Monday, July 26, 2010

Kesekian Kalinya Impian

Salam

Dah berkali-kali senja melabuhkan tirai. Malam yang datang silih berganti tidak lagi mendatangkan rasa sepi. Alhamdulillah, mungkin hidup tak seindah impian tapi banyak kebahagiaan yang melebihi batas angan. Saya masih begini, ada masa mengeluh dengan aturan kehidupan. Ada ketika bergembira dengan ketentuan tuhan. Biarlah masa yang berlalu ini mendidik saya tentang kesabaran, mengajar saya tentang perlunya keteguhan iman.

Bermacam datang menimpa, diuji dengan rasa sakit dan dihadiahi dengan suami yang memahami. Maka apa yang perlu saya keluhkan, sedangkan ada nikmat yang saya tidak boleh nafikan. Saya tahu tentang keadilan Illahi. Tentang Qada' dan Qadar. Tapi kadang-kadang tahu itu saja tidak mencukupi. Perlu pada peringatan yang tidak putus, yang berpanjangan mengingatkan saya tentang perihal syurga dan neraka. Ya Allah, gerakkan hatiku ke arahmu, condongkan jiwaku agar sentiasa bersandar pada petunjukmu.

Kehidupan baru ini datang dengan pelbagai cabaran. Bergelar isteri dan belajar pada waktu yang sama ternyata begitu berbeza. Rasa sukar untuk membahagi masa, kadang-kadang menjerut perasaan. Antara suami dan buku. Bagaimana mahu saya pertimbangkan. Tapi saya bahagia. Dalam kesukaran, ada ketenangan. Walau tuntutan menggunung tinggi, melayani suami memang menggembirakan hati. Lebih-lebih lagi bila dia bergurau senda dan ringan tulang dalam meringankan beban. Bahkan ada suatu ketika, dia pula yang melayani saya.

Perjalanan masih panjang, saya baru saja bermula. Penghujungnya masih tidak dapat dilihat mata. Saya mahu mengenggam tekad, tidak mahu mengulang perkara lama. Hidup tidak terisi. Sehingga ada waktu, saya merasakan ada sahabat saya yang menjauhi saya kerana merasakan saya ini me'lagha'kan dia. Ini mungkin andaian saya semata. Tapi apa pun, saya hanya mahukan kehidupan yang lebih bermakna. Mungkin definisi 'bermakna' kita tidak sepakat, tak apa, kerana saya percaya, setiap individu dicipta dengan misi yang berbeza walau destinasi kita sama. Menuju hakiki yang abadi.

Biarlah setiap impian jadi kenyataan, walau ada bibir yang mengulas senyuman sinis pada impian sama yang berulang dicanai. Selagi ianya belum lunyai, saya akan tetap cuba menggapai. Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaahNya.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...