Sunday, November 10, 2013

Perjalanan Menuju Konvokeyen UIAM yang ke 14.

Salam

Tidak lama lagi majlis konvokesyen UIAM akan berlangsung dan saya adalah salah seorang graduan yang akan turut serta memeriahkan majlis tersebut. Alhamdulillah, konvokesyen graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan akan diadakan pada 17 November 2013 sesi petang. Debaran menghadiri konvokesyen kali ini terasa lain benar, lebih bermakna dan lebih menyentuh hati. Untuk pertama kalinya, saya merasakan ada insan yang betul-betul gembira dan berbangga dengan kejayaan saya. Oh, sungguh saya terasa indah berjaya menamatkan pelajaran setelah berpenat lelah menghadapi naik turun perjalanan sebuah kehidupan.

Saya masih ingat lagi ketika di sekolah dulu. Saya bukanlah seorang pelajar yang dilahirkan pintar, malah disebabkan oleh hinaan yang yang dilemparkan rakan sekelas, saya mengambil tindakan untuk ponteng sekolah (sila jangan tiru!). Malas mahu berdepan dengan mereka, apatah lagi mendengar tohmahan yang menyakitkan. Bagai terngiang-ngiang di telinga, seorang rakan sekelas mengatakan pada rakan yang lain yang saya ini BODOH, dan rakan baiknya pula begitu berkira dengan saya sehinggakan ketika saya menggunakan sehelai kertas daripadanya untuk membuat projek amali, masam mencuka mukanya. Mungkin rasa membazir memberikan kertas pada saya yang bodoh ini. Ya, semua ini sudah berlalu dan saya maafkan perbuatan mereka, tapi untuk melupuskannya di dalam ingatan, mungkin tidak. Saya mahu mengambil langkah berjaga-jaga. :)

Alhamdulillah, tahun demi tahun berlalu dan Allah memberikan saya peluang untuk melanjutkan pelajaran, berusaha dan berjaya. Mungkin bukanlah cemerlang seperti Amalina Che Bakri, tapi cukup untuk saya tahu, saya tidaklah bodoh seperti yang dikatakan. Saya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej kerana gagal memasuki mana-mana universiti akibat keputusan SPM yang mengecewakan. Di kolej tersebut saya bangkit sepenuhnya, saya tanamkan tekad mahu menjadi orang yang berjaya. Bukan untuk dibuktikan pada sesiapa tapi untuk menebus kekecewaan yang Mama dan Abah rasai. Di sana, saya mendapat keputusan yang cemerlang, anugerah dekan saya terima di setiap sem dan syukur saya panjatkan kepada Allah SWT, sebaik sahaja tamat pengajian, saya diberi peluang untuk menyambung pelajaran di UIAM.

Sedikit terlewat berbanding beberapa rakan sebaya yang ketika itu sudah pun di tahun akhir pengajian Ijazah, saya tetap melangkah gagah. Walaupun baru sahaja bermula, saya tetap bersemangat. Ketika menjejakkan kaki ke UIAM, saya mendapat tahu salah seorang dari rakan sekolah yang menghina saya dulu sedang berada di tahun akhir di sana. Saya jadi berdebar, selalu sahaja saya mengharapkan agar kami tidak bertembung, saya tidak mahu diperlekehkan lagi. Walaupun bertahun sudah berlalu, saya masih belum boleh mengatasi rasa rendah diri saya di hadapan mereka. Tapi Allah lebih tahu apa yang terbaik dan saya dipertemukan dengannya di pasar malam UIA. Sekadar berbahasa basi, dia menegur saya, bertanya apa yang saya lakukan disini. Saya tahu dalam fikirannya saya tidak mungkin menuntut di UIA, saya menjawab lesu, "Aku belajar kat sini", dan dengan ketawa yang saya tidak dapat tafsirkan samada ketawa ramah atau ketawa sinis, dia menepuk bahu saya, "Hebatlah kau".

