Monday, June 27, 2011

Jelousy

Salam.

Kita selalunya tidak menyedari perasaan hasad dengki yang mula menyusup di dalam hati. Halus dan berseni, sehinggakan ada ketikanya kita mencari alasan untuk membenarkan setiap tindak tanduk kita. Saya tidak menafikan cemburu-cemburu yang dibenarkan di dalam Islam. Cemburu yang mahukan kebaikkan yang Allah kurniakan pada seseorang turut diberikan kepada kita, tanpa mengharapkan orang tersebut ditimpa musibah atau merasakan orang tersebut tidak layak menerima rezeki atau nikmat yang Allah berikan itu. Namun berapa ramai daripada kita yang mampu mengawal perasaan cemburu?

Ada di antara kita yang mengambil langkah untuk tidak mengambil tahu perkembangan para rakan untuk mengelakkan perasaan cemburu. Ada juga yang memujuk hati dengan memuji dan meraikan kegembiraan kawan-kawan agar cemburu yang kian bercambah berjaya di cantas. Saya tidak mahu mengadili cara yang diguna pakai untuk mengelakkan diri daripada cemburu. Bagi saya, selagi mana ia tidak mendatangkan keburukkan dan selari dengan syariat Islam, maka setiap orang bebas untuk memilih cara masing-masing.

Itu dari satu sisi yang berlainan, sisi yang mahu mengelakkan perasaan cemburu daripada menghantui diri. Dari sisi mereka yang tewas, pelbagai perkara yang dilakukan. Sehinggakan ada di antara kita yang sanggup mengkhianati persahabatan yang dicipta setelah sekian lama, ada juga yang sanggup melakukan perbuatan sihir dan sebagainya. Nauzubillahiminzalik. Semoga kita semua tidak melampaui batas. Perbuatan ini bukanlah dilakukan di dalam keadaan tidak sedar, kebanyakkan daripada kita sedar apa yang dilakukan. Namun perasaan tersebut tidak lagi dapat dibendung sehingga menjadikan kita seorang yang kejam dan tidak berperi kemanusiaan.

Ada juga diantara kita menjustifikasi tindak tanduk mereka menggunakan ilmu yang terpahat di dada agar menyebelahi rasa cemburu mereka. Bersembunyi disebalik kata-kata yang benar dengan alasan mahu memberikan nasihat atau pandangan tapi sebenarnya berselindung disebalik niat yang tidak betul. Mungkin ini boleh dikatakan menyerupai kata-kata Saidina Ali, “Kalimatul haq yurodu biha al batil”. Kata-kata yang benar, yang dimahukan daripadanya kebatilan. Sebagai contoh kita menasihati rakan kita tentang berdakwah pada orang ramai, kita memberat-beratkan peranan dakwah (kalimatul haq) agar rakan kita itu hilang semangat (al batil), sedangkan kita tahu sebagai langkah permulaan apa yang dilakukan oleh rakan itu sudah cukup baik. Tapi oleh kerana perasaan cemburu melihat dia menjadi insan yang lebih baik dari hari ke hari, ditambah pula dengan rezekinya yang semakin melimpah ruah kebelakangan ini, hati jadi tidak keruan. Tidak mahu dia menjadi lebih baik dari kita atau kita merasakan kehidupannya tidak melayakkan dia untuk memperoleh kebaikkan seperti yang dia perolehi sekarang.

Ini satu cara yang digunakan golongan yang ber‘pendidikan’, menjustifikasi tindakan yang disebabkan perasaan cemburu itu menjadi perbuatan yang betul sedangkan sebenarnya jika dilihat secara lebih teliti, ianya satu perbuatan yang salah. Saya melihat perkara ini berlaku di sekeliling saya. Adakalanya saya mampu bersabar dan adakalanya perbuatan ini membuatkan saya mengambil tindakan untuk menjarakkan diri. Bagi saya itu yang lebih baik. Mahu berhujah saya rasa tidak ke mana, masing-masing mahu menunjukkan tahap pengetahuan masing-masing dan kemudiannya bermasam muka. Saya memohon doa, biarlah semakin bertambah ilmu yang terpahat di dada, semakin saya bercakap dengan kata-kata yang benar bersama dengan niat yang betul. Tidak mahu menggunakan ilmu yang terpahat di dada untuk tujuan yang salah. Saya takut tidak mampu berhadapan dengan Allah bila disoal tentang apa yang saya lakukan dengan ilmu yang Allah kurniakan. Semoga segalanya menjadi lebih baik buat saya dan keluarga. Ameen.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

2 comments:

  1. ameen.aku pon tkut bila disoal dgn Allah tntg apa yg dh aku lakukn dgn ilmu-NYA. semoga kita sntiasa dpt hidayahNYA. thanks dgn perkongsian yg bermanfaat ni. len kali wt lg entry2 cenggini ye. i ske bce dr menulis blog.

    ReplyDelete
  2. Salam.

    Yeke? Ala...tulis la blog..
    Aku suka kalo ko tunjuk gambar2 makanan yang ko masak..
    Kecur air liur..
    Mana tahu, bleh amik resepi...tak pun bleh mmntk ko wat kan utk aku...
    Eh, ha...ini pun kira perkongsian ilmu jgak kan... :)

    ReplyDelete

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...