Monday, July 5, 2010

Kasih yang Berputik

Salam

26/6 berlangsunglah majlis kesyukuran Walimatul Urus di Terengganu. Itu kali pertama saya ke sana. Sebuah negeri indah yang begitu asing dengan saya. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Debaran yang selama ini menyesakkan dada akhirnya terjawab. Layanan Ayah yang penuh dengan kasih sayang dan sikap ambil berat Emak yang begitu mengharukan hati saya. Segalanya baik-baik belaka, walaupun adik ipar lelaki saya amatlah pemalu orangnya.

Tidak lama saya bertandang, hanya sempat bermalam selama dua hari memandangkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Hari ketiga, Ayah menggesa saya pulang ke KL untuk mendapatkan rawatan yang lebih sempurna. Setibanya di KL, Ayah dan Emak masih tidak putus menelefon dan bertanya khabar. Apakah yang lebih baik daripada ini? Saya amat bersyukur, dengan amalan yang sekecil tapak tangan, saya dikurnikan nikmat yang besar rahmatnya. Keluarga yang memahami, suami yang penyayang dan keluarga mentua yang sangat mengambil berat. Terima Kasih Ya Allah.

Sepanjang di Terengganu, walaupun bertapak di sana sekejap Cuma, kebahagiaannya amat saya rasakan. Ayah sangat meraikan kehadiran saya di rumah itu. Sarapan bersamanya membuatkan saya terasa dekat dan dialu-alukan. Lebih-lebih lagi ketika Ayah membeli Durian buat santapan kami sekeluarga. Di saat kami berkumpul beramai-ramai, di situlah Ayah mengambil kesempatan memberi peringatan kepada kami semua tentang kehidupan dan perjuangan.

Emak tidak kurang hebatnya, bertanya itu dan ini tentang keadaan penyakit saya. Kerisauan jelas tergambar di wajah Emak yang penuh dengan kasih. Sibuk Emak bertanyakan apa yang mahu saya minum, berkali-kali. Sebaik sahaja saya pulang daripada hospital, Emak menjamu saya dengan masakan enaknya. Mungkin mahu mengurangkan sakit yang saya tanggung. Setibanya di KL pun Emak masih dengan sikap ambil beratnya, hampir setiap hari bertanya khabar saya. Terima Kasih Emak.

Perjalanan pulang ke rumah di rasakan begitu sayu, pelbagai pesanan Ayah dan Emak bagai terngiang-ngiang di telinga. Emak terutamanya, berpesan kepada suami agar menjaga saya sebaik mungkin dan tidak membenarkan saya melakukan kerja-kerja berat. Pemandangan pantai yang menghiasi perjalanan sungguh menenangkan hati. Indah sungguh ciptaan Allah. Saya menanam tekad, mahu pulang ke Terengganu lagi. Berjumpa Emak dan Ayah sambil melawat tempat-tempat indah sebegini. Mungkin ini sebagai ikhtiar untuk sentiasa menyemarakkan cinta antara saya dan suami. InsyaAllah.

Kepada Allah, tempat manusia mengadu, yang mengurniakan rahmat kepada seluruh hamba-hambanya. Terima Kasih Allah atas kebahagiaan yang tidak saya jangka. Semoga kebahagiaan ini Allah kekalkan hingga ke akhirnya. Semoga hati kami dan dua buah keluarga akan terus tertaut antara satu sama lain, membuahkan kebahagiaan dan di bawah keredhaan Allah hendaknya.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...