Saturday, September 24, 2011

Menanam Duri Di Hati Anak

Salam

Mungkin ramai yang kurang setuju dengan tajuk artikel saya kali ini. Sukar sebenarnya untuk kita membayangkan bagaimana perkara ini boleh berlaku. Bagaimana ibu bapa menanam duri di dalam hati anak-anak? Mari saya ganbarkan dengan penceritaan.

"Ibu, Aiman nak duit boleh. Duit semalam dah habis, makan dengan kawan-kawan sambil berbincang tentang business". Ibu menggeleng, setiap hari pun Aiman akan meminta duit darinya dengan alasan yang sama, mahu menjalankan perniagaan tapi hasilnya? Sampai hari ini hasilnya belum nampak. Keluhan dilepaskan berat tapi apakan daya, naluri keibuannya mahu benar melihat Aiman berjaya. Dia mahu Aiman mempunyai jaminan masa depan yang cerah seperti adik-adiknya yang lain, yang kini sedang melanjutkan pelajaran di universiti. Dengan harapan yang tinggi, Ibu menyerahkan not sepuluh ringgit kepada Aiman, mudah-mudahan menjadilah perniagaan Aiman yang entah betul entah tidak.

Aini menghela nafas panjang melihat huluran Ibu, rasa pedih di hujung hatinya. Asal saja si abang meminta duit, pasti si Ibu memberinya tanpa banyak soal. Lain pula kisahnya jika dia dan adik-adik yang meminta, panjang berjelalah khutbah yang diberikan. Betul, pesan Ibu agar berjimat dan sebagainya itu benar tapi apa yang Aini dan adik-adik belanjakan adalah untuk pelajarannya di universiti sedangkan abang hanya keluar berjoli. Ada rasa terkilan bila mengingatkan rungutan Bapa suatu ketika dulu. "Asyik-asyik duit? Kamu pergi universiti ini untuk menghabiskan duitkah?". Alangkah bagusnya jika Ibu dan Bapa menyokong pengajiannya seperti mana Ibu dan Bapa menyokong perniagaan palsu abangnya itu.

Tini berjalan laju meninggalkan Aiman yang tersenyum bahagia menerima wang dari Ibu. Hatinya memberontak. Ibu tidak pernah memahami hatinya. Bila mana dia mengadu pada Ibu tentang sikap abangnya, pasti Ibu akan membela. Kata Ibu, Tini tidak akan faham naluri seorang Ibu. Tini jadi marah, semuanya mahu menangkan abang, bukankah Tini juga anak Ibu. Hatinya membentak-bentak perbuatan Ibu yang berdiam diri dalam semua perkara tentang abang. Abang tidak bekerja, tidak juga melanjutkan pelajaran. Kerjanya sehari-hari ialah dengan menghabiskan wang di pusat internet dan melepak bersama kawan-kawan di kedai mamak. Jarang benar berada di rumah. Bila pulang ke rumah, kerjanya hanya membuta. Tini jadi bosan melihat Ibu membela anak sebegitu. Kalau membeli baju, abang, Ibu dahulukan, bila abang mengadu susah ke sana ke mari kerana tidak mepunyai lesen, terus Ibu membiaya yuran lesen abang. Tini? Terpaksa berjalan kaki sejauh 2 KM setiap hari untuk ke kuliah gara-gara terpaksa beralah dengan abang. Maklumlah, keluarga mereka bukan kaya, kalau abang ambil lesen tahun ini, maka terpaksalah Tini ambil lesen tahun hadapan. Pernah sekali Tini adukan pada Ibu tentang sakit hatinya melihat abang menyusahkan keluarga dan mengambil kesempatan terhadap rasa kasih Ibu terhadapnya. Kata Ibu, "Ibu tidak tahu apa yang perlu Ibu lakukan. Kalau marah takut Abang berkecil hati dan pergi dari rumah ini, nanti kita juga yang susah. Kalau di luar pengawasan Ibu, makin teruk pula Abang jadinya. Biarlah, Abang kan anak Ibu juga.". Dengan hati yang remuk redam, Tini berbisik, "Tini pun anak Ibu juga!".

Mas berhenti betul-betul di depan Aiman, hatinya tekad. Dia perlu bersemuka dengan abangnya tidak kiralah apa risikonya pun. "Abang ambil duit Mas?". Mas merenung tajam ke mata Aiman, rasa marahnya meluap-luap. Ini bukan kali pertama duitnya hilang. "Jangan nak tuduh-tuduh!" Aiman meninggikan suara, tanpa menunggu balasan dari Mas, Aiman berlalu. Banyak rencananya hari ini, tidak untung rasanya kalau dirosakkan dengan gangguan dari adiknya yang tidak boleh melihat dia senang. "Habis, kalau bukan abang siapa lagi?!" Mas separa menjerit, hatinya sakit. Dengan kaki yang dihentak-hentak ke lantai, Mas pergi mengadu kepada Ibu. "Habis, yang Mas pergi letak dompet tu merata kenapa?". Itu saja respon dari Ibu. Mas bertambah sakit hati, duitnya dicuri, dia juga yang dipersalahkan. Akhirnya dia naik ke bilik dan menghumbankan diri ke atas katil, menangis teresak-esak.

