Thursday, July 15, 2010

Payahkan Yang Mudah

Salam

Masih jauh lagi kembara saya dalam kehidupan. Masih banyak lagi amalan yang perlu saya cukupkan. Mahu istiqamah dengan apa yang sedang saya kerjakan pun masih memerlukan kekuatan dan sokongan. Adakala terlepas juga keluhan dengan cara pendekatan yang menyakitkan. Yang saya kira membangkitkan marah dan tidak menjaga sensitiviti serta ego saya. Mereka yang sebegini lah menjauhkan Islam daripada masyarakat setempat.

Saya suka dengan cara Tarbiyyah suami saya, lembut dan memujuk. Bukannya memaksa dan mengugut. Bila saya luahkan rasa berkecil hati dengan seorang teman kerana tidak menjaga sensitiviti saya sebagai seorang isteri, suami saya menjawab tenang. Dia menceritakan tentang Muadz bin Jabal, sahabat nabi yang sungguh hebat, sehinggakan di hari kematiaannya, arasy Allah bergegar. Betapa besarnya kehilangan umat Islam ketika itu. Pernah di suatu hari, Rasulallah pernah menegur Muadz kerana tidak memerhatikan keadaan makmum yang diimani, sedangkan makmumnya terdiri daripada pelbagai golongan termasuklah warga emas. Rasulallah bertanya kepada Muadz sebanyak 3 kali. "Adakah kau mahu menimbulkan fitnah wahai Muadz?"

Islam itu tidak memberat-beratkan penganutnya. Setiap daripada kita dituntut untuk melakukan perkara-perakara yang hak(perkara wajib). Tidak ada sesiapa yang diberatkan agama ke atasnya. Tapi harus diingatkan amalan-amalan sunat juga patut dititikberatkan. Allah menyarankan kita melakukan amalan semampu yang kita boleh. Ada hadith yang berbunyi, "Sesiapa yang memberatkan dirinya dengan agama, nescaya suatu hari nanti agama akan mengalahkannya". Islam itu luas, kehidupan kita ini keseluruhannya telah dinaungi Islam . Andai kita mahu semuanya dilakukan seperti anjuran Islam(dilakukan semua, termasuk yang sunat), maka kita akan menjadi lemah dan mungkin akan mengalah. Maka cukuplah bagi kita melakukan perkara yang wajib dan melakukan perkara yang sunat mengikut kemampuan.

Tidak pula dibebani perkara agama ke atas diri kita. Berubah dari tidak bertudung kepada menutup aurat dengan sempurna sudah cukup baik. Jangan pula dibebankan dengan keterbatasan warna. Hanya mahu memakai warna-warna kusam dan hitam sahaja. Ketegasan ini mungkin akan memakan diri sendiri. Jadi, lakukan apa yang disuruh agama semampu yang boleh. Berubah dari seseorang yang kedekut kepada orang yang pemurah dan suka menderma, itu sudah cukup baik. Jangan lah pula disedekahkan semua harta benda dengan alasan mahu membelanjakannya di jalan Allah seperti Saidina Abu Bakar. Takut tidak tertanggung pula kita nanti.

Teringat komen suami saya bila saya bertanya tentang larangan memakai warna-warna terang yang saya baca dari blog seorang penulis terkenal. Dia menjawab. kita tidak boleh memaksa seseorang itu menjadi syadid(tegas) seperti kita. Seandainya kita mahu bertegas dengan agama ke atas diri kita, maka kita dibolehkan selagi kita mampu. Tapi mahu menegaskan ke atas diri orang lain adalah tidak betul, kerana kita tidak dapat mengagak penerimaan orang tersebut. Jangan niat mahu mendekatkan Islam kepada orang ramai, jadi sebaliknya pula. Orang ramai jadi takut dengan Islam kerana tiada kompromi. Bukan Islam yang tidak berkompromi tapi pendakwahnya yang tidak tahu di mana sepatutnya ketegasan itu diletakkan.

Saya bukan tidak menganjurkan perubahan kepada yang lebih baik. Cumanya saya percaya setiap perubahan perlu dilakukan secara berperingkat. Berubah 360 darjah, dan berubah lagi 360 darjah. Baikkah itu? Adalah lebih afdhal kita berubah sedikit demi sedikit dan kemudiannya istiqamah dengan perubahan yang dilakukan.

Ini hanya penulisan dari seseorang yang 'kamu' ragui ketetapan dan keimanan hatinya. Penulisan seorang gadis yang kamu bimbangi, seandainya dia berkahwin, maka dia akan mengugurkan suaminya di medan dakwah. Tapi saya tidak mengambil tempat dalam keraguan 'kamu' dan tidak juga saya mendendami sesiapa, hanya Allah yang tahu tahap seseorang itu. Bukan saya dan tentu sahaja bukan 'kamu'. Sama-samalah kita perbaiki diri, memanggil kejalan Nya dan melarang yang tercela selagi terdaya.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...