Thursday, June 17, 2010

Kesusahan Yang Mendidik

Salam

Disebabkan perkahwinan yang bakal berlangsung, saya terpaksa menangguhkan terlebih dahulu penerbitan post yang ini. Bukannya apa, sengaja saya mahu post yang memaparkan kad undangan ke majlis perkahwinan saya sentiasa menjadi yang teratas. Takut-takut nanti ada yang terlepas pandang.

Alhamdulillah, semuanya selamat. Akhirnya saya bergelar isteri, tanggungjawab baru perlu saya pikul dan pelajaran baru perlu saya kuasai. Semoga Allah permudahkan semuanya untuk saya. Sepanjang post ini tertangguh, banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya. Mahu dan tidak mahu, perlu saya tempuh. Di saat saya membilang hari, pergolakan diantara dua sahabat membuatkan warna kehidupan saya kusam. Saya tolakkannya ke tepi. Doa telah pun saya panjatkan, pelbagai ikhtiar telah pun saya usahakan. Dan kini yang tinggal hanya tawakal. Saya menyerahkan semuanya ke tangan Allah SWT. Semoga Allah memberikan kebaikkan pada setiap keping hati yang terlibat.

Semakin pendek masa bahagia itu mahu menyapa, semakin panjang saya rasakan rantai aral yang melintang di hadapan saya. Bagai dipaksa bernafas di dalam lumpur, tercungap-cungap hampir kelemasan. Syukur, suami serta keluarga sentiasa berada di samping saya. Kata Mama ‘Kalau intan jatuh ke lumpur, sinarnya tetap kelihatan. Kalau yang disembunyi itu busuk, biar ditutup di bawah tempurung bersembunyi. Baunya tetap terhidu.’ Saya menjadikan kata-kata Mama sebagai pembakar semangat. Fisabilillah. Tidak perlu ada manusia yang tahu, cukuplah Allah tahu segalanya.

Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, niscaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehandaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Surah Al-Baqarah, Ayat 284

Kadang-kadang rasa sakit yang memeritkan hati ini buat saya terlepas pandang pada pengajaran yang dihulurkan, walhal dugaan ini lah yang mendewasakan saya, kesakitan ini lah yang mematangkan saya. Mendekatkan saya pada Allah dan menggalakkan saya berfikir kepada hikmah untuk setiap kejadian. Saya memandang lantai, apa sangat yang saya renungkan di saat saya di baluti dengan kesenangan? Berbanding dengan saya berfikir panjang, sewaktu Allah uji saya dengan kesempitan. Ramai di antara kita mengeluh di saat ditimpa kesusahan tapi tak ramai di antara kita yang bersyukur di saat kita dilimpahi dengan kesenangan.

Pernah saya dan suami memasang angan bersama, tentang bagaimana kami mahu mendidik anak-anak(InsyaAllah murah rezeki). Ramai yang menyangka memberikan segalanya mampu membentuk anak kita menjadi yang terbaik. Sehingga ada yang terlupa bahawasanya, kekurangan itu mendidik dia menghargai setiap nikmat yang diperolehi. Bahawasanya kesakitan itu mengingatkan dia tentang hidup yang sementara dan hak Allah terhadap hambanya untuk diuji.

Saya tidak mahu mengulas panjang, tentunya lebih ramai yang sudah dikurniakan rezeki berbanding saya yang baru sahaja mendirikan rumah tangga. Berkata-kata itu lebih mudah daripada melaksana. Jadi biarlah luahan saya ini menjadi pencetus untuk setiap ibubapa untuk berfikir selanjutnya. Sama ada kita membiarkan anak-anak kita hanyut atau kita sendiri yang menghanyutkan mereka atau kita biarkan sedikit kesusahan menjentik hati mereka supaya mereka berfikir.

Saidina Ali RA pernah berkata ‘Jika kemiskinan itu seorang lelaki maka aku akan membunuhnya’

Maka cukuplah bagi saya kesenangan yang tidak membuatkan saya lupa pada Allah dan kesusahan yang tidak membuatkan saya hilang keyakinan pada Allah. Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...