Thursday, April 22, 2010

Indah Hanya di Mata

Salam

Sedang saya leka membaca tafsiran Al-Quran di laptop, terjumpa sepotong ayat yang menyebabkan hati ini gelisah. Saya tidak mahu tersilap langkah. Tidak mahu berilmu tapi tidak beramal. Hanya tahu memaparkan yang indah walhal di baliknya busuk dengan personaliti seorang Munafik. Nauzubillah.

Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah isi hatinya, padahal ia adalah penantang yang paling keras.

Al-Baqarah, Ayat 204


Saya beristighfar. Saya berkira-kira jalan penyelesaian yang patut saya ambil. Saya meminati bidang penulisan, tetapi tidak mahu apa yang saya tulis hanya menimbulkan kekeliruan pada pembaca. Sudah la menimbulkan kekeliruan, menyesatkan pula. Ya Allah, jauhkan saya dari menjadi insan yang terpesong mahu pun memesongkan.

Kadang-kadang penulisan saya jadi terbatas kerana tidak mahu pembaca menilai diri saya. Saya tidak mahu dikatakan manusia hipokrit bila kita bersua muka. Benar, dunia maya ini memungkin hampir segalanya. Menipu daya dan menyebarkan fitnah tanpa usul periksa. Moganya penulisan saya tidak memperdayakan sesiapa dengan memuliakan diri sendiri.

Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, niscaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehandaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Al-Baqarah, Ayat 284

Maka mengapa mereka tidak memohon dengan tunduk merendahkan diri ketika datang siksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras, dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan.

Surah Al-An’am, Ayat 43

Sesungguhnya saya manusia yang sedang meniti kehidupan yang pelbagai warna. Tidak langsung terlepas dari dosa malahan sering saja alpa. Peribadi saya biasa sahaja walaupun baru-baru ini pemakaian saya agak berbeza. Teringat pada kata seorang teman yang isinya dipetik dari Hadith, kita hanya mengenali seseorang itu bila kita melakukan 3 perkara bersamanya iaitu, bermusafir bersamanya, bermalam bersamanya dan makan bersamanya. Maka janganlah ada yang menghakimi mahupun menilai diri saya sebelum kita melalui 3 perkara ini.

Saya. Manusia biasa yang masih memerlukan teguran dan ingatan dari para teman.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...