Wednesday, March 24, 2010

Yang Memiliki Hati Sekalian Manusia

Salam

Saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga pada rahmat yang Allah kurniakan. Pada ketenangan hati dan ketenteraman jiwa yang Allah berikan pada setiap Mukmin di atas muka bumi ini. Sesungguhnya cinta ini sepenuhnya milik Allah, yang memiliki hati setiap manusia.

Ahad, 14 Jun 2009-Bermulalah satu episod baru dalam kehidupan saya. Sebuah permulaan kepada kehidupan yang lebih beerti dan terisi. Namun setiap sesuatu yang berharga itu tidak datang kosong, ada harga yang perlu dibayar bersamanya. Kesabaran saya mula teruji, pelbagai pengorbanan perasaan dituntut. Saya terpinga-pinga dengan perubahan yang saya perlu lakukan, terlalu banyak dan berbeza benar dengan kehidupan saya yang lalu. Saya masih belum bersedia namun saya gagahkan juga. Ianya satu keperluan. Ada ketika saya mengalirkan air mata, hubungan ini banyak ujiannya. Saya menerima pelbagai kritikan dan tohmahan, bukan dari insan luar tapi daripada insan-insan yang berada terlalu dekat dengan linkungan kehidupan saya. Saya tetapkan hati, kuatkan azam, Allah mahu menguji kerana Allah sayangkan saya. Dia tidak mahu saya melupakannya dalam kesenangan dunia sedangkan dia menyediakan saya kesenangan di akhirat yang kekal selamanya. InsyaAllah. Saya teruskan hubungan ini dengan senyuman yanng penuh dengan kesabaran.

Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

Surah Al-Baqarah, Ayat 155

Jumaat, 26 Februari 2010-Kekuasaan Allah yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu, hubungan kami yang berusia 9 bulan bertukar status dalam masa sehari. Saya kini bergelar tunangan orang. Alhamdulillah. Sungguh nikmat, perasaan yang Allah berikan pada saya waktu itu. Majlis yang dinanti berlangsung dalam ketenangan. Petang itu hujan turun lebat, guruh dan kilat bagai meraikan sesama sendiri. Namun hati saya sedikit pun tidak gundah memikirkan keadaan bakal keluarga yang akan tiba. Allah terletak pada sangkaan baik hamba-hambanya. Saya tahu Allah telah merancang sesuatu untuk saya, siapalah saya untuk menyangkalnya. Keyakinan saya letakkan pada Allah. Sebaik-baik perancang.

Malam menjadi dingin, cuaca yang kebelakangan ini panas membahang menjadi begitu mendamaikan kerana hujan lebat yang turun sedari tadi. Kira-kira dua jam sebelum majlis berlangsung hujan mulai surut. Saya tersenyum, terima kasih Allah, atas cintamu yang Agung. Beberapa orang sepupu dan rakan sibuk mengusik saya, bertanyakan perasaan saya. Debaran mahu menjadi tunangan orang. Sungguh, hati saya merasa damai dari hari ini bermula sehinggalah majlis itu tamat.

Dengan lafaz basmalah, cincin disarungkan penuh adat ke jari manis saya. Melihatkan wajah ibunya yang tersenyum, dada saya bertambah lapang. Saya teringat pada kata-katanya bila saya menyatakan kegusaran saya mengenai penerimaan ibunya tempoh hari, dia diam beberapa ketika dan kemudiannya menjawab bersahaja. “Sesungguhnya hati manusia itu dicelah-celah jari Ar-Rahman”.

Saya naik ke kamar sebaik sahaja tunang saya di panggil masuk, saya tidak melihat wajahnya dan begitu juga dia. Terasa majlis itu suci dan terpelihara. Saya melihat-lihat cincin yang terhias di jari, halus sungguh cara Allah melemparkan nikmatnya pada saya. Sengaja dia mendatangkan hari-hari yang sukar itu agar saya merasakan hari ini manisnya lebih daripada biasa. Terasa rahmat Allah itu turun dalam bentuk hujan yang menyamankan.

Allah, Dialah yang mengirim angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila hujan itu turun mengenai hamba-hamba-Nya yang dikehendakiNya, tiba-tiba mereka menjadi gembira.

Surah Ar-Ruum, Ayat 48

Saya tersenyum, inilah cara Allah mendidik saya. Saya mungkin tidak memiliki apa yang saya mahu tapi Allah memberikan saya apa yang saya perlu. Ya Allah, kekalkanlah jodoh saya dan dia, saya mahu mengakhiri pertalian ini dengan ikatan perkahwinan yang membawa bahagia hingga ke syurga. Saya menerima SMS daripada tunang saya lewat malam itu, ringkas tapi saya merasakannya sungguh bermakna, “Alhamdulillah berjalan lancar. Awak, terima kasih”. Saya hanya tersenyum simpul, mungkin dia tidak tahu bahawasanya dia adalah diantara doa saya yang termakbul. Jadi, terima kasih juga untuk dia.

Saya akhiri post kali ini dengan pesanan yang disampaikan oleh adik usrah saya sewaktu saya majlis pertunangan saya berlangsung. Sempat lagi dia mengingatkan kami yang berada dalam kegembiraan, inilah pentingnya ukhuwah islamiyyah, saling ingat mengingati. ‘Allah menyembunyikan 3 benda daripada kita-jodoh, maut dan rezeki. Kita tak tahu bila ia akan tiba, yang pasti kita sentiasa harus bersedia’. Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...