Sunday, August 26, 2012

Syawal di Terengganu

Salam

Selamat Hari Raya Aidilifitri saya ucapkan buat para pembaca blog yang tidak seberapa ini. Andai ada silap dan salah, mohon dimaafkan. Macam mana sambutan tahun ini? Semoga semuanya baik-baik belaka. Ramadhan sudah pun berlalu, saya sendiri tidak berapa pasti apakah keredhaan Allah itu berjaya saya kecapi. Apa-apa pun saya meletakkan sangkaan baik pada Allah, insyaAllah usaha kecil saya yang sedikit tetap dinilai Allah SWT. Semoga masih bernafas dan bernyawa untuk meraih keberkatan Ramadhan yang akan datang.

Seperti biasa, Syawal saya sambut di negeri yang dipenuhi dengan keindahan alam semulajadi. Terengganu Darul Iman, tempat kelahiran suami tercinta. Kami tiba di Terengganu malam raya, hampir kesemua penghuni sudah pun melelapkan mata. Emak, Ayah dan Kak Cik sahaja yang menyambut ketibaan kami ramah dan mesra. Keesokannya kemeriahan mula terasa bila keriuhan suara anak-anak saudara mula menyapa telinga. Rindu sungguh pada Abang Zakuan, Wijdan, Nuha, Adam, Alya, Marissa, Aqilah, Wardah dan Safiyya. Semuanya saya hadiahkan dengan senyuman terlebih dahulu, duit raya dihulurkan beberapa hari kemudian. Maklumlah sibuk dengan pelbagai persiapan. Raya di rumah mertua memang sedia malum akan menerima kunjungan yang ramai. Usai saja solat sunat raya, rumah mula penuh dikunjungi saudara mara. Saya seperti biasa, sebaik-baiknya cuba meng'refresh' dan meng'recall' kesemua nama dan pangkat saudara mara sebelah suami.

Selesai menjamu para tetamu yang hadir barulah kami adik beradik berkesempatan bermaaf-maafan dengan Emak dan Ayah. Bergilir-gilir tangan berjabat dan dikucup penuh kasih. Ucapan maaf dipohon dan kata-kata kemaafan dituturkan. Anak-anak saudara pula lebih bergembira dengan huluran duit raya berbanding huluran tangan, semuanya sibuk mahu membuka akaun simpanan menggunakan duit raya yang diterima tahun ini. Semoga dimurahan rezeki ya sayang-sayang sekalian. :)



Semoga Syawal tahun ini memberikan kegembiraan dan mengeratkan silaturrahim kita semua. InsyaAllah, ada rezeki dan kelapangan, kita beraya di Kuala Lumpur pula. :p


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...