Friday, June 25, 2010

Angin Pantai Terengganu

Salam

Masuk hari ini, genaplah dua minggu saya berada dalam keadaan kesihatan yang tidak berapa baik. Dua buah klinik telah saya kunjungi dan jawapannya tetap sama tapi ubatan yang dibekalkan berbeza-beza. Semuanya telah saya habiskan tapi sakit ini tidak berkurangan, mungkin belum masanya lagi untuk saya sembuh. Allah saja yang tahu. Suami saya berkali-kali berpesan agar saya tidak merungut dengan rasa sakit ini, dan saya sedaya upaya cuba mengurangkan rungutan yang akhirnya terlepas juga setelah penat menahan sakit. Saya membaca tulisan yang tertera pada bekas ubat.
Bersabarlah menghadapi penyakit. Sesungguhnya penyakit itu penghapus dosa.
Hadith Qudsi


Sampai satu masa, keadaan emosi saya menjadi tidak stabil kerana penyakit yang berpanjangan. Akibatnya saya marah-marah dan kadang-kadang enggan menyambut perbualan sesiapa. Alhamdulillah, mereka di sekeliling saya banyak bersabar. Semoga Allah memberi ganjaran pada mereka. Saya tertungu-tunggu juga jawapan yang menunjukkan bahawa saya dan suami di kurniakan rezeki. Tapi tidak seorang doktor pun memberi jawapan seperti yang saya dan suami harapkan. Mungkin belum masanya. Allah saja yang tahu.

3 hari saya dan suami tidak bertemu kerana dia pulang ke Terengganu untuk persiapan majlis menyambut menantu. Alhamdulillah, rindu ini akan terubat esok hari. Namun, ada debaran yang bertamu, kadang-kadang debaran itu bisa menghilangkan rasa sakit yang selama ini menjajah tubuh saya. Pelbagai spekulasi yang bermain di fikiran saya tapi semuanya dalam kekaburan. Bagaimana agaknya angin pantai Terengganu menyambut saya. Saya tidak tahu menahu apa yang bakal berlaku, tiada gambaran. Saya tidak tahu penerimaan mereka(keluarga mentua) di sana nanti. Apa-apa pun saya serahkan pada Allah, kerana hati itu berada di antara dua jari Ar-Rahman. Semoga Allah membantu saya dalam memenangi hati mereka nanti.

Esok tetamu akan berkumpul di rumah nenek saya di Pasir Mas awal pagi lagi dan tepat pukul 9 kami merancang untuk bertolak ke Terengganu. Saya hanya diam mendengar rancangan yang di atur. Tidak ada apa yang perlu di katakan, saya lebih banyak diam, menahan rasa sakit yang datang mencucuk sekali-sekala. Satu botol Pati Ikan Haruan Polleney yang bersisa siap berada dia atas meja makan untuk saya hadamkan malam ini. Harapannya dengan berikhtiarkan Ikan Haruan itu Allah memberikan kesembuhan melaluinya.

Doakan saya para sahabat, doakan kesihatan saya dan doakan saya mampu melakukan yang terbaik dalam memasuki keluarga baru saya nanti(Kalau mahu mendoakan saya dikurniakan rezeki pun boleh juga!). Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...