Thursday, July 7, 2011

Sisi Yang Berbeza

Salam

Setiap insan mempunyai angan-angan tentang bagaimana mereka mahukan kehidupan mereka berlangsung. Bermula dari perkembangan kerjaya sehinggalah kepada kebahagiaan rumah tangga. Saya tergolong sama, malahan adakalanya saya tidak dapat melarikan diri dari membuang masa dengan berangan-angan. Adakalanya, selepas membaca doa tidur dan beberapa doa amalan, saya akan cuba melelapkan mata dengan membayangkan kehidupan yang indah-indah yang saya mahukan. Paling tidak pun saya akan membayangkan diri saya menghias rumah sedia ada dengan perabot-perabot mewah yang saya lihat di majalah. Saya tidak pasti sama ada perkara ini baik atau tidak tapi yang pasti ianya benar-benar berkesan dalam melelapkan mata saya.

Jujurnya, selepas saya mendirikan rumah tangga kehidupan saya berubah 100%. Tidak ada satu pun yang berlaku seperti yang saya angankan(mungkin agak keterlaluan!). Semuanya berbeza, sama seperti majlis perkahwinan yang saya lalui. Angan saya langsung tidak dipenuhi. Kalau ditanya pada remaja yang lain, tentulah mempunyai majlis perkahwinan seperti yang di angankan merupakan satu isu yang penting. Tapi tidak pada saya, fokus saya pada ketika itu adalah mengahwini insan yang saya cintai, walaupun ada di antara perkara yang terjadi ketika majlis tersebut berlangsung sehingga kini saya sesali. Namun saya anggap segalanya sebagai satu pengajaran dan saya berdoa agar ianya tidak berulang di dalam perkahwinan adik-adik saya.

Tapi ini bukanlah isu yang saya ingin bincangkan.

Dalam kita sedar atau pun tidak, angan-angan dan impian kita tertunai dalam bentuk yang berbeza. Seperti saya yang silap menilai, impian saya mahu hidup sebagai golongan korporat, melancong ke luar negara bersama keluarga, bukanlah yang terbaik untuk saya. Sebaliknya, di sebalik impian dan angan yang tidak tertunai itu, Allah telah memberikan saya aturan kehidupan yang lebih baik. Saya ditakdirkan untuk bertemu dengan seorang lelaki biasa, bukan ahli korporat. Hujung minggu kami dipenuhi dengan aktiviti riadah yang menyihatkan, walaupun tidak ke luar negara. Tatkala berkesempatan, saya akan mengikuti beliau ke kuliah-kuliah Maghrib yang dia sampaikan. Cukup memberi peringatan kepada saya.

Saya berfikir lagi, seandainya saya dikurniakan seperti apa yang saya hajatkan, mungkinkah saya menjadi seperti sekarang ini? Solat dan aurat lebih terjaga, malahan peringatan juga selalu ada. Tidak di dalam masjid, di dalam kereta pun suami saya suka berdiskusi tentang sesuatu yang membina minda. Sebenarnya, dalam setiap apa yang Allah kurniakan sudah ada aturan yang bijaksana dan lebih menguntungkan. Saya merenung lagi, kalau mahu dirungutkan memang tidak habis-habis kita menyesali perjalanan kehidupan kita. Semuanya tidak indah di mata. Tapi sebenarnya kita lupa, selagi mana kita beriman kepada Allah, saya yakin Allah sentiasa ada untuk kita. Semakin banyak kita meminta, semakin Allah menyayangi dan merapati kita. Berbeza dengan manusia yang mudah kebosanan menghadapi manusia yang meminta-minta.

Saya menyifatkan aturan ini sebagai satu keindahan yang tidak dapat dilihat dari satu sisi. Hati seharusnya dibuka, dan kita perlulah berlapang dada. Siapa kata kita hanya akan merasa damai tatkala melihat pelangi yang indah, sedangkan kepekatan malam yang hitam juga mendatangakan ketenangan yang berpanjanngan.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...