Monday, August 9, 2010

Waktu Yang Melewati

Salam

Baru sebulan lebih sem kali ini bermula, saya merasakannya terlalu lama. Masa terasa begitu perlahan berlalu pergi. Seperti tidak mahu meninggalkan saya. Lemah merangkak sehingga menyukarkan kedatangan hari esok yang membawa sinar harapan.

Saya mahukan tubuh yang lebih cergas dan mida yang lebih cerdas. mahu mendepani apa yang mendatang dengan gagah. Namun tidak ada yang mudah. Kalau mahu mencicip madu asli tentu sahaja kena berani mendepani lebah permaisuri. Hari ini saya ke hospital lagi, menjalani rutin rawatan yang ditetapkan doktor. Sekali lagi terpaksa mencicirkan diri dari kuliah. Ada rasa terkilan di situ, sakit tidak juga baik dan pelajaran terus menerus keciciran. Kadang-kadang ada juga saya terfikir, apakah penyakit ini akan membawa saya pergi? Nauzubillah. Amalan masih belum cukup, sekecil tapak tangan ini pun masih belum saya penuhi.

Kata doktor, penyakit saya sudah berevolusi dengan antibiotik yang diberi. Tak ada kesan lagi, jadinya, makanlah seberapa banyak yang saya mhu. Sakit itu tetap akan menyinggahi saya. Diam. Saya dan suami tidak memberikan sebarang respond, ikhtiar yang ini dirasakan tiada penyelesaian. Tambah doktor yang mahu terus membisukan kami, dia tidak akan memberi saya sebarang ubat sehinggalah doktor di Surgical Clinic memutuskan cara rawatan kepada saya. Saya terkenang kata-kata doktor di Surgical Clinic 2 minggu yang lalu yang mahu menunggu doktor di bahagian Ginekologi membuat rawatan terlebih dahulu. Diam lagi. Tiada penyelesaian selain menahan sakit yang akan menyerang tidak kira masa dan ketika.

Betul, penyakit ini bukanlah kanser atau penyakit kronik tapi sakitnya yang berpanjangan dan ubat yang tidak memberi kesan buat saya serba tak kena. Telan ubat tak berkesan, menyapu minyak tak melegakan. Akhirnya saya mengeluh kecewa, menahan sakit yang kadang-kadang menerbitkan air mata. Ya Allah, permudahkanlah semuanya.

Alhamdulillah, nikmat-nikmat lain masih Allah berikan. Suami dan kedua-dua keluarga yang memahami dan mengambil berat. Teman-teman yang banyak memberikan nasihat walaupun ramai daripada mereka kekaburan. Tidak tahu penyakit apa yang saya rungutkan. Ada juga yang memberi alternatif, tapi maaf kawan, keterbatasan tidak membenarkan saya mencuba kesemuanya. Tidak mengapa, saya masih menikmati pahit manis kehidupan, dan payau tawarnya persahabatan. Apa-apa pun doa jangan ada yang terputus, harapan dan penggantungan jangan ada yang lupus. InsyaAllah, yang kuasa ada jalannya. Walau masih tidak terlihat di mata, saya yakin pertolongan itu akan tiba juga.

Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. , niscaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa siksa hari kiamat.

Surah Al-Huud, Ayat 3

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaahNya.


p/s: ( Tapi saya tetap mahu berterima kasih waktu yang melewati . Terima kasih waktu, kerana sudi menemani aku yang buntu, tak tahu kemana liku-liku ini membawa aku pergi)

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

2 comments:

  1. kak nabila, kuatkn hati.
    kuatkn semangat. doa kami sntiasa mengiringi..

    ReplyDelete
  2. Salam.

    Thanks Wawa... Terima kasih atas doa yg tak putus dan semangat yang tak jenuh meniup ke dasar hati. Semoga Allah membalas semuanya... :)

    ReplyDelete

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...