Thursday, September 22, 2011

Debaran Seorang Ibu

Salam

Beberapa hari ini, saya terasa seperti mahu menulis sesuatu yang puitis, mahu menulis sajak tentang cinta dan pengorbanan, tentang kasih sayang dan kesetiaan. Tapi rasa itu saya biarkan terbantut. Bukan kerana tidak minat atau ketandusan idea tetapi kerana masih belum mampu membiasakan diri dengan kehidupan yang baru. Kehidupan sebagai seorang ibu.

Alhamdulillah, kerja-kerja menguruskan anak seperti memandikan, membersihkan najis, memakaikan baju dan menidurkan telah pun saya kuasai. Mungkin tidak seperti ibu-ibu lain yang berpengalaman tapi memadai dalam menguruskan anak. Tetapi ada sedikit debaran yang saya rasai, beberapa hari lagi saya akan meninggalkan rumah mama dan kembali duduk di rumah sendiri. Maknanya, tidak ada lagi talian hayat untuk saya. Tugas saya akan bertambah, tugas menguruskan hal ehwal rumah dan anak terpaksa ditanggung sekaligus. Mampukah saya? Itu persoalan yang sedang berlegar di dalam fikiran saya sekarang ini.

Jadual tidur Zahrah yang tidak teratur, tidur di waktu pagi dan berjaga di tengah malam membuatkan saya kepenatan kerana tidur yang tidak cukup. Bila di rumah mama, saya boleh menebus kembali masa tidur itu ditengah hari kerana tidak ada kerja rumah yang perlu saya uruskan. Berlainan pula dirumah sendiri nanti, tentulah saya perlu mengemas rumah, menyidai pakaian dan menyediakan makan. Semua ini saya perlu selang selikan dengan menjaga anak. Suatu perkara baru yang perlu saya kuasai secepat mungkin. Sedikit bernasib baik kerana buat masa ini saya sedang bercuti dari pengajian (study leave), maka penyesuaian diri akan berlaku secara berperingkat. Bila saya sudah boleh menguasai 'ilmu' menguruskan anak dan rumah tangga dalam satu masa, saya ke peringkat seterusnya dengan belajar pula menguasai anak, rumah tangga dan pelajaran dalam satu masa. Berat sungguh tanggungjawab yang perlu digalas, semoga Allah membantu saya disetiap langkah yang saya ambil. Ameen.

Dalam pada kebimbangan tentang pengurusan masa, saya juga bimbang dengan cara saya mendidik anak-anak. Tarbiah itu perlu bermula dari awal lagi, melentur buluh biarlah dari rebung. Saya sedikit gusar tentang ini, takut saya tidak mampu menjalankan tanggungjawab tarbiah itu dengan baik. Banyak yang saya cita-citakan. Saya mahu Zahrah menjadi seperti abinya, mengahafal quran dan faham ilmu agama tapi bagaimanakah saya mahu menerapkan perasaan cintakan agama dan suasana Islam sebagai gaya hidup. Semuanya masih dalam kesamaran. Yang ada hanya beberapa perkara kecil yang sudah berlegar-legar difikiran saya.

Banyak juga masa yang saya habiskan dalam berfikir tentang didikan dan tarbiah ini. maklumlah, ketika berada di dalam pantang, masa rehat terlampau banyak sehinggakan saya kebosanan berehat tapi masa rehat itu saya isi dengan berfikir tentang cara mendidik anak. Mungkin bermula dengan menghafal doa-doa seperti doa makan, doa tidur, doa naik kenderaan dan doa masuk tandas. Kemudiannya penerapan pemakaian tudung di usia muda, solat seawal umur 5 tahun (mungkin tidak sepenuhnya solat tapi mula belajar), memberikan salam dan mengikuti abinya ke majlis-majlis ilmu. Itu yang ada dalam fikiran saya sekarang ini. Saya mahu memikirkan cara-cara yang lebih serius, cara yang mampu menerapkan rasa cinta kepada agama lebih mendalam. Bukanlah saya kata cara-cara tadi tidak menanam rasa cinta tapi saya mahukan cara yang impaknya lebih serius. Moga Allah limpahkan ilham pada saya.

Semoga Allah melorongkan saya dalam segala hal. Saya bukan mahu menuntut ilmu semata-mata mahu menjamin masa depan yang cerah dan gaji yang lumayan tapi mahu menjadi ibu berpendidikan yang mendidk anaknya dengan baik. Ibu berpendidikan dan insyaAllah berkerjaya yang mampu mendidik anaknya menjadi manusia yang berguna, untuk Islam dan masyarakat sejagat. InsyaAllah.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

p/s: Saya sedar, dalam kekalutan mahu mendidik anak, saya juga perlu mendidik diri sendiri. Bukankah ibu dan ayah itu contoh pada anak-anak? Masakan mahu menjadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan? Nauzubillah.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...