Tuesday, August 7, 2012

Ramadhan: Separuh Masa Terakhir

Salam

Hari ini 19 Ramadhan, sudah separuh masa terakhir kita menjejaki Ramadhan. Tepuk dada tanya iman, apakah ada perubahan atau masih di takuk lama. Apakah nafsu masih bermaharajalela dan menewaskan kekuatan cinta kepada Yang Esa. Alhamdulillah, Ramadhan kali ini saya berjaya berubah sedikit demi sedikit, memberi lebih komitmen kepada Ramadhan berbanding tahun-tahun sudah. Kalau di imbas kembali, tahun sebelum ini saya menghadirkan diri ke masjid dan mendirikan terawih hanya beberapa kali. Kebanyakannya saya lebih tenggelam dengan aktiviti dunia yang merugikan kehidupan saya di akhirat yang kekal selamanya. Semoga perubahan ini istiqamah dan bertambah baik dari tahun ke tahun. Saya tidak mahu lagi tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi.

Ramadhan kali ini saya berjuang melawan keinginan nafsu bersama suami dan anak tersayang. Tidak lupa juga pada bayi yang berusia 5 bulan di dalam kandungan. Beberapa kali suami berpesan, jangan asyik mahu mencipta alasan untuk beribadat. Ketika muda dikatakan sibuk dengan keluarga dan kerjaya, nanti bila sudah dimamah usia akan beralasan dengan sakit yang datang menimpa. Sudahnya, di dalam kubur, menyesali segala perbuatan yang merugikan. Badan saya lebih lemah dari tahun sebelumnya, tapi kekuatan saya kerah agar lebih gagah daripada selalunya. Allah Maha Mengasihani, saya diberikan kekuatan untuk berpuasa (walaupun ada yang 'berlubang'), kecekalan untuk berterawih (walaupun bukanlah 20 rakaat setiap hari) dan kesungguhan untuk bertadarus Al Quran (walaupun kemungkinan besar saya tidak sempat khatam Ramadhan kali ini). Saya akui, semuanya dilakukan sedikit demi sedikit. Apalah mahu dibandingkan amalan saya dengan jutaan makhluk Allah yang lain, yang berpusu-pusu mengejar syurga Allah tanpa sebarang keluh kesah dan resah gelisah.


Saya mengagumi beberapa orang kenalan dan rakan yang istiqamah melakukan amal ibadat walaupun kepenatan menjerat dan masa menghimpit. Seorang rakan memberitahu saya, dia baru beberapa kali solat terawih 8 rakaat sedangkan hari-hari yang lain dia mendirikannya sebanyak 20 rakaat. Subhanallah, kurniakanlah dia malam lailatul qadar Ya Allah. Seorang lagi rakan tidak pernah hilang dari mata saya, sentiasa saya melihat kelibatnya di masjid walaupun penat berulang alik ke tempat praktikal menempuhi jalan yang sesak dan kemudahan awam yang selalu mengecewakan. Biar letih dan lesu, dia tidak pernah meninggalkan terawih, dia memburu syurga Allah bersungguh-sungguh. Ya Allah, kurniakanlah dia juga lailatul qadar! Tidak kurang juga pada mereka yang mengemaskini status Facebook dengan aktiviti mereka di bulan Ramadhan bersama ribuan malaikat dengan menziarahi mereka yang berada di Raudhatus Sakinah dan bersama-sama anak-anak yatim yang butuh kasih sayang ibu bapa. Saya doakan juga dia memperolehi lailatul qadar!.

Ramadhan ke 19, sudah separuh Ramadhan kita lalui, sudah sampai masa segala amal ibadat kita lipat gandakan agar "satu malam yang lebih baik dari seribu malam itu berjaya kita buru". Saya memasang niat mahu beriktikaf bersama Zahra dan perut yang memboyot, mohon Allah memberi kekuatan dan kecekalan iman kepada saya. Hilangkanlah segala kegusaran saya pada sakit-sakit badan yang sementara sedangkan sakit dipukul dan diseksa di dalam kubur jauh lebih menyakitkan. Suami terus menerus meniupkan semangat, pelbagai peringatan dan nasihat acap kali di 'refresh' ke dalam ingatan saya. Niatnya satu, tidak mahu saya tewas dengan dugaan ibu mengandung, tekanan belajar dan tanggungjawab yang dipikul sebagai ibu dan isteri.

Saya masih ingat pada pesanannya yang ringkas tapi kena pada hati dan keadaan semasa. Suami menegur sikap kebiasaan seorang perempuan yang mudah mencemburui kehidupan wanita yang lain. Apa yang diperolehi insan lain, itulah yang dirasakan sempurna sedangkan Allah melengkapkan kehidupan kita dengan segala nikmat dan rahmat yang diperlukan. Mudah saja kita sebagai wanita mengingati tempat pelancongan yang orang lain lawati, jenama baju raya yang orang lain beli dan juadah berbuka puasa yang orang lain nikmati. Semua ini mudah saja terlekat di kepala. Berbeza dengan video berupa peringatan dan kata-kata nasihat yang berupa teguran, semuanya tidak lekat di kepala seperti mana hal-hal duniawi yang lain. Inilah salah satu nafsu yang harus kita sebagai WANITA tewaskan. Biar ditumpulkan nafsu itu ketika Ramadhan agar selepas Ramadhan berlalu ia tidak lagi mengganas hingga menjadikan kita kufur dengan pemberian Allah.

Sudah panjang saya menulis, serasa cukuplah setakat ini. Semoga semuanya menjadi iktibar dan pengajaran buat semua. Saya mohon maaf atas kesilapan dan ketelanjuran. Biarlah Ramadhan kali ini membersih hati kita semua dan menjadikan kita insan yang lebih baik dari hari ke hari.

Ramadhan bakal berakhir, di mana kita semua berdiri?.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...