Thursday, March 25, 2010

Usrah Pertama

Salam

Hari pertama saya menghadiri usrah, pelik rasanya. Seumur hidup saya, saya tidak pernah terfikir akan terlibat dalam pengalaman-pengalaman seperti ini. Usrah simple, hanya berempat. Saya cukup terharu dengan langkah inisiatif Masyitah yang mahu mengadakan usrah untuk saya. Semoga Allah merahmati dan memberkati kehidupan dia. Kami memulakan ‘majlis’ itu dengan solat Isyak berjemaah, sungguh menimbulkan satu perasaan yang luar biasa buat saya. Lebih-lebih lagi ketika kami sedang berjemaah ada seorang sister datang dan menyertai kami. Saya menyalami sister itu dengan satu perasaan yang berbeza, lebih-lebih lagi apabila wajahnya yang putih bersih dan bercahaya. Hati saya berbisik, ‘Inilah kecantikkan wanita Islam’. Mungkin akan ada yang mengatakan saya melampau dalam memuji, tapi kenyataanya saya memang merasa tenang melihatkan air muka sister itu.

Usrah pertama ini hanya dimulakan dengan taaruf, mungkin pada asalnya kami memang sudah saling kenal mengenali tapi taaruf pada kali ini lain tujuannya maka pengenalan itu juga agak berbeza. Beberapa fakta penting pada setiap sahabat yang saya terlepas pandang, baru saya ketahui semalam. Tak apa, langkah pertama sedang bermula. Kata Masyitah, taaruf ini penting dalam membentuk Ukhuwah Islamiyyah. Dia kemudiannya menceritakan secara ringkas tentang definisi usrah, tujuannya, adab dan kepentingan usrah itu sendiri. Dia juga menceritakan serba sedikit tentang usaha Hassan Al-Banna dalam memperbaiki aqidah umat Islam dizamannya dengan menubuhkan Ikhwanul Muslimin, yang kemudiannya tersebar di seluruh dunia dan dikenali di Malaysia sebagai usrah. Saya diam seketika, teringat tentang syahidnya yang baru saya baca beberapa hari yang lalu di muka depan Al-Ma’thurat saya.

Masyitah memang pandai mengendalikan majlis seperti ini, mungkin kerana pengalamannya yang banyak. Rasa kekok dan segan yang pada awalnya sangat sukar untuk dihakis semakin berkurang tatkala saya mula mendengar dia yang menyampaikan ilmu secara bersahaja. Dia menceritakan tentang peringkat-peringkat orang Islam. Dari tahap terendah hinggalah mencapai ke tahap yang mempunyai Ihsan. “Dimanakah kita”. Persoalan itu hampir-hampir meluruhkan air mata saya, namun melihatkan orang lain yang sangat tenang, saya menahan perasaan. Tidak mahu dikatakan emosi terlampau. Kemudiannya Masyitah menceritakan tentang taqwa. Kaa’b menjawab soalan seorang sahabat dengan mengatakan taqwa adalah apabila kita berjalan di kawasan yang dipenuhi dengan duri-duri. Tentu sahaja kita akan berhati-hati supaya kaki tidak akan terluka.

Perumpamaan ini di aplikasikan dalam kehidupan kita. Orang yang bertaqwa akan berhati-hati dalam setiap tindakannya agar imannya terjaga. Segala yang dilakukan, dilakukan dengan niat beribadat kepada Allah, makanya setiap tindakan itu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, berhati-hati agar tidak melepasi sempadan agama. Sekali lagi saya termenung, menghadiri ‘majlis’ seprti ini memang membuatkan saya banyak berfikir. Terkadang persoalan yang timbul tapi saya tidak panjangkan kepada sesiapa juga terjawab. Ada kelegaan di situ.

Sebelum usrah itu berakhir, Masyitah mengesyorkan kami agar berpanggilan seperti dalam keluarga. Saya pada mulanya enggan kerana merasakan panggilan itu tidak sedap di dengar, namun atas alasan mahu merasakan keramahan dan ukhuwah itu, akhirnya saya bersetuju dengan pujukan mereka. Makanya saya dipanggil dengan gelaran along kerana menjadi individu tertua(mengikut bulan).

Kami menetapkan perjumpaan seterusnya pada Khamis depan dan Masyitah menyarankan saya agar memiliki sebuah buku bertajuk “Apa erti menganut Islam” tulisan Fathi Yakan, dia juga menyarankan saya agar membawa Tafsir Al-Quran pada perjumpaan seterusnya agar bila mana ada ayat Al-Quran yang disebut maka mudah la kami membuat rujukan. Saya yang berlenggang kangkung terasa agak tersindir, lebih-lebih lagi bila dia meminta kami membawa buku untuk menyalin beberapa ilmu baru yang kami perolehi. Aduhai Widad, kenapa lah perkara seperti ini pun kamu tidak terfikir.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

2 comments:

  1. Salam,

    awak..
    saya gembira kerana awak telah berubah.. Semoga sentiasa istiqamah...

    Nanti nikah, jangan lupa jemput saya. teringin sangat saya nak berjumpa dengan awak, wahai insan yang pandai berpuitis dalam mengarang.. ;)

    ReplyDelete
  2. W'slm...

    Terima Kasih....
    Doakan saya akan terus teguh berdiri walaupun angin kencang menggoyahkan pendirian...

    InsyaAllah...s
    Sya pun sangat teringin nak jumpa awak...
    Orang yang sudi berkongsi cerita walaupun kita tak pernah bersua muka...

    Kalau kad dah siap nnt saya akan kirimkan pada awak supaya awak bleh simpan utk kenang-kenangan...
    Tak mahu sekadar menjemput mulut jer...

    ReplyDelete

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...