Liya terkejut melihat tindakan Mas tapi dia sedia maklum dengan apa yang terjadi. Baru sekejap tadi dia menjadi pendengar setia kepada Tini dan Aini, dia faham benar perasaan adik-adiknya. Selaku kakak sulung, Liya merasakan dia perlu menjernihkan segala yang keruh. Liya berjumpa dengan Ibu. "Ibu, kenapa Ibu selalu saja membiarkan abang merosakkan masa depannya? Setiap kali abang tipu, Ibu biarkan saja walaupun Ibu tahu abang tipu. Perbuatan ibu itu tidak akan merubah abang. Abang akan terus hanyut. Mana tidaknya, tidak perlu berusaha, bekerja mahu pun belajar, dia tetap hidup senang.". Liya menatap wajah Ibu yang kelihatan penat dan tidak bermaya, dia tahu Ibu banyak bekorban untuk keluarga ini tapi virus dendam yang sedang menular di dalam hati adik-adiknya memerlukan penawar. Ibu menarik nafas panjang. "Liya, abang memerlukan sokongan kita. Dia mahu membuka perniagaan, Ibu perlu bantu dia, dia tidak belajar tinggi seperti kamu semua. Kalau Ibu tak bantu dia, siapa lagi? Kamu mahu abang kamu terjerumus dengan budak yang bukan-bukan?". Liya mengeluh, balik-balik itu saja alasan Ibu. "Ibu, sekarang ini pun abang sedang berkawan dengan orang yang bukan-bukan. Melepak di kedai mamak sampai lewat malam, mencuri duit, lepas itu tipu Ibu. Kita bukan tak nak bantu dia, Liya cakap ini sebab nak bantu abang la. Lagipun bukannya kita tidak beri peluang dia belajar, dia yang tidak mahu. Kalau Ibu asyik bagi duit saja pada abang, sampai bila-bila pun abang tidak akan sedar. Dia tidak akan tahu rasa susah, sebab bila susah saja, Ibu bagi duit, kalau tak cukup dia akan curi duit kami. Lepas itu Ibu akan bela abang. Perbuatan kita sekarang ini Ibu, tidak akan membantu abang. Bukan Liya nak doakan ketiadaan Ibu dan Bapa, tapi kalau Ibu dan Bapa meninggal macam mana? Kami semua perempuan, akan ada suami dan keluarga masing-masing, setakat mana saja kami dapat bantu abang? Takkan Ibu nak suruh kami semua sara abang seumur hidup?". Mata Ibu tajam memandang Liya, "Liya tak tahu perasaan seorang Ibu. Nanti bila Liya, Tini, Aini dan Mas kahwin, dan ada anak baru kamu semua tahu!". Ibu memandang Aini dan Tini yang menuruni anak tangga menuju kearah Ibu dan Liya di meja makan.

Langkah Tini terhenti, marahnya yang reda kembali memuncak. Balik-balik itu alasan yang diberikan Ibu. Bukan dia mahu sombong atau bersikap degil tapi apa yang mereka rasa dan rungutkan adalah untuk tujuan kebaikkan. "Ye la, abang itu anak Ibu. Habis kami ini bukan? Ibu sibuk mahu menjaga hati abang, membela semua perbuatan abang tanpa Ibu sedari, Ibu sebenanrnya mengabaikan kami semua.Kami yang menuntut ilmu kerana mahukan kehidupan yang senang juga yang hidup susah. Kami yang duitnya dicuri juga yang Ibu marah, bukannya si Pencuri tu". Tini berlari naik ke atas, menyertai Mas yang tangisnya bersisa esakan. Aini menambah, "Sikap Ibu yang terlampau sayangkan abang itu dah menimbulkan dendam di hati kami. Sikap sayang itu juga dah merenggangkan silaturrahim kami adik beradik". Tenang dan bersahaja nada suara Aini tapi Allah sahaja yang tahu betapa hatinya terluka. Aini berlalu, apa guna dia terus berdiri menatap Ibu sedangkan dia tahu, hati Ibu tetap begitu, abang tetap nombor satu. Liya diam, semua adiknya putus asa, hanya tinggal dia.

Saya hentikan cerita saya sampai di sini. Semoga memberi manfaat buat kita semua, agar kita tahu menilai baik dan buruk. Saya menadah tangan, memohon doa, "Ya Allah, janganlah kau jadikan kasih sayang kami terhadap anak-anak sebagai ujian sehingga kami gagal mendidik mereka ke jalan yang Kau redhai. Sesungguhnya kami ini hambaMu yang lemah.". Kerana saya juga seorang Ibu.

Ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadith riwayat Abu Hurairah yang bermaksud "Setiap anak yang lahir itu, ianya dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibubapanya akan mencorakkan anak tersebut menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi"

(Hadith Riwayat Bukhari)

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarganya didalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...