Monday, September 27, 2010

Baiti Jannati

Salam

Akhirnya setelah beberapa lama, saya dan suami punya rumah sendiri. Mungkin bukan milik kami tapi untuk kami huni, tidak lagi tumpang berteduh bersama adikanda tercinta. Saya mengambilnya sebagai satu langkah untuk 'memaksa' saya berdikari, belajar memikul tanggungjawab sebagai isteri dan pelajar sepenuh masa dan perbaiki segala kelemahan yang sedia ada.

Duduk di rumah sendiri ini sedikit sebanyak memberikan saya semangat, dengan keadaan saya seorang diri menjadi 'raja' menguruskan segala hal rumah tangga, saya berkobar-kobar mahu melakukan itu dan ini. Seolah-olah menghidupkan angan ketika muda remaja (sekarang pun masih muda!). Kalau ada rumah mahu menghiasnya dengan gaya kontemporari, di beranda mahu mengumpul bunga-bunga kaktus yang kecil dan pinggan mangkuk yang diguna pakai mahu yang berwarna ceria. Terlampau banyak angan, dan saya tahu, bukan semua dapat dipenuhi. Kata suami, 'Jangan diletakkan mahu bahagia di dunia. Di dunia ini kita tidak akan merasa puas'. Saya mengawal nafsu dengan menjadikan nasihatnya sebagai perisai walaupun sering kali tewas tatkala mengunjungi gedung membeli belah.

Semangat sebagai seorang siswazah juga turut membara. Saya menyusun rak buku kecil yang kami ada di suatu sudut yang saya kira sesuai. Kemudiannya saya bentangkan 'karpet' dan tempatkan sebuah meja kecil untuk memudahkan saya menulis dan mengulang kaji. Nah, selesai sudah ruang 'study' saya dan suami. Nice and simple. Bilik kedua, saya tempatkan hadiah perkahwinan yang masih rapi di dalam kotak(masih belum ada almari untuk menyimpan), buku-buku suami saya yang tersusun tinggi(masih menunggu rezeki untuk mencari rak yang mencukupi) dan ruang solat yang sederhana. Walau bilik ini kelihatan dipenuhi dengan kotak dan buku, saya suka melihat ruang solat yang tersedia, rasa tenteram dan tenang.

Ini ruang yang paling saya suka-dapur. Alhamdulillah, kelengkapannya sudah hampir cukup semuanya. Bukan setakat pinggan mangkuk, siap tersedia hingga ke sudip dan senduk. Ini semua hadiah dari saudara mara dan rakan taulan. Terima kasih semua. Tinggal beberapa perkara sahaja lagi sebelum saya boleh meng'asap'kan dapur. Cutlery set dan dapur gas. Ya, kami masih belum punya dapur gas. Jadinya, nasi saja yang dimasak dirumah, lauk pauk terpaksa dibeli di luar. InsyaAllah, paling lama pun minggu depan saya akan mula me'ngerja'kan dapur.

Ruang tamu saya masih kosong, masih belum punya sofa, Flat screen TV(amboi, bukan main demand!), mahupun meja makan. Saya tidak mengharapkan semuanya lengkap dalam masa sebulan-dua. Kami baru memulakan kehidupan, ini benda biasa. Saya tidak mahu memberikan tekanan kepada suami. Apa yang penting, dia bahagia bersama saya. Apalah sangat dengan kemewahan material jika nak dibandingkan dengan keredhaan seorang suami.

Apa-apa pun semoga semuanya baik-baik belaka. Semoga hijrah ini membawa kepada banyak kebaikkan. Mendidik saya untuk menjadi isteri yang baik dan anak yang taat. Teringat cerita suami saya tentang bacaannya di blog Ust Hasrizal, suami saya mengulas semula, 'kalaulah dengan menjauhkan diri menjadikan kita sebagai anak yang sentiasa mahu berbakti kepada ibubapa dan sentiasa mendoakan ibubapanya, maka biarlah kita berada jauh. Jauh di mata dekat di hati. Terputuslah semua perkara daripada anak Adam kecuali tiga perkara, sedekah amal jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh'. Bila berkata tentang sedekah amal jariah, suami saya membacakan sepotong ayat yang bermaksud;

Wahai orang beriman, janganlah kamu membatalkan sedekah kamu dengan harapan dan kesakitan.

Harapan yang dimaksudkan di sini ialah, ketidak ikhlasan hati yang sentiasa mengharapkan pengiktirafan orang ramai terhadap sedekah yang telah dilakukan. Mahu sedekah itu disebut-sebut dan diwar-warkan pada semua. Manakala kesakitan disini ialah dengan mengungkit-ungkit tentang pemberian yang diberikan, perihal ini tentu sahaja menyakitkan si penerima malahan boleh mendatangkan aib dan marah. Saya mengangguk, mendengar peringatan suami saya. Kebelakangan ini, nasihatnya semakin serius dan kerap kali diulang. Mungkin mahu saya berubah dengan lebih pantas, sejajar dengan tuntutan kehidupan saya yang memerlukan pemahaman saya pada fikrah perjuangan suami dan keluarga. InsyaAllah, akan saya usahakan yang terbaik.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaaNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...