Sunday, April 18, 2010

Drama Warga Kota

Salam

Saya baru sahaja tiba di rumah setelah 3 jam terperangkap dalam kesesakkan lalu lintas. Bayangkan perjalanan yang sepatutnya mengambil masa hanya 5 minit menjadi 3 jam. Sakit kaki kiri kerana bermain dengan clutch. Syaza yang habis kerja pukul 6 petang menunggu kami lebih kurang sejam setengah, pukul 9 malam barulah Abah yang tercacak seawal 6.30 petang di stesen Kepong Sentral dapat saya jemput. Penat tak usah nak dicerita, nasib baik Dalila dan Syahida rajin menemani saya petang itu. Adalah teman untuk di bawa berbual, kalau tidak mahunya saya mati kutu di dalam kereta. Tak tahu apa yang perlu di buat.

Bersesak begini macam-macam ragam manusia dapat kita lihat. Ada yang masih nampak tenang memandu, ada yang sudah berkerut dahi dan tidak kurang juga yang melontarkan kata-kata kesat. Saya teringat pada gadis Cina yang bertembung dengan saya di simpang empat berhampiran dengan lampu isyarat. Saya memandu kereta ke hadapan kerana lampu telah bertukar hijau, dia yang mahu masuk ke kanan dengan muka yang tidak berpuas hati melontarkan kata-kata kesat dalam bahasa Cina ‘sohai...!!’. Saya mengangkat tangan menunjukkan isyarat supaya dia masuk ikut belakang kerana saya tidak memberhentikan kereta di petak kuning. Mungkin kerana lama terperangkap dan terlalu banyak kereta, dia menyangka saya menghalang lalu lintasnya dan berhenti di petak kuning.

Pengalaman bersekolah dan berkawan dengan kaum Cina di sekolah membuatkan saya faham dengan bahasa Cina, mungkin tidak sepenuhnya atau secara exact maksud perkataan itu tapi saya memang faham apa yang dikatakan mereka. ‘Sohai’ saya memang tahu maksud perkataan ini. Biarlah, jangan dilayan amarah, buang masa dan buang tenaga.

Kereta bergerak perlahan-lahan menuju ke destinasi, masa berlalu terlampau pantas. Abah dan Syaza sedang menunggu saya. Kesabaran saya pun mula tergugat, mujur omelan Dalila dan loyar buruk Syahida menceriakan suasana. Disebabkan saya memandu kereta manual, saya agak malas untuk mendekati kereta di hadapan, kadang-kadang saya biarkan jarak kami agak besar barulah saya ke depan. Maklum la, sakit kaki bermain dengan clutch. Tiba-tiba terdengar Syahida berkata ‘Kakak, motor belakang ni cakap, jalan la cepat’. Saya ke depan kan kereta. Terfikir sejenak, menjerit kah perempuan itu sehinggakan suaranya menembusi cermin kereta saya. Hilang semua keayuan wanita Melayu yang di bawa, elok dengan Baju Kurung dan bertudung litup.

Dalam kesesakkan ini, beberapa kemalangan kecil telah berlaku. Mana taknya, masing-masing mahu menyelit dan meukar lorong. Lorong yang laju menjadi target, asal saja lorong itu bergerak laju, kebanyakkan kereta akan menukar lorong. Saya tersentak melihat kereta disebelah saya di langgar oleh Wira di sebelah kirinya. Cucunya yang sedang enak tidur, terjaga kerana hentakan kecil pada Proton Waja mereka. Nasib baik tiada pergaduhan yang berlaku.

Sampai ke tempat Syaza, perjalanan pulang pula harus saya tempuh. Dalam hati tertanya-tanya, apa yang mengakibatkan berlakunya kesesakan sebegini rupa. Bunyi hon seolah-olah bunyi guruh ketika hujan yang lebat, saling sabung meyabung. Saya jadi sedikit cemas bila terpaksa berhenti di tengah-tengah jalan kerana lampu yang hijau bertukar merah. Akibatnya menjadi mangsa hon kereta yang lain, saya hanya memandang ke hadapan. Tidak mahu melihat muka bengis pemandunya pula. Silap hari bulan, mungkin akan di maki lagi.

Satu lagi kemalangan kecil berlaku, ada sebuah van telah melanggar lori. Saya tidak dapat mengenal pasti pemandu van tapi penumpang lori itu yang kesemuanya India turun dari lori dan menyerbu van tersebut. Saya kaget, kalau saya di situasi itu mungkin saya akan menangis kerana di serbu sebegitu rupa. Semoga tiada pergaduhan yang timbul. Kami adik beradik banyak mengulas perihal hari ini, bagaimana hilang budi dan tergadainya pekerti masyarakat kota tatkala di uji dengan ujian sekecil kesesakan lalu lintas. Malu sungguh.

Tidak dinafikan ada segelintir pemandu yang kelihatan tenang mendengar radio sambil mulutnya turut sama mengikut rentak lagu, tidak kurang juga yang melambai-lambai ke arah kereta kami. Kenapa? Kerana semua yang menaikinya wanita, bukan mahu membangga diri tapi ini kenyataan. Bila bosan sudah menguasai diri, macam-macam karenah pelik terbit. Biarlah, tidak mendatangkan mudarat pun.

Sampai di tempat Abah, Abah telah pun memulakan langkah sejauh 1 meter. Abah tekad mahu pulang ke rumah berjalan kaki memandangkan trafik tidak bergerak katanya. Kami ketawa, kesian Abah lama menunggu hingga buat keputusan begitu.

Sewaktu menaip post ini, fikiran saya melayang memikirkan tentang fakta yang pernah saya baca di sebuah majalah. Malaysia akan melahirkan rakyat yang mempunyai masalah jiwa yang seterusnya akan menimbulkan kes-kes pembunuhan bersiri tanpa motif kerana tekanan hidup yang di alami. Teringat pula ulasan mama mengenai artikel ini, ‘Memang dah nampak dah simptomnya, masalah jiwa ini bukan hanya gila. Tak dapat kawal kemarahan, mengamuk tak memasal pun kira sakit jiwa juga.’ Betul juga, lihat saja di dada surat khabar sekarang, macam-macam berita yang terpampang. Simbah asid getah ke muka isteri kerana nafsu seks yang tidak dipenuhi, lambakan kanak-kanak mangsa dera, bunuh satu family tanpa motif yang jelas, penagih dadah bunuh ibubapa, rogol dan bunuh dengan kejam, curah minyak panas pada suami kerana marah. Semua ini apa tandanya?

Nauzubillah.. Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...