Thursday, April 1, 2010

Di Taman Teman

Salam

Matahari masih terbit dari ufuk yang sama. Namun panasnya tidak berpanjangan. Rintik-rintik hujan yang lembut akhirnya mampu menewaskan terik matahari yang garang membakar kulit. Tarik nafas lega pada damai yang membelai jiwa. Moganya tiupan angin ini membawa rahmat Illahi pada setiap para mujahid dan mujahidah yang tidak kenal erti lelah dan kecewa.

Terbantut seketika rancangan mahu menghirup udara di perkarangan mahallah. Ada rasa walah yang singgah tapi segera di ganti dengan aktiviti baru yang memerlukan lebih mainan minda berbanding aktiviti fizikal. Mata ini tertumpu pada komputer riba yang setia memudahkan segala kerja yang harus dilaksana. Bila penat mula bertandang, mula lah wara wiri di bilk teman seperjuangan. Bertanyakan itu dan ini, bercerita segala yang mahu dikongsi. Hilai tawa mula bersatu, rasa bahagia terus menggebu. Zaman ini mungkinkah akan berlalu? Harapnya biarpun ia akan ditinggalkan jauh, biarlah menjadi kenangan yang teguh dan utuh. Tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan. Mahu membawanya meniti hari yang bakal tiba, mahu menceritakannya pada syahid dan syahidah yang bakal saya punya. InsyaAllah.

Persahabatan ini, saya mahu mengekalkannya.

Saidina Umar r.a pernah berkata 'Kebajikan yang ringan itu adalah menunjukkan wajah yang berseri-seri dan mengucapkan kata-kata yang lemah lembut'.

Harapnya biarlah sikap ini mengukuhkan ukhuwwah kita. Persahabatan yang bersemi fisabilillah ini, moganya kekal lama dengan budi yang baik.

Bak kata seorang penyair Arab, 'Bebanan yang tiada mampu kutanggung, kemudaratan itu pasti kamu terima. Tiada yang menggembirakanku akan dirimu, kecuali akhlak yang baik tetap disanjung'.

Dan biarlah persahabatan ini dimatangkan dengan ilmu dan agama.

Hamka pernah berpujangga, 'Bertambah kuat kepercayaan kepada agama, bertambah darjatnya di dalam pergaulan hidup dan bertambah naik tingkah laku dan akal budinya'.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...