Sunday, July 25, 2010

Lagha Defeated Ilmiah

Salam

Alhamdulillah, akhirnya berjumpa juga saya dengan satu-satunya ahli keluarga suami saya yang belum saya bersua muka. Adik ipar (tapi kami sebaya) saya yang sedang menyambung pengajiannya di negara jiran. Pertemuan yang ringkas itu harapnya membawa keberkahan yang berpanjangan.

Awal pagi lagi suami saya ke masjid, ada kuliah Subuh di masjid berdekatan dengan rumah. Pukul 0935 pagi barulah dia pulang bersama beberapa bungkus nasi lemak. Belum sempat saya menyambut huluran tangannya untuk bersalam, dia sudah memulakan cerita. Dia tidak menyampaikan kuliah Subuh, sudah ada ustaz yang dipertanggungjawabkan. Saya mengerutkan dahi. Jadi untuk apa suami saya dijemput? Suami saya menceritakan tentang kekeliruan pihak masjid dan penceramah yang diundang, dan kami menerimanya dengan hati yang terbuka. Tidak ada rasa terkilan mahupun berkecil hati. Ini semua lumrah.

Teringat perbualan kami suatu ketika dahulu, beberapa minggu yang lalu. Suami menyatakan rasa terkilan dengan beberapa jemaah masjid yang tidak sensitif dalam berurusan. Pada pandangan mereka ustaz lah yang harus meraikan mereka, yang harus tak kira bagaimana pun melayani tuntutan mereka. Seolah-olah ustaz tidak punya tuntutan lain selain berdakwah. Suami saya jadinya tidak menepati janji kerana menuruti tuntutan mereka yang tidak memahami. Kadang-kadang ada segolongan kecil yang tidak endah, buat tidak heran kata orang. Saya diam mendengar luahan rasa seorang pejuang Islam. Betul, ini tanggungjawab. Tapi manusia, walau tidak selalu, tapi ada juga keluhan yang terlepas.

Di antara ciri-ciri orang munafik ialah; apabila mereka berjanji, mereka mengingkarinya, apabila mereka bercakap, mereka berbohong dan apabila mereka diberi amanah, mereka mendustainya.

Kabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat siksaan yang pedih

Surah An-Nisa, Ayat 138

"Sabarlah, jalan dakwah tidak ada yang mudah". Saya menambah semangat pada rasa juang yang sememangnya marak berapi. Suami saya tersenyum, kemudiannya mengepal tangan menunjukkan semangat. Tawa kami bersatu. Dan Alhamdulillh. Suami saya, tidak ada istilah putus asa dalam kamus hidupnya. Semoga Allah sentiasa menyintainya...dunia dan akhirat

Rasulullah SAW bersabda, "ALLAH SWT mempunyai seratus rahmat kasih sayang dan menurunkan satu rahmat dari seratus rahmat kepada jin, manusia, binatang, dan haiwan melata. Dengan rahmat itu mereka saling berbelas-kasih dan berkasih sayang, dan dengannya pula binatang-binatang buas menyayangi anak-anaknya. Dan ALLAH SWT menangguhkan 99 bahagian rahmat itu sebagai kasih sayang-Nya pd hari kiamat nanti."

Hadith Riwayat Muslim

Perbincangan diteruskan dan kali ini fokusnya lebih kepada masyarakat. Suami saya tercari-cari formula bagi mendapatkan lebih perhatian dari orang ramai. Mahu orang ramai menyertai majlis-majlis ilmu, berminat menghadamkan ilmu itu dan memanfaatkannya dalam kehidupan kita. Masalah utama umat Islam adalah, mereka tidak tertarik dengan perbincangan ilmiah. Kalau ada yang hiburan, barulah berpusu-pusu menghadirinya. Ada yang menghadirinya pula, lebih suka pada penyampai yang membuat jenaka yang sia-sia dan kurang isi dalam penyampaian.

Saya ambil contoh dari program yang dijalankan di Universiti adik saya di UKM. Bukanlah majlis agama tapi majlis ilmu. Penyampainya hanya tahu membuat lawak jenaka yang membuatkan pendengar tidak kering gusi. Tapi bila di tanya tentang isi yang dicari, semuanya pulang dengan tangan kosong. Akhirnya, motif kepada program itu gagal. Tidak ada ilmu yang diserap oleh para pelajar. Sudah la itu, duit yang dilaburkan sia-sia. Tambah menyakitkan hati, sebelum program, bermacam-macam permintaan yang dibuat oleh penyampai. Mahu dua tilam ,bilik asing dan air yang bermacam-macam. Kualiti? 0 (Rating 1-10)

Bila majlis yang isinya padat, semua audiens akan menganggukkan kepala. Malangnya tak semua setuju dengan pandangan dan hujah speaker, tapi terangguk-angguk kerana sudah terlelap. Saya tidak menafikan kekurangan sesetengah speaker yang tidak dapat menambat hati pendengar tapi saya juga tidak mahu menidakkan mentaliti masyarakat Melayu yang sukakan hiburan. Kalau majlis lagha, pelbagai lapisan masyarakat akan menghadirinya. Tapi andai itu majlis ilmu, muka yang sama juga duduk bersimpuh mendengar khusyuk.

Suatu masa dahulu kita pernah dipanggil sebagai kaum yang sukakan hiburan. Dan kini kita masih ditakuk yang sama, tidak ada perubahan tapi mereka mendiamkannya. Mahu kita hanyut dan karam dalam lautan kenikmatan sementara. Kalau ini berterusan, apa masa depan anak-anak kita? Masa depan kita di hari tua? Mahu melukut di tepi gantang? Atau mahu dijajah di negara sendiri? Kalau dicubit pun terasa sakit, apatah lagi dibedil. Nauzubillah.

Seperti satu bebelan pula post kali ini. Harapnya, biarlah bebelan ini mencetus pemikiran para pemikir. Walau gagal menukar pandangan para penerima (terima tanpa berfikir). Ada rasa bimbang dengan keadaan masyarakat kita yang berasa terlalu selesa. Keadaan keewangan negara tidak menentu tapi anak melayu masih terlelap diulit kenikmatan dunia. Rasa selamat kerana berada di negara sendiri. Bila kita mahu buka mata, harus berusaha merubah keadaan. Keluar dari zon selesa, InsyaAllah ada rezeki yang lebih luas, ada jalan hidup yang lebih terang dan ada syafaat yang lebih besar.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...