Friday, February 3, 2017

Ya Allah, Jemputlah Aku Menjadi Tetamu Mu

Salam

Beberapa minggu ini asyik terlintas dengan posting FB berkenaan dengan ziarah umrah rakan-rakan. Hati saya terjentik sendiri. Allahu, terasa nak sangat menjejakkan kaki ke sana. Cemburu sebenarnya, ramai kawan-kawan yang muda-muda lagi dah menjejakkan kaki ke Mekah. Masih bertenaga, mampu melakukan ibadat dengan baik (Insyaallah). Allahu, saya cemburu. Dalam hati terasa nak sangat-sangat ada rezeki untuk ke sana. Lama saya tenung gambar-gambar yang mereka kongsikan...gambar mereka beratur menunggu giliran di Raudhah, gambar menaiki Jabal Rahmah, gambar Gua Hira' dan yang paling menyentuh hati...gambar Kaabah. Allahuakbar. Seronoknya. Murah rezeki mereka dikurniakan kesempatan, masa dan kewangan yang baik untuk menjadi tetamu Allah.

Setiap kali perasaan mahu mengerjakan umrah (nak ambil pengalaman buat umrah dulu, baru buat haji ) ini timbul, saya rasa macam...tak sabarnya! Tapi dalam masa yang sama, logik akal semacam membantutkan perasaan teruja. Tapi...PTPTN tak bayar lagi, entah-entah dah kena blacklist dan tak boleh keluar negara. Tapi...anak-anak kecil lagi, nak tinggal pada siapa? Adik semua kerja. Tapi...kalau ke sana banyak pakai duit, mampu ke menyediakan duit secukupnya untuk ke sana, dan untuk yang ditinggalkan di sini untuk perbelanjaan anak-anak. Macam-macam perkara timbul. Jadi bimbang sekejap walaupun rancangan mahu ke sana tu, entah bila akan menjadi. Termenung beberapa ketika, then bila teringat balik, teruja semula. Tak apa lah, aim sahaja mahu kesana..yang lain serah pada Allah. Mudah-mudahan dibukakan jalan, dimurahkan rezeki, dipermudahkan urusan dan diberi kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan.

Baru-baru ini ada satu posting yang dikongsikan secara meluas di lama FB. Banyak perkara yang dikongsikan penulis...gambar-gambar yang dimuat naik juga banyak. Hati saya jadi tak keruan, teruja dan rasa teringin yang amat sangat. Saya tilik betul-betul gambar di sekitar Madinah dan Mekah. Ya Allah...walau banyak perkara yang belum selesai, seolah-olah lambat lagi peluang saya nak ke sana...saya berdoa Allah selesaikan semuanya dan jemputlah saya ke sana secepat mungkin. Saya mahu ke Mekah dan Madinah ketika usia masih, badan masih sihat dan bertenaga. Ya Allah perkenankanlah semuanya.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...