Itu kali pertama dan kali terakhir saya bertembung dengannya, selebihnya saya hanya mengetahui perkembangan dirinya melalui FB. Saya meneruskan kehidupan. Tatkala kenangan pahit itu menjengah, saya berbisik, "I have to get over this. I'm going to be a successful person and I'm doing it for myself". Saya tidak pasti bila, tapi saya mulai melupakan hinaan mereka semua. Tahun kedua di UIAM, saya bertemu jodoh dengan seorang penuntut PhD dalam bidang Quran Sunnah, perasaan kagum bertukar kepada cinta (geli kejap!), dan kami mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah, 5 bulan kemudian saya disahkan mengandung anak pertama. Bermulalah episod baru dalam kamus pembelajaran saya. Keadaan kesihatan yang terganggu kerana mengandung benar-benar memberikan cabaran. Tetapi galakan dari suami tidak pernah padam, dia bukan sekadar memberi dorongan malah segala macam betuk bantuan yang meringakan beban saya, dihulurkan.

Oh, kehidupan di UIAM selepas mendirikan rumah tangga dan mempunyai cahaya mata benar-benar mencabar. Bayangkanlah pembahagian masa yang diperlukan untuk saya menelaah pelajaran, menyiapkan tugasan dan menjaga anak-anak dan suami. Semuanya perlu diatur dengan rapi. Kadang-kadang saya kehabisan tenaga, akibatnya saya ke kelas dengan mata lebam seperti ibu Panda. Kurang tidur dan kurang rehat. Rezeki yang Allah berikan datang mencurah-curah dan hampir boleh dikatakan setiap kali saya menduduki peperiksaan akhir tahun pengajian, saya sedang mengandung. Malah anak kedua saya, Wardah lahir ketika saya sepatutnya menduduki peperiksaan. Sudahnya saya memohon untuk mengambil special exam. Bila Allah menguji kita, maknanya Dia menyayangi kita. Ketika hari pertama peperiksaan khas itu berlangsung, Mama menjalani pembedahan untuk tumor yang ada dibahagian belakang kepalanya, tumpuan saya ke laut. Sedikit pun waktu tidak berlalu tanpa saya memikirkan tentang keselamatan Mama. Peperiksaan saya sudahi satu jam lebih awal dan saya bergegas ke PUSRAWI untuk melihat keadaan Mama. Alhamdulillah, pembedahan itu berjaya.

Hari kedua peperiksaan khas berlangsung, nenek saya jatuh dan kemudiannya disahkan strok. Mendengarkan berita itu saya menangis semahunya. Saya memasuki bilik peperiksaan dengan mata yang lebam, menekup muka ke meja dan menangis tanpa henti. Pengawas peperiksaan dan calon peperiksaan yang lain langsung tidak saya pedulikan. Kesedihan terlampau menyelubungi saya. Satu jam setengah telah berlalu dan saya masih belum mencoret apa-apa di kertas jawapan. Berfikir panjang tentang kekecewaan Mama dengan sikap saya yang lemah semangat, saya gagahkan diri menjawab peperiksaan tersebut hingga habis. Alhamdulllah, bukanlah keputusan yang membanggakan tetapi saya lulus kesemua subjek.

Sungguh, banyak dugaan dan cabaran yang saya jalani sepanjang mahu menamatkan pelajaran. Liku-liku kehidupan berkeluarga yang sedang membina kestabilan dan membesarkan anak-anak yang memerlukan perhatian dan penjagaan yang rapi, serta kehidupan pelajar yang dipenuhi dengan timbunan tugasan dan buku yang perlu sentiasa menjadi rujukan saya tempuh selama 4 tahun lamanya. Dan ya, saya bersyukur dan bangga dengan pencapaian diri saya. Terima kasih pada Allah yang menjadikan kejayaan saya lebih manis dari apa yang saya bayangkan. Kejayaan ini bukanlah kejayaan cemerlang yang patut dijadikan contoh oleh semua orang tetapi ianya sebuah perkongsian yang membuktikan kegagalan itu bukan destinasi akhir seseorang yang dirundung kecewa. Percayalah, seburuk mana pun anda dilabel masyarakat, Allah itu ada dan sesungguhnya rahmat dan kasih sayangnya luas, tidak sesekali dibiarkan makhluknya berada di dalam kekecewaan dan kebuntuan sepanjang masa. Ayuh, bangkit dan berusahalah hingga jayanya! :)

p/s: Saya akan meraikan majlis konvokesyen kali ini dengan seorang suami yang baik hati, 2 cahaya mata yang comel dan cerdik serta menaiki pentas konvokesyen dengan bayi yang sarat di dalam kandungan, 8 bulan. Thank you Allah for the blessings!

"Maka nikmat Allah yang manakah yang engkau dustakan?".


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...