Sunday, September 11, 2011

Pengorbanan Seorang Bapa

Salam

Lahirnya seorang anak selalunya dikaitkan dengan pengorbanan si Ibu. Pengorbanan ketika mengandung, menahan mabuk atau muntah yang dihadapi dan pelbagai alahan pelik yang tiba-tiba muncul. Kemudiannya pengorbanan ketika melahirkan. Sakit yang teramat sangat tatkala mahu melahirkan anak sehinggakan Islam menempatkan rasa sakit itu di satu darjat yang tinggi. Ibu yang meninggal dunia ketika melahirkan anak tergolong dalam syahid kecil. Betapa sakitnya melahirkan seorang insan ke dunia ini. Pengorbanan seterusnya bermula saat mahu membesarkan anak. Bermulalah ketika ini fenomena tidur tidak menentu, rehat tidak cukup dan pengurusan masa yang tunggang langgang. Pendek kata, lahirnya seorang anak akan dikatikan dengan pengorbanan ibu yang berpanjangan.

Saya tidak menafikan kebenaran ini kerana sedikit demi sedikit saya mulai merasainya. Tapi suka sekali untuk saya katakan setiap pengorbanan yang dilakukan tentu sahaja akan terasa lebih sukar tanpa pengorbanan seorang bapa. Mungkin ramai yang tidak menyedarinya tetapi saat ibu mengandung, saat itu juga pengorbanan seorang bapa bermula.


Teringat pengorbanan suami saya. Ssebaik sahaja saya disahkan mengandung, saya mula muntah-muntah dan alah dengan pelbagai perkara. Akibatnya saya langsung tidak menjenguk ke dapur, malahan ketika suami menyediakan hidangan, saya akan terperuk didalam bilik sehinggalah lauk pauk itu sejuk dan berkurangan baunya. Perkara ini berlarutan sehinggalah usia kandungan 5 bulan. Kemudiannya apabila trimester kedua bermula, saya mulai mudah penat dan mengah. Akibatnya kuranglah kerja rumah yang saya lakukan. Membasuh pinggan pun terpaksa saya lakukan dalam 2 fasa. Membasuh, rehat dan kemudiannya menyambung semula basuhan. Suami bekorban masa dan tenaga dengan mengambil alih sebahagian besar kerja-kerja rumah yang sepatutnya saya lakukan.

Trimester ketiga semakin mencabar, alahn saya kembali. Tidak cukup dengan itu, saya semakin mudah penat dan sakit-sakit badan semakin terasa. Suami bekorban lagi. Dia akan mengurut seluruh tubuh saya setiap malam sebelum saya tidur, membasuh, menjemur dan menggosok pakaian saya dan melayan karenah saya yang semakin beremosi dan mudah tersentuh. Kesabarannya begitu tinggi. Dia melakukan setiap pengorbanan itu dengan penuh ikhlas dan setia. Saya tidak pernah mendengar sebarang rungutan mahupun ungkitan dari mulutnya. Setiap apa yang dilakukannya, dilakukan dengan sempurna dan setiap keperluan dan tuntutan saya semuanya dicukupi.

Dan sekarang, saya sudah pun selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Pengorbanan suami saya masih berterusan. Ketika saya sakit melahirkan, dia setia menemani saya. Rasa ngantuknya dibuang jauh, walaupun tidak mengeluarkan sebarang kata ketika saya sedang bergelut dengan rasa sakit mahu bersalin. Kehadiran suami saya untuk menunjukkan kebersamaan sangat saya hargai. Tempoh berpantang juga menuntut pengorbanan suami seawal pagi lagi. Dia akan bangun terlebih dahulu dan menyediakan air mandian teresap untuk saya. Ketika saya mandi dia bertungkus lumus menyediakan tangas dan air rebusan akar kayu untuk saya minum. Tengah harinya pula, dia akan memanggang ikan, menyediakan makanan yang bersesuaian untuk dihidangkan kepada saya. Dia sangat peka dengan segala pantang larang, mahu mengelakkan saya dari masuk angin atau gatal di bahagian luka. Kemudiannya diikuti dengan rutin berbekung, berdiang dan bertungku. Suami melakukannya dengan penuh displin tanpa mengenal jemu.


Allah saja yang dapat membalas kebaikkan beliau pada saya. Semoga balasan syurga dikurniakan buat suami saya yang setia dan sentiasa ikhlas dalam menjalankan tanggungjawabnya. Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...