Friday, August 26, 2011

Deliver Baby

Salam

Hari ini genap sepuluh hari usia Zahratul Iman. Sungguh saya masih lagi terasa seperti berada di awang-awangan, tak tersangka dalam sekelip mata saya sudah bergelar 'mama'. Allah sahaja yang tahu betapa bahagianya bergelar seorang ibu. Teringat saat-saat saya melahirkan, satu kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan.


Dua bulan sebelum ini saya sudah disajikan dengan kisah-kisah sepupu dan rakan yang baru sahaja menimang cahaya mata. Pengalaman mereka sedikit sebanyak memberi gambaran kepada saya tentang bagaimana mahu menghadapi saat kelahiran nanti. Dua hari sebelum melahirkan, saya turun darah. Tapi mengenangkan keadaan hospital yang mungkin tidak mampu accomodate ramai pesakit (bukan kecemasan), saya mengambil keputusan untuk menahan sakit dirumah. Contraction yang saya alami hanya berlaku pada waktu malam, sedangkan di siang hari saya boleh bersenang lenang menonton TV dan berjalan mundar mandir di dalam rumah.

Hari ketiga contraction bagai tidak mampu ditahan. Saya mula sakit jam 2 pagi. Sakitnya semakin menyengat dan setiap kali sakit menyerang ada air yang keluar bersama. Saya mula syak itu adalah air ketuban tapi kerana jumlahnya yang sedikit membuatkan saya ragu. Saya masih menahan sakit dirumah dan memerhatikan kekerapan masa contraction itu berlaku. Dari jangka masa 15minit sekali, contraction berubah menjadi 10minit sekali. Sakitnya pula semakin menjadi-jadi. Tidak tahan dengan sakit yang ditangggung, saya mengejutkan suami yang lena disebelah. Kami tiba di Hospital Selayang tepat jam 3 pagi.

Saya dibawa menggunakan kerusi roda masuk ke wad menunggu (tak pasti -_-'). Jantung bayi dan tekanan darah saya diperiksa. Setelah menjalani pemeriksaan, air ketuban dipecahkan dan bermulalah rasa sakit yang lebih sakit dan lebih kerap. Setiap kali contraction, saya menahan nafas bagi menahan sakit dan setiap kali itu jugalah saya dimarahi misi. Katanya tindakan saya telah menyebabkan bayi kekurangan oksigen. Saya akur, maka setiap kali sakit, saya menarik nafas dalam-dalam agar bekalan oksigen mencukupi untuk kami berdua.

Setelah beberapa lama, saya ditolak ke wad bersalin. Saya dimaklumkan pihak hospital bahawa mereka akan menyediakan saya untuk bersalin dan suami boleh menemani saya nanti. Ada kelegaan disitu. Sungguh, waktu-waktu begini saya benar-benar mahu suami berada disisi, memberi sokongan dan menunjukkan kebersamaan. rasa sakit semakin susah untuk digambarkan, benarlah kata orang, tidak ada rasa sakit di atas dunia ini seperti sakit bersalin. Setiap kali sakit datang menyengat, saya jadi hilang arah. Saya diingatkan oleh seorang misi agar membaca 'la ilahailla anta subhanaka inni kuntu minaz zolimin'. Saya mengulanginya beberapa kali, berdoa di dalam hati agar sakit berkuranngan.

Contraction semakin kerap, rasa sakit tersangatlah tidak mampu ditanggung. Dan setiap kali sakit, saya meminta pertolongan daripada Allah. Bising mulut saya meminta pertolongan. Hehehe. :p Alhamdulillah, tidak lama selepas itu, doktor membenarkan saya untuk meneran. Walaupun mengalami kesukaran pada awalnya kerana tidak pandai meneran, akhirnya saya selamat melahirkan tepat jam 6.14 pagi.

Alhamdulillah, walaupun sakit, semuanya menjadi kenangan terindah buat saya. Kadangkala bila teringat kembali mulut saya ketika bersalin, saya ketawa sendiri. Kelakar.

Zahratul Iman, 8 hari.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...