Salam
Alhamdulillah berkesempatan juga saya mencoretkan sesuatu di sini setelah sekian lama memendam keinginan untuk menceritakan banyak perkara. Ya, terlalu banyak yang berlaku di dalam kehidupan saya ketika ini. Andai diberi peluang saya akan berkongsi dengan pembaca (insyaallah,ada) satu persatu.
Ini semester akhir saya sebelum bergelar graduan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Perniagaan, UIAM. Disebabkan bakal meninggalkan UIAM (Insyaallah) tidak lama lagi, setiap langkah saya di UIAM menjadi semakin ber-nostalgia sehinggakan kadang-kadang hati saya menjadi sebak. UIAM, pasti akan saya rindu, masakan tidak, tempat jatuh lagi dikenang, apatah lagi tempat kita mempelajari tentang erti persahabatan dan pengorbanan, cinta dan pengertian. Namun Allah punya atur cara yang berbeza untuk saya. Walaupun saya punya kelas di setiap minggu, namun jejak saya di UIAM jarang sekali ditemui. Oleh kerana beberapa sebab peribadi yang tidak dapat dielakkan dan saya rasakan tidak wajar untuk diceritakan di sini, saya terpaksa korbankan peluang keemasan untuk belajar dengan pensyarah. Kelonggaran diberikan kepada saya untuk hanya menghadiri beberapa kelas atas keperluan peperiksaan, quiz ataupun pembentangan. Kesimpulannya, semester akhir ini saya banyak mengisi masa menelaah pelajaran di rumah dan persiapan untuk menghadapi exam juga saya lakukan sendirian.
Tidak ada dukacita yang Allah biarkan tidak berganti dengan kegembiraan berbentuk kesenangan hati mahupun murahnya rezeki. Alhamdulillah, ada insan yang bersedia menyediakan modal untuk suami dan rakan kongsinya membuka kedai buku di Bangi, Seksyen 9. Oleh kerana semuanya kami yang usahakan, masa saya menjadi semakin penuh terisi dengan pelbagai aktiviti. Jarak antara kedai yang bakal dibuka dalam 2 minggu lagi (Insyaallah) dan rumah menyebabkan anak-anak lebih banyak membesar di dalam kereta. Mana tidaknya, asal sahaja ada urusan rasmi, kami akan meng'heret' anak-anak sekali berjumpa dengan consultant, pengedar dan sebagainya. Penat dan sememangnya tidak cukup rehat tapi saya percaya, Allah mengerah keringat kami kerana dia mahu menghitung dan menggantikan setiap penat dan lelah itu untuk sesuatu yang lebih baik. Semoga pembukaan kedai itu nanti berjalan lancar. Insyaallah, andai ada kelapangan, saya akan coretkan bagaimana majlis perasmian dan pembukaan kedai itu berlangsung.
Saya benar-benar menggunakan masa yang dikurniakan untuk saya selama 24 jam. Masa tidur dan rehat dikurangkan bagi memenuhi pelbagai tuntutan kehidupan. Berkat doa dari ramai pihak, Alhamdulillah, tempahan untuk kraftangan Felt semakin tinggi. Setakat ini untuk memenuhi permintaan, saya perlu menyiapkan 1 tempahan sehari. Jadi, tidak dapat tidak, dalam sehari harus ada peruntukan masa menyiapkan Felt. Penat tapi saya rasa puas tatkala jari jemari ini menjahit dan memotong kain. Segala tekanan dan kepenatan seolah-olah dapat disalurkan dan dipindahkan di dalam sulaman setiap jahitan. Terima kasih Allah kerana memberikan alternatif tambahan (selain membaca Ma'thurat dan Al-Quran) untuk menenangkan hati dan perasaan saya. Tidak cukup dengan itu, Allah limpahkan rezeki untuk meningkat kemampuan saya. Beberapa alat bantuan untuk menyiapkan kraftangan Felt ini sudah pun berjaya saya miliki. Peralatan ini memang menjadi idaman ramai peminat kraftangan Felt. Mesin jahit, Big Shot dan Dies. Semuanya sudah selamat tiba di rumah. Terima kasih sekali lagi Ya Allah! :)
Zahra dan Wardah juga semakin membesar. Merekalah yang paling memenatkan saya dan mereka jugalah ubat penenang yang paling berkesan. Melalui kasih sayang yang Allah tanamkan ke dalam hati saya dan suami, menatap wajah anak-anak sahaja sudah cukup buat kami bahagia. Setinggi-tinggi penghargaan juga saya ucapkan untuk suami saya yang sentiasa menyokong saya dalam apa jua perkara yang saya lakukan. Kesetian, kejujuran, keikhlasan dan ketulusan hati yang dipamerkan hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Apa yang ditempuhi ini semakin memuncakkan cinta saya buat suami, semoga jodoh kami berkekalan, sehingga ke syurga hendaknya. Ameen.
p/s: Rasanya entri panjang dan meleret ini mampu menebus balik blog yang sudah bersawang tidak dikemas kini. Sehingga di lain coretan, insyaallah :)
No comments:
Post a Comment
Feel free to leave words. :)