Sunday, November 14, 2010

Pembelajaran Seumur Hidup

Salam

Dulu saya selalu berfikir, saya tidak akan mengenali kehidupan selagi saya tidak menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, dan setelah menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, kita masih lagi belum sepenuhnya mengenali kehidupan selagi kita tidak menjejaki alam perkahwinan. Alam dimana kita belajar dan menuntut ilmu merupakan pra kehidupan yang membentuk bagaimana kita mengendalikan dan menafsirkan alam kehidupan kita nanti. Kehidupan saya mengambil langkah yang berbeza, saya mengenali kehidupan melalui alam perkahwinan sebelum saya menjejaki alam pekerjaan. Langkahnya agak besar, memontum yang diperlukan dalam berusaha mendidik diri sendiri tinggi. Jatuh bangun itu perkara biasa, saya mahu terus berusaha. Pendek kata, selagi kita hidup, selagi itu proses pembelajaran akan berterusan.

Saya mengahwini seorang lelaki yang berbeza kehidupannya berbanding saya. Jauh berbeza. Jurang kami terlampau ketara sehinggakan di waktu ijab dan kabul hampir diucapkan, beberapa teman masih lagi berfikir kenapa dia memilih saya. Hidup rumah tangga berbeza berbanding ketika saya masih bergelar anak dara, ditambah dengan gaya hidup dan pemikiran yang tak serupa, jurang perbezaan menjadi begitu ketara. Kadang-kadang sehingga menitiskan air mata. Tapi saya bersyukur, dalam setiap susah dan payah, saya di tarbiah. Tentang sakit yang mula mendamping diri, saya mula belajar betapa mahalnya nilai kesihatan dan betapa perlunya melayani orang yang sakit dengan baik. Suami saya berkali-kali meminta saya bersabar, katanya sakit itu kafaraah, yang beerti yang menghapuskan dan membersihkan. Dalam erti kata lain sakit itu penghapus dosa. Dan bila dinding kesabaran saya runtuh, dan saya mula melepaskan api kemarahan suami dengan sabar menasihatkan saya, "Doa banyak-banyak. Kalau nak marah, marah pada saya. Jangan marah pada sakit yang Allah turunkan.". Kata-katanya buat saya diam, dia membuatkan saya sedar betapa saya sedang terleka dan tidak meredhai Qada' dan Qadar.

Dalam satu waktu, RasulAllah menjenguk Salman al-Farisi yang tengan berbaring sakit. RasulAllah bersabda, "Sesungguhnya ada 3 pahala yang menjadi kepunyaanmu dikala sakit; Engkau sedang mendapat peringatan dari Allah SWT, doamu dikabulkanNya, dan penyakit yang menimpamu akan menghapuskan dosa-dosamu.".

“Tidaklah orang Muslim ditimpa cobaan berupa penyakit atau lainnya, melainkan Allah menggugurkan keburukannya, sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya.”

(HR. Bukhari-Muslim)

Kemudiannya saya diberi peluang melihat kehidupan dari sudut yang berbeza. Kehidupan yang penuh dengan perjuangan. Saya melihat ayah mertua saya memperjuangkan Islam dengan caranya, bagaimana dia bersabar dalam menghadapai pahit jerih perjuangan itu. Saya melihat pengorbanan ibu mertua saya, melihat dia berkorban rasa mempunyai suami yang sesibuk itu, sibuk menguruskan amanah dan memperjuangkan agama. Saya melihat suami saya, abang, kakak dan adik-adik ipar dididik di dalam suasana di mana setiap individu wajib memikirkan apa yang telah dia lakukan untuk Islam.

Saya juga mahu melakukan sesuatu. Lama saya berfikir, mencari jalan untuk memulakan langkah. Seperti biasa, langkah pertama selalunya yang paling payah. Mahu menggarapnya mendatangkan resah. Alhamdulillah, sokongan suami sentiasa membantu, langkah pertama saya ambil, di iringi dengan doa agar Allah sentiasa membuka jalan untuk saya untuk terus dan terus melangkah. Dan andai saya tidak nampak jalannya, maka doa saya agar diberi kekuatan untuk membuka jalan sendiri. Seperti kata seorang yang mengingatkan saya, 'If opportunity doesn't knocks the door, create the door"

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiada mencari keredhaanNya.

Sumber: http://nurfazilah.hadithuna.com/2009/08/14/sakit-adalah-kafarah-dosa/
http://rumahsantri.multiply.com/journal/item/20

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...