Wednesday, February 4, 2015

Berpantang Cara Tradisional with a Twist Of Modernity

Salam

Selepas saya memuat naik gambar amalan saya ketika berpantang, saya dihujani dengan beberapa pertanyaan daripada kawan-kawan. Ada yang bertanya di ruangan komen, ada yang mesej secara personal dan ada juga yang Whatsapp saya kerana benar-benar mahu tahu bagaimana rutin saya berpantang. Sungguh, saya bukanlah seorang expert dalam berpantang, malahan saya bukanlah contoh terbaik orang berpantang. Ada beberapa amalan yang saya amalkan dengan bersungguh tapi dalam masa yang sama ada juga amalan yang saya buat-buat lupa (lepas tu kena marah dengan suami) kerana malas.

Perkongsian kali ini saya ambil dari pengalaman saya, hasil dari leteran ibu saya yang diamalkan oleh nenek dan tok moyang saya. Mungkin akan ada yang rasa amalan ini tidak ada keperluannya dan mungkin akan ada juga yang tertanya-tanya manfaatnya. Jujurnya, saya pada asalnya mengikut semua amalan ini membuta tuli. Kemudian...setelah beberapa lama, hanya amalan yang saya rasakan mendatangkan kesan sahaja yang saya amalkan secara tetap. Yang saya tidak dapat kenal pasti relevannya (mungkin kerana memang tidak relevan atau mungkin kerana tidak sesuai dengan saya), saya lakukan sambil lewa. Kadang-kadang buat (bila Mama datang rumah buat inspection), kadang-kadang tidak.

Suka untuk saya ingatkan, persediaan untuk semua amalan berpantang ini perlulah disediakan oleh orang lain. Saya tidak menyarankan ibu berpantang yang menyediakan bahan-bahan untuk amalan berpantang ini kerana kudrat yang diperlukan mungkin akan menjadikan amalan ini tidak ada kesan langsung kepada ibu berpantang. Bayangkanlah, angkat segala macam benda berat kemudian berurut, apakah akan hilang lenguh-lenguh di badan? Jadi saya nasihatkan, amalan ini, silalah huraikan pada suami/mak/adik/ sesiapa sahaja yang menjaga ketika berpantang supaya mereka dapat menyediakannya dengan baik. Habis saya nak buat apa? Goyang kaki dan susukan bayi sahaja, :)

1. Air Kunyit

Tradisional: Cara menyediakannya ialah dengan mengisar kunyit hidup dan tapis hampas kunyit sebelum diminum. Air perahan kunyit hidup ini diminum awal pagi pada 3-7 hari pertama selepas melahirkan bayi. Kata orang ianya untuk mencuci darah. Saya masih mengamalkannya secara berdisplin walaupun tidak pasti adakah darah saya sudah dicuci atau tidak.

Modern Twist: Modennya di sini, mengisar kunyit hidup menggunakan blender, dan bukannya menggunakan lesung batu. :p




2. Bertungku.

Tradisional: Batu tungku yang digunakan adalah batu sungai dan boleh di dapati di mana-mana pusat rekreasi dan perkelahan. Batu tungku saya, saya ambil di Ulu Yam ketika mandi manda bersama keluarga. Batu tungku ini dipanaskan dan dibalut dengan daun Mengkudu/ daun Kunyit. Kedua-duanya kemudian dibalut di dalam kain dan diletakkan pada bahagian-bahagian badan seperti perut, peha dan betis. Caranya tekan-tekan sikit bahagian badan tersebut sehingga rasa panas meresap ke dalam badan. Biar terasa pada urat-urat yang mengembang dan sudah masuk angin. Nak tahu efektif atau tak bertungku, sepatutnya selepas bertungku, akan berpeluh. Umunya, bertungku dapat mengecutkan urat-urat yang kembang, melancarkan peredaran darah, menghilangkan rasa-rasa bisa atau sengal-sengal badan.

Modern Twist: Batu tungku tersebut dipanaskan sahaja atas dapur gas, kemudian angkat dengan berhati-hati menggunakan peralatan moden dipanggil pengepit. :p Atau mungkin boleh digantikan dengan lambakan tungku moden yang terdapat di pasaran sekarang ini tapi jujurnya saya tidak tahu sejauh mana keberkesanan tungku-tungku tersebut. 



3. Tangas

Tradisional: Tangas ini dilakukan dengan mengewap badan seperti mandi steam. Bezanya di sini herba-herba yang digunakan ketika untuk mandi wap itu adalah khusus untuk mereka yang baru sahaja bersalin. Herba-herba tersebut boleh didapati di mana-mana kedai jamu. Ada kedai jamu yang mempunyai herba khusus untuk tangas, ada juga yang menyarankan pengguna untuk menggunakan akar kayu yang sama yang digunakan untuk diminum. Secara umunya, rawatan ini dapat merapatkan keintiman, memberi kesegaran pada badan, dan melancarkan peredaran darah.

Modern Twist: Mungkin tidak ramai atau boleh saya kata kebanyakan kita tidak mempunyai peralatan untuk mandi wap. Jadi di sini saya mencadangkan penggunaan periuk nasi terpakai (yang berlebihan dari hadiah-hadiah kahwin yang perolehi) dan rebus herba tangas di dalamnya. Apabila mendidih, sediakan kerusi berhampiran dengan periuk tadi dan duduk sambil berbungkus dengan kain batik agar wap tersebut naik dan terkena pada badan. Periuk nasi tadi hendaklah sentiasa di pasang agar rebusan herba sentiasa mendidih dan menghasilkan wap. Boleh dilakukan selama 1-2 jam.

