Saturday, November 6, 2010

Warkah Cinta buat Suami

Salam

Hari ini genap 5 bulan saya dan suami mendirikan rumah tangga. Tidak sampai setahun jagung tapi begitu banyak perkara yang berlaku. Banyak pengorbanan yang disulami kasih sayang, salah faham yang diikuti dengan pertengkaran dan kemudiannya kami akhiri dengan rundingan. Perkahwinan mengajar saya tentang banyak perkara, begitu merubah saya yang sangat kebudakkan kepada seorang gadis yang semakin dewasa. Tidaklah sempurna tapi saya sedang memperbaiki segalanya. Kalau dulu saya tidak tahu langsung menyediakan hidangan, kini saya semakin yakin untuk memasak. Kalau dulu saya seorang yang keras kepala, tidak sependapat maka rajuk jadi senjata, kini saya lebih mahu berbincang, mahu menyelesaikan segalanya. Saya akui, saya seorang gadis biasa yang tidak menjadi idaman sesiapa tetapi tetap juga suami sanggup memperisterikan saya. Beruntungnya saya. Semoga segala kesanggupan suami, termasuk kesanggupan mendidik saya, diberi balasan baik daripada Allah SWT. Saya tahu mendidik seorang perempuan yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok ini tidak mudah, malahan benar-benar menguji kesabaran.

Mungkin ramai yang akan mencebik, 5 bulan perkahwinan apa lah ertinya berbanding dengan pasangan lain yang telah mendirikan rumah tangga bertahun-tahun lamanya. Benar, saya tidak menafikan. Tapi tetap juga saya mahu mendedikasikan kata penghargaan buat suami saya yang sanggup berjaga malam menjaga saya tatkala rasa sakit menyengat di setiap genap tubuh badan. Sanggup dia bersengkang mata, mengurut badan saya bagi menghilangkan kesakitan. Tidak pernah jemu dia bersama saya, duduk berteleku didepan bilik doktor, menunggu giliran saya untuk mendapatkan rawatan. Bila mana saya kepenatan atau sibuk dengan pelajaran, maka dia tanpa banyak soal menyediakan santapan untuk saya. Sekalipun dia tidak pernah mengeluh dengan tuntutan keewangan yang menghimpit kami, dia tetap menggembirakan saya dalam serba serdahana. Tatkala saya menangis mengenangkan dugaan yang datang tanpa henti, dia tanpa keluh kesah menumpangkan dada dan bahu untuk saya sandarkan segala resah. Baru 5 bulan kami berkahwin tapi suami saya telah melakukan pengorbanan yang begitu banyak, yang hanya mampu dibalas Allah SWT.

Ini warkah cinta saya untuk suami. Warkah cinta seorang isteri yang banyak membantah, bertelingkah perkara-perkara remeh, merajuk tak kira masa dan merungut tak semena-mena. Saya isteri degil yang menyintai suaminya seluruh jiwa raga walau bibirnya becok dengan bebelan dan leteran. Buat suami yang tidak pernah jemu melayan karenah saya, menahan amarah melihat rajuk saya dan ketawa dengan keletah saya, saya doakan semoga Allah merahmati setiap perkara yang dia lakukan. Menjaga dia setiap masa dan dimana jua dia berada. Permudahkan urusannya dan tunaikanlah setiap keinginannya. Dan akhir sekali Ya Allah, bantulah aku dalam merubah diri menjadi isteri yang terbaik kepada hambamu yang namaMu tidak pernah lekang dari bibirnya, yang tujuan hidupnya untuk memperjuangkan agamaMu dan setiap langkkahnya mahu memanggil manusia lain ke jalanMu-suamiku.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga didalam golongan yang sentiasa memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...