Salam
Saya lihat kebelakangan ini, viral di Facebook sudah menjadi satu kuasa besar di dalam kehidupan kita sehinggakan semua orang pun mengejarnya. Semua benda mahu diviralkan dan semua orang mahu menjadi viral. Tidak melampau kalau saya katakan sesetengah dari kita berpendapat viral itu satu ruang untuk kita mencari rezeki dan mengubah kehidupan. Saya lihat itu yang berlaku sekarang ini. Saya melihat viral ini menjadi masalah kerana beberapa isu.
1. Viral dengan Teknik Pemasaran Kotor.
Lihat saja impak kepada teknik pemasaran yang berpura-pura membuat laporan polis ke atas sesuatu jenama dan lakonan memaki hamun penjual kerana tahap keberkesanan sesuatu produk. Peniaga-peniaga ini melariskan jualan mereka melalui lakonan. Melakonkan pelbagai situasi yang bakal menyebabkan orang tertanya-tanya dan ingin mengambil tahu tentang produk mereka. Lakonan ini kemudiannya dimuat naik ke Facebook dan warga Facebbok beramai-ramai meng'viral'kan video tersebut. Selesai. Berjayalah teknik pemasaran mereka yang menggunakan tipu helah untuk menarik minat orang ramai. Baikkah begitu?
2. Viral dengan Hal Peribadi
Tidak kurang juga yang meng'viral'kan kehidupan peribadi yang sepatutnya tidak diwar-warkan kepada umum, seperti kenyataan Rozita Che Wan mengenai usaha suaminya untuk menghamilkan beliau lagi. Sungguh tidak ada keperluan perkara itu diceritakan dan kemudian di'viral'kan pula oleh warga Facebook secara besar-besaran. Kemudian viral mengenai seorang remaja yang mengaku kacukan dan sebagainya. Dia menjadi terlalu viral sehinggakan kehidupannya (yang tidak patut dicontohi) menjadi ketahuan ramai. Saya bimbang melihat situasi begini. Bagaimanalah tahap intelek kita andai perkara sebegini menarik minat kita sehingga kita memilih untuk mengongsikannya di laman Facebook.
3. Klik dan Viral
Saya faham bila melihat video-video lucu di'viral'kan...mungkin anda berasa lucu dan mahu sahabat lain tertawa sama. Tapi cuba fikir kembali, anda kongsikan sesuatu kisah, video atau maklumat itu untuk apa? Mendatangkan manfaatkah? Silap hari bulan, orang sekeliling kalian terikut sama dengan gaya hidup remaja banyak kacukan yang nampak menyeronokkan. Tak perlu fikir masalah, berhibur dan berhibur sahaja kerjanya. Kita langsung tidak peduli kan? Sahih atau tidak, bermanfaat atau sebaliknya...yang kita tahu kita klik dan kita share. Tidak terfikir yang kita klik dan share itu menambah pahala yang banyak atau menjadi dosa yang bertimbun...yang mungkin akan berterusan menimbun sehinggalah Facebook ini ditutup (Bila tu? Mungkin kiamat)
4. Berkuasa bila Viral
Ada juga yang menggunakan kuasa viral mereka untuk mengutuk atau menghina orang lain. Tidak boleh berlainan haluan atau berbeza pendapat, terus sahaja si musuh di'viral'kan dan mengajak para penyokong menghina dan mengutuk si musuh secara berjemaah. Ada masanya saya nampak juga keperluan sesuatu perkara itu dibangkitkan, ada masa saya lihat...viral telah menjadikan kita buta tentang apa yang betul dan apa yang salah. Malah ianya menjadikan kita tidak dapat membaiki diri, mana tidaknya asal dikritik, kita terus gunakan kuasa viral kita, memanggil kawan-kawan untuk menyerang balas si kritik tanpa memikirkan perkara yang boleh dilakukan untuk memperbaiki diri, membaikpulih sistem atau apa sahaja yang memanfaatkan masyarakat. Dalam kepala kita hanya memikirkan hit LIKE dan SHARE yang bakal kita terima dan juga sokongan dan pujian para peminat yang melambung-lambung.
5. Mahu Viral
Aduhai, tepuk dahi tengok mereka ini. Ada yang sanggup muat naik video diri sendiri berkelakuan pelik, tidak senonoh dan memalukan...dan ada juga yang sanggup membuat perkara berbahaya yang tidak sayangkan nyawa. Kalau dilihat video parody yang bermacam-macam, memang geleng kepala dibuatnya...harap sangat tidak jadi menantu. Sama juga dengan video melakukan perkara ekstrem tanpa apa-apa langkah keselematan. Allahu, tidak sayang nyawa atau macam mana? Bila kita tegur begini, ramailah yang membela..siap ada yang mahukan kebebasan seperti mat salleh lagi. Alahai...janganlah mahu kebebasan hidup seperti orang yang tidak punya agama. Islam itu ada matlamat dan tujuannya, bukan kebebasan yang tidak akan memberi makna atau hanya mampu menyumbang kepuasan sementara. Jangan salah faham, saya tidak anti sukan ekstrem, yang saya tekankan disini...panjatlah mercu tanda Ipoh atau Kuala Terengganu sekalipun, tak ada masalah...cumanya ambil langkah keselamatan. Yela, kalau berlaku kemalangan yang mengakibatkan kematian atau kecacatan, cuba kalian fikir, berbaloikah? Lebih memberi kepuasan dan kenikmatan lagi andai kalian bertarung nyawa membantu menghantar makanan kepada mangsa banjir. Segan saya. Dalam kesibukan rakyat Rohinya dan Aleppo dibunuh...ada remaja kita yang mahu mati kerana memanjat mercu tanda atau sedang beraksi motor. Please remaja yang berjiwa kental sekalian, gunakanlah keberanian, kelincahan dan tenaga kalian untuk perkara yang bermanfaat...yang bila tua nanti kalian tidak akan mengeluh kesal di kerusi malas sambil merenung keluar tingkap dan berfikir dengan mendalam betapa banyak perkara bermanfaat yang kalian dapat lakukan dengan tenaga dan keremajaan yang Allah bekalkan.
No comments:
Post a Comment
Feel free to leave words. :)