangat comel. Tak henti-henti saya ketawa. En Suami hanya memerhati, kadang-kadang dia tersnyum. Bukan kerana melihat kecomelan kucing tapi kerana melihat gelagat saya. Beberapa minggu yang lalu, saat suami saya menemani Syaza ke CIMB, saya leka di kedai bersebelahan yang mempamerkan binatang peliharaan. Selesai urusan Syaza, suami saya menghampiri dengan gelengan dan senyuman. Saya mencuba nasib, memujuknya agar mengizinkan saya memelihara seekor Arnab yang berbulu putih dan hitam, gebu sungguh dan saya tidak dapat menahan perasaan. Suami saya menolak dengan penuh sindiran, "Ok, nanti kita beli. Tiap-tiap bulan kita bagi dia makan, kita tak payah makan". Saya memuncungkan mulut mahu merajuk tapi terbantut bila suami mencubit pipi lantas memimpin tangan saya menuju ke Kiosk McD, membeli aiskrim yang sangat saya gemari. How sweet. Adakah saya mudah di aiskrimkan? Tak apa lah, dengan En Suami, bukan aiskrim, andai batu sekali pun saya sanggup (Eceh..)

Teringat perstiwa saya di bangku sekolah, saya menyimpan sekeping foto seekor monyet di dalam dompet dan Abah tidak menyenanginya. "Buat apa simpan gambar monyet? Orang semua simpan gambar Mak dan Ayah". Saya merungut di dalam hati. Mama hanya ketawa. Seluruh ahli keluarga sudah sedia maklum dengan minat dan kasih saya pada binatang yang berlebih-lebihan. Pernah juga Abah menegur bila saya bercerita tentang haiwan, "Nabila muka haiwan tu sedih ke apa ke, semua dia tahu. Semua emosi haiwan dia dapat baca". Kadang-kadang saya boleh tertawa tanpa henti dan merenung penuh minat pada gamabar-gambar haiwan yang ada di majalah dan rancangan TV. Ya, saya memang sukakan haiwan. Pernah saya terfikir untuk memelihara Harimau Siberian yang berbelang hitam dan putih. MasyaAllah, sungguh cantik harimau itu. Tapi memandangkan keadaan saya dan tempat saya berada, tentu sahaja ini semua hanya impian semata.

Pernah juga suami saya menyindir, "Orang semua macam-macam cerita dengan suami, pasal kawan la, pasal pengalaman masak la. Awak cerita pasal badak." Itu respond En Suami bila saya sibuk ketawa memberitahunya tentang keratan akhbar yang saya baca. Tentang seekor buaya yang tanpa perasaan menjadikan badak sebagai laluannya untuk merentas sungai. Berang dengan perangai buaya yang tidak tahu malu, badak makan buaya. Pelik dan kelakar, seminggu lamanya saya masih ketawa mengenangkan kebodohan buaya. Memang kena sungguh dengan kata-kata anak remaja, "slumber badak". Memang badak yang itu sungguh slumber sahaja makan buaya yang lalu di atas badannya. Ada sekali JJ membuat kempen menyayangi haiwan liar, ada seekor burung Enggang dan Burung Hantu yang dipamerkan. Orang lain sibuk mengambil gambar tapi saya sibuk menterjemah emosi burung hantu, "Kesian dia, ngantuk. Dia mana biasa bangun pagi. Pagi dia tidur." Suami saya menarik tangan saya pergi, hajatnya mahu bershopping, bukan mahu membuang masa melihat haiwan. Beberapa remaja lelaki tergelak dengan kelakuan saya.

Maaf, saya tahu post kali ini agak janggal dan tidak tersangka-sangka. Saya tidak dapat menahan perasaan. Hari ini saya melihat gambar seekor Penguine. Saya suka benar melihat dia melompat di atas ais menggunakan perutnya sebelum terjun ke dalam air. :)

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaahNya

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

2 comments:

  1. salam...seronok akk bace post nabila ni...tah tertahan rasanya nak gelak bila baca post ni...anehnya cinta, uniknya nabila...hehehe..teruskanla menyayangi dan membaca perasaan haiwan yer..hehe

    ReplyDelete
  2. To ~ iela ~

    W'slm...
    Hehehehehe...Kak La mesti baru tahu kan sye ni camnie..
    Sejak msk UIA ni tak dpt nk tonjolkan rs syg tue..
    Sbbnya monyet2 kat UIA ganas2 belaka.. ;p

    ReplyDelete

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...