Wednesday, September 12, 2012

Semester Pertama Sesi 2012/2013



Salam.

Hari pertama memulakan semester, semuanya berlangsung dengan baik. Melangkahkan kaki dari kelas ke kelas dengan keadaan tenang dan penuh senioriti. Maklumlah, ramai kawan-kawan seperjuangan yang sudah menamatkan pengajian. Hanya beberapa orang sahaja yang masih meneruskan perjuangan. Sebab itulah apabila ke mana saja yang dituju pasti mata ini dijamu dengan wajah-wajah pelajar baru yang kelihatan segar dan bersemangat jitu. Saya terkenangkan hari-hari lalu. Kali pertama saya menjejakkan kaki ke UIA dan memacakkan cita-cita saya di sini.

Banyak yang telah dikutip ketika menimba ilmu di sini. UIA menjadi saksi kepada perubahan hidup saya. Bermula sebagai seorang gadis yang riang ke hulu hilir menikmati pemandangan dan suasana segar UIA. Melangkah ke kelas pun kadang-kadang tersenyum kerana rasa teruja pada pensyarah dan subjek yang diajar. Setahun kemudian, gadis itu mendirikan rumah tangga dengan seorang pemuda TAMPAN dan SOLEH dan berubah menjadi wanita yang lebih serius memandang kehidupan dan mula merancang masa depan. Setahun berlalu lagi, wanita itu menimang cahaya mata pertama, kehidupannya berubah lagi. Dia kini menjadi seorang ibu, masa dan fikirannya lebih tertumpu kepada anak dan suami. Rancangan masa depannya juga diolah mengikut kesesuaian semasa. Ini tahun akhir wanita itu berada di UIA, dan sekali lagi dia bakal menimang cahaya mata. Rancangan kehidupannya berubah lagi kerana tanggungjawab yang dipikul semakin bertambah. Namun Alhamdulillah, tahun berganti tahun, kebahagiaan sentiasa dinikmati. Biar wajah semakin matang, pemikiran semakin serius dan umur semakin meningkat, semuanya sejajar dengan nikmat yang dikurniakan Illahi.

Alhamdulillah, semester ini, saya menjadi pelajar tahun empat yang bakal menamatkan pengajian semester hadapan. Sudah beberapa hari menjejakkan kaki ke UIA untuk memulakan semester baru. Kali ini semangatnya sedikit berbeza. Saya mahu menghabiskan pengajian dengan baik dalam keadaan "slow and steady". Tidak seperti sebelum ini, semuanya mahu cepat sehingga ada beberapa perkara yang keciciran. Semoga Allah SWT mempermudahkan semuanya.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...