Thursday, August 26, 2010

Satu Coretan, Sebuah Catitan

Salam

Terlalu banyak yang ingin saya coretkan. Tentang kehidupan. Kehidupan lalu yang kembali berkait dengan kehidupan sekarang dan tentang kehidupan sekarang yang masa hadapannya sungguh kekaburan. Saya berfikir sendiri, ke mana kehidupan ini akan bawa saya pergi. Soalan yang akan menjengah pemikiran saya saban hari, dalam meniti yang tidak pasti. Rasa-rasa saya, seumur saya hidup, segalanya berlaku terlalu pantas. Adakalanya saya keciciran sendiri. Terlampau banyak yang perlu di pelajari. Pernah kah rasa tersepit dengan keadaan yang pantas, lantas menyentap seluruh kehidupan yang biasa di lalui dengan sesuatu yang begitu asing. Yang tidak pernah terfikir untuk menjengah nya dalam seawal usia ini. Ini kehidupan saya, kehidupan yang selalunya tidak terduga, yang tidak tercapai dek akal dan imaginasi saya sendiri.

Bahagia yang datang tidak terduga, indah dan sungguh melunakkan hati. Ini juga kehidupan saya. Terbahagi kepada frasa-frasa tersendiri. Hari ini beberapa perkara terjadi, perkara yang tidak terduga. Mahu melompat bahagia, ada sedih menjentik hati, mahu menangis hiba, ada bahagia yang mengunci cinta. Adil dan saksama, keadilan Illahi pada saya, apa yang Dia kurniakan tidak pernah ada kekurangan. Segalanya datang dengan hikmah tersendiri, walaupun kadangkala saya sendiri tercari-cari hikmah yang tersembunyi.

Alhamdulillah, beberapa perkara sudah selesai terlaksana. Tasmi' dan peperiksaan sem untuk sesetengah subjek. Ada beberapa subjek lagi yang perlu saya fokus kan. Dan selepas itu, saya dan suami akan pulang menyambut saki baki Ramadhan dan menyambut kedatangan Syawal. Sesungguhnya pengalaman baru kepada kami berdua, meraikannya bersama sebagai suami dan isteri. Ada sedikit gementar di situ, lebih-lebih lagi bila mengenangkan saya yang tidak tahu memasak. Walhal sambutan Aidilfitri, kepakaran memasak lah yang amat diperlukan. Saya redha, harapnya tidak mendatangkan marah sesiapa. Sejujurnya saya tekad, mahu berada di dapur dan membasuh pinggan mangkuk sebaik mungkin. Berkesankah? Saya serahkan pada Allah.

Esok exam bakal berlangsung, subjek yang memerlukan langkah pengiraan yang panjang berjela. Sekurang-kurangnya satu muka penuh untuk 1 soalan. Saya sudah 60% bersedia dan 100% tawakal. Keadaanya semacam tidak adil, usahanya sedikit, tawakal saja yang berlebih. Saya memang begitu, dari dulu lagi. Bila mahu berubah pun saya tidak pasti. Bila muhasabah diri begini, ada juga terfikir dua tiga kali. Apa Ramadhan ini bawa perubahan pada saya? Adakah doa saya diampunkan Allah? Serasanya masih sama. Teringat hadith yang saya baca dari buku tulisan Ustaz Hasrizal, Transformasi Ramadhan..

"Jibrail datang kepadaku dan berkata, 'Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan namun setelah bulan itu habis dan dia tidak mendapat ampunan, maka jika dia mati dia masuk neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin.' Aku pun mengatakan Amin".

Riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban dalam sahihnya.

Cukup setakat ini dahulu. Saya mahu bersiap-siap menanti kepulangan suami dari masjid. Pagi tadi sempat suami mengomel bila saya bersiap-siap, mahu ke kuliah, "Kalau di rumah tidak secantik begini". Saya membalas dengan senyuman walaupun sedikit terkesan dengan rungutan itu, "Kenapa? Selalunya tak cantik ke?". "Cantik. Tapi tidak la secantik ini". InsyaAllah, saya akan perbaiki. Demi cinta dan kasih pada suami tercinta.

"Kalaulah aku mahu memerintahkan seseorang sujud kepada seorang yang lain, nescaya akan aku perintahan wanita sujud kepada suaminya"

Riwayat Al Tarmizi

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaahNya

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

2 comments:

  1. Salam, Nabilla..

    Apa khabar, teman??
    Sihat tak?
    Lama tak memberi komen di sini..
    sekarang semakin aktif ye menulis curhat di sini. =)

    pssttt : kekemasan dan kecantikan di hadapan suami perlu dijaga ya..;)

    I miss you, Nabilla..

    ReplyDelete
  2. To Wanita Mustanir

    W'slm...ingatkan Shira dh lupa saya. :)
    Alhamdulillah semakin baik..
    BIla nak exam mmg mcm nie, banyak pula idea yang mencurah-curah...
    Kalo nak exam la..kalo tak..tak ada idea langsung..
    Hehehehe..

    Oh...baik...!! InsyaAllah, Nabila akan jdkan amalan.. ;)

    ReplyDelete

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...