Wednesday, September 14, 2011

:: Harta ::

Salam

Dalam keghairahan berkongsi, saya sedar penulisan santai kurang menyerlahkan ilmu atau isi yang boleh dijadikan pengajaran kerana kebiasaannya fokus kita lebih kepada membaca cerita berbanding mengambil pengajaran. Disebabkan itu, saya selang selikan penulisan ilmiah dengan penulisan santai agar blog ini tidak menjadi terlalu berat atau membosankan. Apa yang penting adalah ilmu yang disampaikan. Semoga blog ini mampu menjadi medium "amar makruf nahi munkar" untuk saya.

Konsep Harta

1. Pemilik mutlak terhadap segala yang ada di muka bumi ini, termasuk harta benda adalah Allah SWT. Pemilikan manusia hanya bersifat relatif dan terbatas untuk melaksanakan amanah mengendalikan dan memanfaatkan sesuai dengan ketentuanNya. Tidak sepatutnya kita menjadi terlalu obses terhadap harta sehingga mahu menyedekahkannya kepada orang-orang yang tidak mampu pun terasa berat. Mahu membelanjakan beberapa ringgit ke masjid pun risau harta yang puluhan ribu itu terluak.

ولله ما في السموت والأرض وإلى الله ترجع الأمور

“Dan milik Allah apa yang ada di langit dan dibumi, dan hanya kepada Allah segala urusan dikembalikan”.

Ali Imran: 109.

2. Harta sebagai perhiasan hidup yang mana manusia memiliki kecenderungan yang kuat untuk memiliki, menguasai, dan menikmati harta.

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ.

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan terhadap apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda-kuda terpilih, binatang-binatang ternak, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan disisi Allah tempat kembali yang baik”.

Ali Imran : 14

3. Harta sebagai ujian keimanan terutama berkenaan cara mendapatkan dan memanfaatkannya. Kita sering menganggap harta merupakan rezki dari Allah tanpa mengambil peringatan bahawa harta juga merupakan ujian dari Allah. Malah, kekayaan itu merupakan ujian yang lebih berat bagi sesetengah indvidu berbanding dengan kesusahan. Kerana kekayaan lebih mudah mengalpakan manusia berbanding kekufuran yang selalunya mendorong manusia lebih mengingati Allah.

واعلموا أنما أموالكم وأولادكم فتنة وأن الله عنده أجر عظيم

“Dan ketahuilah, bahawasanya harta benda dan anak pinak kamu adalah ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah ganjaran yang besar”.

Al Anfaal: 28

Namun begitu, tidak sepatutnya kita menyalah ertikan hal ini, Islam tetap menyuruh umatnya untuk mencari harta kerana dengan ini pelbagai urusan agama seperti jihad dan amal jariah dapat dilakukan. Saidina Ali bin Abi Thalib RA pernah menyebut, "Jika kefakiran itu seorang lelaki, maka aku akan membunuhnya".

Dari sudut yang lain, harta sering menyebabkan keangkuhan, kesombongan, serta kebanggaan diri. Apabila melibatkan duit, sungguh sebaik-baik manusia pun boleh berubah. Diri yang dahulunya tinggi budi pekerti menjadi angkuh dan sombong kerana mahu merebut harta dan ketinggian pangkat.

كلا إن الإنسان ليطغى. أن راه استغنى.

“Sekali-kali tidak, sesungguhnya manusia benar-benar melampau batas. Apabila melihat dirinya serba cukup

Al ‘Alaq: 6-7

4. Harta memberikan kebaikan dan kenikmatan jika digunakan dengan baik dan tidak berlebihan.

وأورثكم أرضهم وديارهم وأموالهم وأرضا لم تطئوها

“Dan Dia (Allah) yang memberikan kepada kamu tanah-tanah mereka, rumah-rumah mereka, harta benda mereka dan tanah-tanah yang belum kamu jejaki”.

Al Ahzab: 27

5. Harta sebagai bekal ibadah, maksudnya melaksanakan perintah Allah SWT dengan melaksanakan muamalat di antara sesama manusia dan ibadah harta yang wajib seperti zakat, infak dan sedekah.

انفروا خفافا وثقالا وجاهدوا بأموالكم وأنفسكم في سبيل الله ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون

“Berangkatlah kamu dengan rasa ringan atau berat dan berjihadlah dengan harta kamu dan diri kamu pada jalan Allah. Perkara itu adalah lebih baik untuk kamu jika kamu mengetahui”.

At Taubah: 41

Inilah yang sering kita alpa. Kita sering menyangka, harta yang kita miliki adalah harta yang kita sebenanrnya ada. Silap, ini bukan milik kita. Harta yang sebenar-benarnya kita iliki adalah harta yang kita belanjakan dijalan Allah. Justeru, berapa banyak harta yang menjadi simpanan kita dan berapa pula harta yang telah kita belanjakan di jalan Allah? Maka, dengan itu, sejauh manakah kita sebenarnya berharta?

6. Pemilikan harta dapat dilakukan antara lain melalui usaha halal. Banyak ayat Al Quran dan hadith Nabi yang mendorong umat manusia bekerja mencari nafkah secara halal.

7. Dilarang mencari harta, berusaha atau bekerja yang dapat melupakan kematian:

ألهكم التكاثر. حتى زرتم المقابر.

“Bermegah-megahan telah melalaikan kamu. Sehinggalah kamu memasuki kubur”.

At Takaatsur: 1 – 2

Melupakan zikrullah (tidak ingat kepada Allah dan agamaNya).

ياأيها الذين آمنوا لا تلهكم أموالكم ولا أولادكم عن ذكر الله ومن يفعل ذلك فأولئك هم الخاسرون

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta benda kamu dan anak pinak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah, dan sesiapa yang melakukan perkara itu maka mereka adalah orang-orang yang rugi”.

Al Munaafiquun; 9

Melupakan solat dan zakat.

رِجَالٌ لا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ

“Orang-orang yang tidak dilupakan oleh perniagaan dan jual beli daripada mengingati Allah, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat. Mereka takut akan hari ketika hati dan pandangan menjadi goncang (kiamat).

An Nuur: 37

Perkara sebegini sering berlaku, ramai di antara kita yang lupa melakukan apa yang dituntut Allah kerana memenuhi tuntutan kehidupan. Saya juga sering begitu. Oleh kerana terlalu sibuk mahu menyiapkan tugasan, solat dilewat-lewatkan sedangkan mati itu tidak menunggu sesiapa. Malahan jika ajal datang menjemput, sesaat pun kita tidak mampu menangguh. Nauzubillah. Semoga kita semua memperoleh husnul khatimah (pengakhiran yang baik).

Menjadikan kekayaan tertumpu kepada sekelompok sahaja.

كي لا يكون دولة بين الأغنياء منكم

“…Supaya ia (harta) tidak berlegar di sekitar orang-orang kaya di kalangan kamu…”.

Al Hasyr: 7

Fenomena biasa yang berlaku dinegara kita. Harta hanya beredar dikalangan mereka yang kaya raya sahaja. Sedangkan si fakir terus menerus dibiarkan tidak terbela. Seperti sahaja yang baru-baru seja berlaku, cukai 6% yang dikenakan kepada kad tambah nilai. Bukan mahu merungut terhadap bayaran 60sen atau sebagainya. Bukan itu isunya disini tapi lebih kepada penindasan yang dilakukan kepada masyarakat yang menangung segala macam beban akibat daripada pemimpin yang mementingkan kocek mereka berbanding kebajikan rakyat.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga didalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...