4. Berdiang/Menyalai

Tradisional: Rutin ini saya lihat jarang sekali diketahui generasi kita tapi inilah rutin yang paling asas sekali dalam amalan berpantang saya. Berdiang atau menyalai ialah rutin yang mana kita duduk membelakangkan berdekatan bara api yang menyala. Hadapkan bahagian pinggul, pinggang dan belakang supaya bahang panas itu terasa. Badan akan bertukar kemerah-merahan (jangan sampai hangit pula!) dan akan terasa urat-urat dibahagian telapak kaki atau betis berdenyut-denyut jika dilakukan secara efektif. Selepas rawatan ini juga badan akan berpeluh-peluh dan akan terasa lebih segar. Rutin ini dapat mengecutkan rahim dan urat-urat peranakan, melancarkan peredaran darah, memecahkan darah-darah beku dan menyegarkan tubuh badan. 

Modern Twist: Ramai yang bertanya pada saya bagaimana saya lakukan di rumah pangsapuri yang tidak berlaman dan bagaimana pula saya naikkan api? Caranya...arang tersebut pada awalnya saya bakarkan sahaja di atas dapur gas sehingga bara api kelihatan dan kemudian saya pindahkan ke dalam dapur arang. Berbeza dengan cara orang zaman dahulu, mereka letakkan bara api ini di bawah katil dan mereka berbaring di atas katil untuk menikmati haba yang terhasil. Tapi untuk melakukan sedemikian, perlu bekas yang sesuai untuk meletakkan arang dan perlu lebih berhati-hati kerana katil...sangat mudah terbakar.


5. Akar Kayu Periuk

Tradisional: Akar kayu periuk merupakan gabungan manjakani dan akar-akar kayu yang berkhasiat untuk organ dalam kita. Ia berfungsi untuk mengecutkan rahim dan menjaga peranakan. Akar kayu ini direbus dan di minum dengan kadar 3-4 kali sehari. 1 paket rebusan tadi juga dapat bertahan sehingga 3/4 kali rebusan.

Modern Twist: Rebus air kayu dengan kuantiti air yang banyak seperti 1 paket akar kayu dengan 12 (cadangan sahaja) sukatan air. Lebihan air itu boleh di simpan di dalam bekas kedap udara seperti Tupperware. Jangan rendam akar kayu, bimbang akan dinaiki kulat. Modernnya? Tupperware! :p



6. Bengkung

Tradisional: Mesti ramai yang biasa mendengar perihal rutin ini. Ianya rutin paling efektif untuk mengempiskan perut, membuang segala lemak berlebihan yang dikumpul ketika mengandung. Untuk yang rajin, bengkung di pakai sepanjang hari manakala untuk yang malas seperti saya, saya hanya memakainya di malam hari sahaja.

Modern Twist: Bengkung tradisional berbentuk seperti bermeter-meter gulungan kain. Kain itu akan dibalut sekeliling pinggang, ditarik ketat dan kemudiannya diikat. Bengkung moden sekarang dilengkapi dengan ciri yang lebih mudah dan bertali. Rupanya lebih kurang seperti barut perut bayi. Atau untuk keselesaan pergerakan, mungkin ada yang mahu menggantikannya dengan penggunaan corset seperti Premium Beautiful dan sebagainya. Tapi harus diingatkan, harganya sangatlah berbeza.

p/s: Perut yang buncit, sangat mudah kempis ketika di dalam pantang. Ketika semuanya (urat, otot, lemak and etc.) sedang longgar dan kembang.



7. Halia Bentong

Tradisional: Halia ini dimakan seperti ulam-ulaman lain, Makan mentah begitu sahaja. Khasiatnya? Membuang angin dalam badan. Halia ini saya makan dengan nasi panas-panas dan dicicah dengan lada hitam yang dikisar bersama ketumbar dan garam.

Modern Twist: Kisar lada hitam dan ketumbar guna blender ya! Hehehehe :p



8. Set Jamu

Selain daripada amalan-amalan di atas, saya juga mengamalkan pengambilan ubat-ubatan yang disertakan di dalam set-set jamu. Saya mengamalkan set jamu dari Mustika Ratu. Jujurnya dari kesemua keperluan yang disediakan di dalam set tersebut, saya hanya menggunakan kapsul kesihatan yang perlu di ambil sewaktu pagi dan malam sahaja. Saya pernah juga menggunakan keperluan yang lain seperti pilis, herba mandian dan sediaan herba untuk perut dan payudara (susu), alhamdulillah ianya berkesan dan amat mujarab sekali. Jadi alasan saya tidak menggunakan kesemua keperluan yang disediakan adalah kerana ianya mengambil masa yang agak lama untuk disediakan.

Jadi, silalah jangan mencontohi saya. Amalkan rutin-rutin berpantang dengan betul untuk tubuh badan yang sihat dan bertenaga. Di bawah ada beberapa jenama untuk penjagaan dalam pantang.




Ini semua adalah sekadar perkongsian tidak seberapa daripada saya. Harap dapat membantu kawan-kawan yang memerlukan. Semoga pantang kalian kali ini lebih menyihatkan dan memberi tenaga. Ingat, kesihatan isteri /ibu adalah kebahgaiaan keluarga. :)

p/s: Sumber gambar dari saya sendiri dan juga dari sahabat baik, En. Google. Maaf rutin tangas belum ada gambar sebab luka saya masih belum baik, jadi saya tak berkesempatan lagi untuk mengambil gambar. Nanti dah ada gambar saya akan muat naik untuk tatapan semua. 



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

2 comments:

  1. menarik sgt petua sis.. sy x terfikir nak buat mcm ni. saya mohon halalkan. sy nk share kt blog sy untuk ingatan masa depan

    ReplyDelete

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...