Sunday, April 18, 2010

Dosa Yang Terpalit

Salam

Sepi malam ini tanpa nyanyian cengkerik, yang kedengaran hanya bunyi kipas. Mata saya agak kekaburan seperti diselaputi dosa yang kelam. Saya bawa diri ke sudut kamar, muhasabah pada perjalanan yang dikemudi. Terasa tehuyung-hayang dilambung ombak kehidupan. Sering kali tewas mencari yang hakiki kerana memenuhi nafsu yang tiada henti. Apa saja yang saya cari, sudah ditemui tapi masih belum berjaya digenggami. Mungkin kerana kefahaman yang tidak mendalam, hanya sekadar tahu yang beku. Tidak memberi sebarang rasa yang kuat untuk memaut iman saya dengan tetap.

Kadang-kadang manusia itu tahu, tapi tetap mahu. Bila mana pilihan sudah nyata, sengaja dibutakan mata. Kala mana mendengar godaan si laknatullah membisik di telinga, laju saja bersetuju. Walau pernah terjerumus ke lurah dosa, tetap juga lalu pada jalan berlopak yang sama. Sampai masa tersedar, cepat beristighfar. Air mata mengalir laju, bertekad tidak mengulang yang lalu. Bila ingatan mula kesamaran, dosa yang terpalit tidak lagi dijadikan pengajaran. Saya lah manusia itu. Manusia yang berdebu dengan dosa tepu tapi tetap tidak putus menginginkan hati yang putih dan bersih.

Sebulan saja lagi tinggal, saya akan menjalani kehidupan yang baru. Akan mendirikan rumah tangga dengan insan pilihan. Yang saya kira dihadirkan Allah untuk saya. Bila mahu bercerita tentangnya, bukan lah tiada cacat cela, tapi cukup sempurna untuk saya. Cinta yang terisi dengan pelbagai dugaan ini sedang saya bawa menuju ke ikatan mulia. Tidak henti hati ini memanjatkan syukur, dalam segala rasa derita, Allah bawakan juga bahagia, Dalam semua rasa pahit jerih, Allah terbitkan rasa kasih.

Saya bersyukur. Biar ada yang menarik muka tanda tak suka atau menggeleng kepala rasa tak percaya, tapi kuasa Allah mengatasi rasional manusia. Saya dan dia yang berbeza dari segala segi, berdiri atas satu dasar rapuh dengan ketetapan hati. Kerana kami yakin, bukan manusia penentu segalanya.

Hari ini saya menangis lagi, mengenangkan apa yang terjadi. Ya Allah, kiranya boleh, ampunilah dosa-dosa saya yang telah lalu mahupun yang akan berlaku. Janganlah dijadikan dosa itu sebagai kaffarah dalam kehidupan perkahwinan yang bakal saya tempuh. Bukan sekali tersasar dari jalan yang benar, namun tetap tidak mahu alam perkahwinan itu turut tercemar. Ya Allah, yang mencampakkan rasa cinta ke dalam hati saya, yang menghunikan dia sebagai orang pertama. Bantulah saya yang hina, yang tidak terlepas dari melakukan dosa. Andai dia yang terbaik, tetapkan hati ini pada dia, jangan di balik-balikkan lagi. Kerana impian saya juga seperti Ummu Darda’, mahu hidup bersamanya di dunia dan akhirat.

Jangan kerana dosa saya, kami diuji dengan kehadiran rasa benci. Hilang ketenangan bila bersama mahupun ketidak hadiran rasa percaya dan penuh syak wasangka. Menangis mungkin bukan caranya tapi inilah yang terbaik yang mampu saya lakukan buat masa ini. Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, bantulah saya. Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...