Sunday, February 22, 2015

Mak Ponti


Salam

Ya...tajuk yang agak menyeramkan sesuai dengan perwatakan saya ketika ini. Semenjak dah beranak empat, memang kerja saya menyinga dan terpekik terlolong seperti pontianak sahaja. Sudah la masih dalam pantang, jadi silalah bayangkan sekali dengan rambut yang kusut masai dan mata yang lebam tak cukup tidur. Ramai anak kecil ini memang sangat mencabar, bangun pagi sahaja perlu memandikan 4 orang anak, kemudian makan, kemudian poop-poop dan seterusnya, Jadi semua aktiviti itu perlu dibuat 4 kali. Mana tak kepenatan.

Biar saya bagi kronologi pendek..

Bangun pagi, mandikan Zahra...siapkan dia untuk ke Tadika. Dalam tengah siap-siap tu tiba-tiba Wardah mengadu cakap dia poop-poop, so bersegeralah saya ke bilik air menyelesaikan Wardah. Dah alang-alang tu, mandikan jer terus. Belum sempat Wardah habis mandi, Haris dah start mengamuk di pintu bilik air, dia pun nak mandi juga. Ok, mandikan la juga. Selesai mandi, pakaikan baju dengan keadaan terjerit-jeirt sebab Haris akan berlari sana sini, risau pula belum sempat pakai pampers dia dah kencing. Nanti tambah pula 1 kerja. Selesai pakai baju budak 2 orang tu, Zahra yang dah siap pakai baju sekolah datang bagitau yang dia pun poop-poop. Ish! Kenapa la tak poop-poop sebelum mandi tadi? Tapi itulah, benda2 alami macam tu, kita hanya merancang....Allah juga yang menentukan. Basuh la Zahra pula sambil dengar sayup-sayup dalam bilik suara Rauhah menangis. Disebabkan takut Zahra  lambat ke sekolah, terpaksa buat tak tahu pada tangisan Rauhah dan laju-laju siapkan Zahra. Time siapkan bekalan air untuk Zahra, wajib juga buat satu lagi bekal air untuk Wardah supaya tak berebut dan 1 botol susu untuk Haris sebab dia dah start dah nak minum susu. Pastu sambung lagi jerit-jerit minta Zahra pakai kasut dan dalam masa yang sama jerit-jerit lagi marahkan Wardah yang sibuk nak mengikut dan Haris yang nak MAKAN kasut. Bila Zahra dah ke Tadika, barulah jenguk Rauhah yang dah makin lantang tangisan dia. Susukan dia sambil buat-buat tak dengar pada tangisan Wardah yang masih bersisa nak ikut Zahra ke sekolah. 5 minit lepas tu, barulah Haris dan Wardah main-main sendiri dan barulah saya boleh menyusu Rauhah dengan tenang dan aman.

Ya...itu baru cerita satu pagi. Belum lagi cerita tengah hari, petang dan yang paling hectic..malam, waktu mereka semua perlu dimandikan, diberi makan dan kemudian di tidurkan,. Masyaallah, sibuk sangat rasanya dengan 4 orang anak yang semuanya kecil-kecil lagi dan perlukan kita untuk uruskan semua perihal kehidupan mereka. Kalau ada seorang dua yang pandai mengurus diri mungkin ringan sikit tapi semua anak-anak ini belum berdikari, jadi sayalah yang bertungkus lumus selesaikan semuanya.

Bila keluar berjalan, ramai yang tegur sebab semua kecik-kecik lagi, setahun seorang. Untuk yang faham dengan hakikat anak-anak kecik ini, mereka akan mengangguk dengan wajah yang tersirat banyak makna...ada juga yang cuba mengubat hati saya dengan memberitahu, "Anak rapat-rapat ini tak apa, besar sekaligus. Sekarang penatlah, nanti bila mereka dah besar lega, dah tak ada yang kecil". Kalau bertembung dengan mereka yang tidak faham (mungkin belum berkahwin atau berkahwin tapi belum punya anak atau berkahwin tapi anak sorang atau berkahwin dan punya anak dengan jarak umur yang agak jauh), repond mereka selalunya berbeza dan berbunyi, "Setahun seorang? Bestnya!!'.

Jangan salah faham ya, saya bukan tidak gembira dikurniakan anak yang ramai dengan jarak yang dekat-dekat. Saya gembira malahan teramat bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan ini. Cumanya proses mendidik dan membesarkan anak-anak ini agak memenatkan. Ada masa (ketika sedang berehat selalunya) saya terubat dengan kata-kata yang dihulurkan dan berfikir, anak-anak ini, ketika kecil beginilah kita boleh menyayangi dan memanjakan mereka sebegini. Boleh dipeluk dan dicium sesuka hati. Nanti bila dah besar, cara sayang kenalah berbeza mengikut usia mereka. Ada masanya (ketika penat selalunya) pula, saya akan berfikir begini...lelah menjaga anak rapat-rapat ini. Nanti semua sekaligus, semua masuk sekolah...semualah perlu disiapkan ke sekolah. Semua nak masuk asrama, semualah perlu dibeli keperluan asrama, semua nak masuk universiti, semualah perlu disiapkan barangan universiti dan bila semua sudah bersedia untuk berkahwin, maka semualah perlu dikahwinkan. Havoc! Hahahaha :D

Jadi...sekali lagi, jangan salah faham dengan post ini. Saya bukan tidak bahagia mempunyai anak ramai. Saya bahagia dan bersyukur. Malah boleh dikatakan, sayalah pontianak yang sering mengilai tetapi tetap bahagia walaupun menyinga di kebanyakan masa. ^_^'




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...