Saturday, March 17, 2012

Ringkas

Salam

Saya berhenti rehat seketika selepas penat menelaah untuk peperiksaan pertengahan semester yang akan bermula minggu hadapan. Selasa, Rabu dan 2 subjek pada hari Khamis. Saya sedikit gusar mahu menghadapi peperiksaan kali ini, peruntukan masa seperti tidak terbahagi dengan baik. Banyak diluangkan kepada urusan rumah tangga dan menjaga Zahra. Mengulangkaji dan membuat latihan hanya aktiviti sampingan yang memerlukan kepakaran saya mencuri masa.

Kalau diikutkan, hanya hening malam begini sahaja yang memungkinkan saya untuk fokus sebaiknya pada pelajaran dan latihan. Tapi waktu beginilah saya membutuhkan rehat setelah sepanjang hari berkejaran ke kelas dari kuliah ICT ke kuliah Ekonomi, kemudiannya mengendong tanggungjawab yang berat menjaga anak dan suami. Tapi waktu ini jugalah satu-satunya masa yang aman dan tenteram untuk saya mengulangkaji pelajaran. Sebetulnya saya rasa tidak cukup rehat, tidur lewat malam, bangun di pagi hari dan memikul semua bebanan di atas bahu yang lemah ini. Saya memanjatkan doa, memohon kekuatan dan semangat yang luar biasa.

Banyak yang mahu saya coretkan, saya terlalu rindukan blog ini. Kegatalan saya mahu menulis semakin membuak-buak namun dikekang kesuntukan masa. Ada ketika saya seperti menulis di dalam hati, mereka bait-bait yang indah untuk dijadikan puisi yang kononnya mahu diabdikan di dalam blog ini. Seperti biasa, semuanya sekadar satu angan, 24 jam tidak mencukupi untuk saya. Ditambah pula dihujung usia bumi ini, masa seakan berlalu dengan lebih pantas, membuatkan saya terkontang kanting, terkejar-kejar mahu menyiapkan kerja dalam satu masa.

Saya juga mahu menulis tentang azam baru yang sedang saya usahakan sebaik mungkin untuk istiqamah dalam melaksanakannya. Saya mahu bercerita panjang mengenainya, mahu menyelit juga tentang tuntutan istiqamah dalam setiap amalan yang kita lakukan. Lama rasanya tidak menulis tentang sesuatu yang ilmiah dan bermanfaat. Saya mahu kegatalan saya untuk menulis ini ada baiknya, bukan sekadar minat yang sia-sia dan tidak menghasilkan apa-apa. Biarlah sekecil zarah, saya tetap mahu merebut peluang untuk beroleh pahala, biarpun sekadar pahala mencetuskan persoalan di fikiran para pembaca.

Jumpa lagi di lain lembaran. Semoga kehidupan kita semakin baik hari ke hari. Buat mereka yang dalam diam mendoakan saya dan keluarga, balasan Allah saya doakan untuk anda semua. Tidak ada yang lebih bernilai dari doa kalian yang tulus itu, semoga Allah mendengarinya, dan mengurniakan rahmatNya yang luas kepada setiap tadahan tangan yang ikhlas.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

p/s: Untuk tatapan peminat Zahratul Iman. Gambar terbaru! :)







Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...