Tuesday, April 27, 2010

Pesanan Cinta

Salam

Saya menyusun kad jemputan perkahwinan yang rapi. Yang untuk diedarkan kepada warga IIU di satu sudut manakala yang untuk diedarkan pada teman IIC di satu sudut yang berbeza. Biarpun kebanyakkan kad telah diletakkan nama penerimanya, namun hanya teman sebilik yang pernah melihat rupa bentuk kad tersebut. Saya berkira-kira jangka waktu yang sesuai untuk mengedarkannya, tidak mahu terlampau awal kerana takut ada yang terlupa tapi tidak mahu terlalu lambat takut ada yang sudah mengatur rancangan.

Di saat saya bdikhabarkan dengan berita siapnya kad, debaran di dada terasa begitu hebat. Langkah ke alam yang baru terasa begitu dekat. Mungkin inilah acara kemuncak kepada segala persiapan perkahwinan. Selama persiapan lain dijalankan (menempah baju, mencari pelamin dan membeli barang hantaran), hati saya langsung tidak berdebar. Tapi bila kad ini sampai di tangan, hati saya berbisik "Ini rupanya perasaan orang yang mahu berkahwin".

Bila saya zahirkannya, adik saya membalas "Kenapa, kakak tak bahagia ke?". Saya hanya tersenyum, tidak mahu membuka cerita yang panjang. Takut-takut nanti lain pula jadinya. Kadang-kadang peha kiri lebig terasa sakit berbanding peha kanan yang dicubit. Saya tak mahu itu terjadi, biarlah saya tanggungg sendiri. Bukan saya tidak bahagia tapi rasa bahagia yang bermukin di hati tidak dapat saya nikmati sepenuhnya kerana hal-hal lain yang terpaksa di dahului. Malas bercerita, biarlah perit ini menjadi rahsia kami berdua. Semoga Allah menjadikan setiap ujian yang kami lalui ini asbab kepada rasa kasih yang berpanjangan. Biar mawaddah dan rahmah sentiasa ada dalam selirat kehidupan yang mengusutkan.

Teringat pesan teman seperjuangan yang bibirnya sentiasa basah dengan zikrullah. "Jangan rasa kita tidak bahagia bila melihat insan lain sedangkan Allah mengilhamkan bahagia itu berbeza-beza. Ada yang berbahagia dengan keluarga mentua yang penyayang tapi di uji dengan suami yang curang. Ada juga yang bahagia dengan cinta si suami yang tak berbelah bahagi tak dibelakangi mentua sendiri". Saya diam, ada air yang bergenang. Saya tidak mahu membutakan mata pada nikmat yang dikurnia dan hanya celik pada derita yang tak seberapa.

Alhamdulillah, itu tazkirah pertama pada hari pertama di permulaan semester. Petang itu tazkirah kedua menyusul tiba daripada teman yang baru saya kenali. Wajahnya putih bersih, cantik. Ibu kepada anak satu. Dia bercerita tentang pengalamannya hidup di negeri orang, tiada saudara mara, jauh dari ibubapa, dalam keadaan serba kekurangan dan mengandung di usia muda. Ujiannya bukan benda biasa. Hati saya di jentik hiba. Bila ditanya kenapa mahu tinggal di Kuala Lumpur, dia menjawab "Disini mudah, mudah mencari hidayah. Masjid banyak terbina, pula tu ceramah pun selalu ada. Kalau rezeki aku murah, aku akan bawa keluargaku di Sabah untuk hidup disini. Aku rasa bertanggungjawab membawa mereka dekat dengan Islam. Aku mahu masuk syurga bersama-sama"

Sekali lagi mata ini bergenang, lebih-lebih lagi di waktu sekarang. Saya mudah di kuasai emosi. Dia menyambung cerita kehidupannya, tercampak asing di negeri orang, mencari Islam sebagai pelengkap diri. "Sedih pula saya rasa" Itu respond terakhir saya. Dia menyambutnya "Aku ceritakan pada kamu kerana mahu kamu belajar sesuatu"

Terima Kasih, semoga Allah membalas jasa kalian yang tidak jenuh mendidik saya. Saya merasakan hangatnya cinta seorang teman di saat dia mencium pipi saya sebelum pergi menemui suaminya di perkarangan masjid. Ucapan salam mengakhiri pertemuan hari ini, semoga kita bertemu lagi. Alhamdulillah, hari pertama di permulaan sem di sapa dengan peringatan yang indah, semoga saya melaluinya penuh barakah. InsyaAllah. Doa saya, semoga Allah yang Maha Adil membalas dengan sebaiknya jasa para teman yang tidak jemu menghulurkan pesanan atas nama cinta . Cinta seorang sahabat.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...