Sunday, October 3, 2010

Tarbiyyah Akhir Syawal

Salam

Bak kata suami saya, orang KL ini, kalau raya betul-betul sebulan. :) Alhamdulillah, hari ini saya berpeluang merapatkan kembali silaturrahim antara saya dan teman-teman lama. Tuhan saja yang tahu betapa syahdu hati saya tatkala melihat wajah mereka yang dahulunya mengisi setiap genap, zaman persekolahan saya. Masih dengan wajah yang sama tapi punya kehidupan yang berbeza. Masing-masing sudah terjun ke bidang kerjaya, cuma saya saja yang masih menyambung pelajaran. Bila akan menjejaki mereka pun saya tidak tahu.

Perjumpaan ini membawa banyak pengertian. Perkongsian pengalaman yang pelbagai, dalam rencah kehidupan yang penuh badai. Saya seronok melihat keletah mereka, celoteh yang penuh tawa dan komen tentang perubahan saya yang ketara. Ada di antara mereka berseloroh memanggil saya Ustazah. Saya hanya ketawa, malas mahu mengomen panjang. Biar langkah pertama ini bermula tenang. Hanya beberapa ketika saya menyelit sedikit peringatan ringan tentang kewajipan wajib seperti solat dan menutup aurat. Tak mahu ada yang melopong dengan perubahan saya dan tidak mahu juga ada yang menjauhkan diri, merasakan saya terlampau menekan.

Hanya 2 buah rumah yang sempat kami kunjungi, masing-masing ada komitmen. Saya yang menumpang kenderaan mereka, akur dengan setiap jadual yang dicadangkan. Tidak mahu menyusahkan sesiapa.

Petang itu terasa sedikit berbeza. Farhana Omar, rakan sekelas saya semasa di tingkatan 1 menghantar saya pulang. Macam-macam kami bincangkan. Dia mengingatkan saya tentang fitnah dunia akhir zaman yang semakin mengerikan dan saya mengingatkan dia tentang pergantungan kita pada Allah. Melihat wajah dia yang begitu mahukan kebaikkan buat saya rasa sayu. Ya Allah, permudahkanlah urusannya, perkenankanlah doanya dan kau temukanlah dia dengan jodoh yang mampu memimbing dia ke jalanMu.

Mata dia seakan-akan berkaca sepanjang perbualan itu berlangsung. Betapa hatinya tidak tenang berada di dalam kehidupannya sekarang, mahu berubah ke arah yang lebih baik. Saya menyambut niatnya dengan kata-kata semangat, mahu dia terus istiqamah mencari kebaikkan dan keredhaan Allah. Tatkala dia rancak bercerita, saya bersyukur ke hadrat Illahi kerana menjadikan saya insan yang beruntung, menemukan saya dengan lelaki yang baik dan membuka jalan kehidupan saya ke arah Islam. Saya mahukan kebaikkan itu untuknya juga. Ya Allah, kau permudahkanlah urusannya, Kau tunjukilah dia jalan yang lurus, jalan menuju keredhaanMu. Dan setelah itu, kau tetapkanlah hatinya. Teguh dan utuh bersama Islam.

Saya teringat kisah saya pada suatu ketika dulu, ketika rasa mahu bersuka-suka memenuhi setiap genap jiwa, sehinggalah ketika saya mencari-cari hala tuju diri. Nauzubillah, jangan dipesongkan hati ini Ya Allah. Menemuinya mentarbiyyah diri saya, mengingatkan saya tentang dunia akhir zaman. Jangan terlampau selesa berada di dalam kalangan orang yang soleh dan solehah sehingga alpa untuk mempersiapkan diri ketika dunia di penghujung usia. Semoga cinta RasulAllah menjadi sumber kekuatan kita semua, mendukung apa yang beliau ajarkan dan menyebarkannya di setiap jiwa setiap manusia.

"Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku." Ujar RasulAllah. "Bukankah kami semua saudara-saudaramu wahai utusan Allah?" para sahabar melontarkan soalan. "Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudaraku yang ku maksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada." Jawab RasulAllah SAW.

Aneh, menyintai insan yang belum ada. Cinta RasulAllah pada orang beriman di akhir zaman, cinta luar biasa. Cinta yang menjadikan beliau bekorban segalanya. Biar di ceruk mana pun kita berada, tidak ada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi. Justeru, adakah kita menyambut cinta yang agung itu? Cintakah kita pada pecinta yang agung itu? Hati kecil itu tidak mampu berbohong. Kita tahu di mana cinta itu di hati kita. Wallahua'lam.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaaNya.

Source : Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

1 comment:

  1. Semoga hati ini dibersihkan dari segala cinta yang menjauhkan kita daripada-Nya...
    Ameen...

    ReplyDelete

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...