Saturday, February 16, 2013

Rutin Seorang Suri Rumahtangga

Salam

Kehidupan saya berubah lagi, perbezaanya terasa ketika masih lagi bergelar anak dara dan kini sudah pun mempunyai dua cahaya mata. Perubahan terasa di setiap langkah kehidupan saya. Langkahnya payah namun perjalanannya manis. Saya menikmati setiap saat yang saya luangkan bersama suami dan anak-anak walaupun segalanya lebih mencabar berbanding dulu. Banyak sebenarnya yang perlu dicoretkan jika mahu penerangan yang menyeluruh tapi untuk kali ini saya hanya mahu berkongsi tentang perubahan pembahagiaan masa dan keutamaan terlebih dahulu. Insyaallah, andai ada masa dan ruang, saya akan kongsikan secebis pengalaman dan ilmu mengenai pengurusan emosi yang saya timba di alam perkahwinan yang baru 'setahun jagung' ini.

Dulu kehidupan saya mudah dan ringkas, dari pagi hingga ke malam saya tidak perlu memikirkan keperluan dan kehendak orang lain. Ketika itu,saya hanya perlu menyiapkan keperluan diri untuk menempuh hari-hari yang mendatang. Bangun pagi, mengemas 'compartment' ala kadar, membeli sarapan, membasuh dan menjemur baju sendiri dan kemudiannya saya lakukan aktiviti yang saya terfikir sesuka hati. Tidak ada pertimbangan yang memerlukan kesungguhan dan kepayahan. Mudah dan ringkas, bangun dan uruskan diri sendiri.

Zahra yang lincah
Berbeza dengan sekarang, bangun sahaja pagi saya akan mulakan hari saya dengan menyiapkan segala keperluan anak-anak seperti pakaian mereka supaya nanti apabila mereka terjaga dari tidur, saya tidak terkocoh-kocoh mahu menyiapkan mereka. Saya mengambil peluang ini mengemas rumah dan menyapu sampah dan selalunya di saat akhir saya mengemas rumah Zahra dan Wardah sudah terjaga. Mulalah saya mengemas dengan kelajuan yang maksimum, tidak mahu Zahra 'membantu' saya mengemas dan tidak mahu Wardah terdedah dengan habuk yang beterbangan. Mereka saya mandikan seorang demi seorang dan alhamdulillah, suami akan membantu saya memakaikan baju anak-anak. Buat masa ini, sarapan hanya disiapkan untuk saya dan suami. Wardah hanya perlu diberi minum susu manakala Zahra akan makan apa sahaja yang disajikan, tidak ada makanan khusus yang saya sediakan untuk dia.

Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. Begitulah sikap anak-anak saya selepas diberikan sarapan, mereka boleh dibiarkan untuk bermain sendirian. Tiba giliran suami pula untuk disiapkan, mujurlah suami tidak perlu dimandikan dan diberi pakai, bab itu dia selesaikan sendiri. Saya cuma perlu menggososk baju dan menghidangkan sarapan. Selesai suami keluar untuk menguruskan beberapa perkara, saya akan mula membasuh baju dan menjemur pakaian. Kadang-kadang waktu ini juga saya peruntukan untuk menjahit tempahan Felt yang saya terima. Zahra akan turut serta bermain-main dengan kain Felt sambil membebel comel. Bila saya lihat sahaja mereka gelisah, saya akan mula memasak untuk makan tengahari, kalau suami tidak pulang makan di rumah, maka hidangannya cukup simple, sekadar memenuhi keperluan makan saya dan Zahra. Kalau suami menghantar mesej mahu pulang makan di rumah, maka saya akan memasak makanan yang lebih rumit, lauk berkuah dan wajib ada sayur. Selesai makan tengahari, Zahra dan Wardah akan tidur semula untuk 1-2 jam. Waktu ini saya gunakan untuk mengulangkaji, berlaman sosial dan kadang-kadang saya pun turut tidur bersama mereka.

Wardah yang manja
Petangnya apabila mereka bangun, kami akan bermain-main bersama. Selalunya waktu inilah rumah yang sebelum ini tersusun rapi akan berselerak semula. Saya biarkan sahaja sehinggalah menjelang 5/6 petang. Waktu itu saya akan mula mengemas rumah bagi menerima kepulangan suami. Sebolehnya saya mahu dia pulang ke rumah dan berasa tenang melihat rumah yang tersusun rapi. Kepenatan seharian menguruskan hal duniawi tentu sahaja memerlukan ruang yang selesa dan kemas untuk berehat. Saya akan memujuk Zahra untuk bersalam dan mencium abinya sebaik sahaja suami saya tiba di pintu rumah kerana saya tahu suami gembira diperlakukan begitu. Senyumannya jelas kelihatan setiap kali saya dan anak-anak menyambut kepulangan beliau. Saya mahu begini selalu tapi saya tahu adakalanya saya gagal mengahadiahkan beliau senyuman yang manis mahupun penampilan yang menarik. Ada masanya waktu seperti terlalu singkat ataupun anak yang membutuhkan perhatian yang berlebihan.

Menjelang Maghrib, saya kembali sibuk menguruskan anak-anak dan makan malam. Selepas Isyak barulah saya boleh berehat-rehat bersama suami. Ketika itulah kami berbual-bual tentang pelbagai perkara. Kelapangan ini saya hargai sebaiknya kerana bukan mudah mahu bersama suami tanpa 'gangguan' anak-anak. Ada masanya juga masa ini tidak dapat diperuntukkan kerana keperluan saya untuk mengulangkaji mahupun keadaan suami yang terlalu letih. Selepas Isyak dia turut melepakan mata bersama anak-anak.

Suami yang saya cintai sepenuh hati
Rutin sebegini payah untuk saya kendalikan. Membahagikan masa antara tanggungjawab suri rumah tangga dan juga pelajar agak susah untuk diselarasakan. Namun Alhamdulillah, sedikit masa lagi saya akan menamatkan pelajaran saya, mohon Allah permudahkan perjuangan ini. Walau remeh di mata sesetangah orang, saya menganggap peranan saya sebagai isteri. ibu dan pelajar merupakan cabaran yang besar kerana saya mahu menyajikan hanya yang terbaik (mengikut kadar kemampuan saya) kepada keluarga tercinta. Insyaallah! Ameen. :)

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...