Tuesday, April 27, 2010

Bahasakan Butir Bicara

Salam

Bila membaca penulisan Ustaz Hasrizal, bagai berpusu-pusu ilham berkunjung ke kotak pemikiran saya. Bermacam cerita yang mahu saya coretkan biar pun saya bukanlah pengembara sepertinya. Banyak juga post saya yang diilhamkan daripada buku Ustaz Hasrizal, daripada buku pertama terbitan beliau, Aku Terima Nikahnya hinggalah yang terbaru, Secangkir Teh Pengubat Letih. Penulisannya dirasakan dekat di hati. Pernah sekali tunang saya meluahkan rasa, katanya dia juga mahu saya meminati penulisannya seperti saya meminati penulisan Ustaz Hasrizal. Saya senyum sendiri, tidak tahu apa yang perlu saya utarakan. Cemburu. Boleh timbul dari sudut yang pelbagai.

Saya meletakkan buku Scangkir Teh Pengubat Letih(hadiah dari tunang saya semperna ulang tahun kelahiran saya yang ke-23) kemas di sebelah kad undangan perkahwinan yang tersusun rapi. Mata rasa agak keletihan kerana menatap buku itu berjam lamanya. Bukan apa, oleh kerana kecetekan saya tentang sejarah, maka saya mengambil masa yang lama untuk memahami kronologi politik Turki. Saya memejamkan mata untuk beberapa minit, sejurus kemudian mata ini saya jamu dengan blok-blok Mahallah Ruqayyah yang berada di seberang jalan. Niatnya mahu menyambung bacaan tapi terlampau banyak perkataan telah tersusum tunggu untuk di luah di atas kertas.

Hati saya bersetuju dengan pandangan Ustaz Hasrizal tentang kepentingan bahasa. Bagaimana bahasa itu mencerminkan peribadi dan jati diri. Tapi kebanyakkan orang Malaysia masih tidak menyedari hakikat ini. Tengok saja apa yang dihidangkan untuk kita di kaca televisyen,pelbagai bahasa dan cara percakapan yang meruntuhkan moral dijadikan kebiasaan. Dengan bermodalkan alasan mahu mendidik masyarakat, banyak objektif songsang yang 'ter'sampai. Contohnya pada penerbitan filem tentang rempit, kononnya mahu mendidik tentang negatifnya rempit tapi yang sebaliknya berlaku. Daripada tidak tahu menahu dengan budaya rempit, remaja kita jadi tahu segalanya. Malahan ada yang cuba meniru aksi yang di'highlight'kan di dalam filem-filem tersebut. Moralnya? Entah kemana tercampak pergi. Mungkin terkubur bersama mereka yang mati di 'jalan yang lurus'.

Setiap kali mendengar dialog cerita yang kurang menyenangkan, tiap kali itu juga saya berpesan kepada adik-adik agar tidak meniru cara mereka berkomunikasi. Percakapan seperti itulah yang mencerminkan peribadi kita. Masakan menilai orang yang bercakap seperti itu sebagai berbudi pekerti. Teringat pada butir bicara seorang cousin yang modern, "Mama ni tak short la", "Awak ni bikin orang panas jer" dan sering saja dia mengakhiri percakapannya dengan perkataan 'ar'. "Biar je ar..!!". Memang saya tidak berkenan langsung, hilang rasa hormat dan rasa kasih dalam perbualan seharian. Baik dengan ibubapa mahupun sahabat handai.

Mahu menyembuhkan penyakit berjangkit yang aktif menular dikalangan masyarakat kita memang payah. Slogan "Bahasa Jiwa Bangsa" dipandang sepi sedangkan anasir-anasir luar yang mencemar dirai. Saya tak mahu menuding jari pada sesiapa. Hakikatnya setiap orang perlu ada kesedaran tersendiri. Jangan biarkan kata-kata Hang Tuah, "Takkan Melayu hilang di dunia" sekadar angan-angan Mat Jenin. Bahasa itu juga lambang Melayu.Biar kita sama-sama berusaha. Beberapa minggu yang lalu, saya terbaca sebuah majalah yang menemu ramah seorang blogger. Tulisannya menjadi ikutan orang ramai, oleh itu dia diminta memberikan beberapa tips untuk blogger yang lain. Tipsnya, jangan menulis dengan ejaan yang penuh. Saya termenung.

Banyak yang ingin saya coretkan tapi cukuplah dulu buat masa ini. Mungkin di lain lembaran, siapa tahu. Di saat saya mahu meletakkan pena, barulah saya di ketemukan dengan jawapan. Bukan saya tidak meminati penulisan tunang saya, tapi saya tidak berpeluang untuk meminatinya. Saya percaya, jika dia rajin mencoretkan tentang kembaranya selama 14 tahun di negara Timur Tengah untuk mencari ilmu, tentu sahaja saya akan meminatinya. Masakan tidak, biarpun dia hanya mencoretkan cebisan daripada pengalamannya, saya setia mengikluti blog dia. Malahan, ada ketika saya yang mengerahnya untuk meng'update' blog yang jarang-jarang sekali dia kemas kini.

Saya meminati penulisannya, kupasan yang dekat di hati dan bahasanya yang lembut dan puitis. Ditambah pula dengan statusnya yang akan bertukar kepada suami dalam masa sebulan, InsyaAllah, dengan rasa kasih, saya meminati penulisannya.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...